Wednesday, January 29, 2014

Aishah Disamun Di Lampu Isyarat. CCTV Tidak Berfungsi,


Ampang: Penyanyi wanita popular era 90-an, Wan Aishah Wan Ariffin atau lebih dikenali sebagai Aishah berusia 48 tahun kerugian lebih RM1,000 selepas disamun dua lelaki bermotosikal dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat di sini, kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 9.15 malam itu, dua lelaki menaiki motosikal dilapor memecahkan cermin bahagian penumpang kereta jenis Mercedes Benz milik penyanyi terbabit sebelum melarikan beg tangan mangsa.

Menurut sumber, ketika kejadian mangsa yang dalam perjalanan pulang ke rumah di kawasan berhampiran bersama anaknya dilapor memberhentikan kenderaan apabila lampu isyarat bertukar merah.

Katanya, sebuah motosikal dinaiki dua lelaki kemudian berhenti bersebelahan kereta milik mangsa sebelum pemboncengnya memecahkan cermin penumpang dipercayai menggunakan topi keledar.

“Suspek merampas beg tangan mangsa yang diletakkan di tempat duduk penumpang,” katanya. Menurutnya, hasil siasatan awal dilakukan pihak berkuasa mendapati penyanyi itu tidak mengecam wajah kedua-dua suspek.
“Malah, polis yang melakukan pemeriksaan di tempat kejadian juga dilaporkan tidak mempunyai petunjuk jelas mengenai kejadian itu apabila semakan mendapati kamera litar tertutup (CCTV) di persimpangan lampu isyarat berkenaan tidak berfungsi,” katanya.

Katanya, pihak berkuasa juga gagal mendapatkan saksi bebas mengecam dua penjenayah terbabit tetapi siasatan lanjut masih dilakukan.

Difahamkan, penyanyi berkenaan dan anaknya tidak cedera dalam kejadian itu. Beliau berkata, selain wang tunai RM1,000, kad pengenalan, lesen memandu dan kad kredit milik mangsa dilarikan penjenayah.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Khairuldin Saad mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan berkata, siasatan lanjut masih dilakukan. (myMetro)

1 comment:

Kuda Perang said...

Malaysia masih aman la sangat.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails