Sunday, January 26, 2014

Cukai Turun Pendapatan Bertambah, 1 Pembohongan -Khalid Samad


SHAH ALAM: Kerajaan BN perlu bertanggungjawab memberi penjelasan secara telus kepada rakyat berhubung slogan “Cukai Turun Pendapatan Bertambah” yang diuar-uarkan dalam kempen pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di seluruh negara sekarang.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad (gambar) menegaskan tujuan dilaksanakan GST adalah untuk menambah pendapatan kerajaan tetapi bagaimana pula maksud slogan kerajaan jika diturunkan cukai boleh menambah pendapatan rakyat?

Beliau berpendapat kempen yang dilakukan kerajaan seperti memasang papan tanda serta slogan di belakang kenderaan pengangkutan awam adalah satu pembohongan terhadap rakyat. Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu juga mendesak kerajaan BN mendedahkan jumlah wang negara yang digunakan untuk kempen GST.

"Kos yang digunakan untuk iklan di papan tanda dan slogan di kenderaan pengangkutan awam itu memerlukan bayaran yang tinggi, sedangkan itu duit rakyat," tegasnya dalam sidang media di pejabatnya.

Beliau menegaskan, dengan pelaksanaan GST golongan berpendapatan rendah turut dipaksa membayar cukai. Pelaksanaan GST juga lebih menguntungkan mereka yang kaya kerana cadangan kerajaan untuk menurunkan kadar cukai individu dan korporat apabila GST terlaksana.

"Orang berpendapatan rendah dan golongan miskin yang dulu tidak pernah bayar cukai tetapi sekarang mereka kena bayar cukai apabila mereka makan di restoran mamak atau menyewa hotel bajet," katanya.
"Kerajaan BN jangan menipu rakyat dengan iklan yang menggunakan duit rakyat bahawa GST tidak membebankan rakyat. Saya minta Menteri Penerangan jelaskan berapa kos untuk menipu rakyat dengan kempen GST," tegas beliau. (HD)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails