Thursday, January 30, 2014

K/Perpaduan Najib: Kalau Setakat Itu, Buang Masa Saja..

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dikatakan orang yang mencadangkan penubuhan Kerajaan Perpaduan.



Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah orang yang mencadangkan Kerajaan Perpaduan atau Kerajaan Tanpa Pembangkang selepas letih menghadapi pilihan raya kecil demi pilihan raya kecil selepas Pilihan Raya Umum 2008.

Beliau berkata, semua yang terpilih dalam pilihan raya perlu memberikan tumpuan kepada khidmat kepada rakyat dan melupakan titik bengit politik.

Namun, apabila wakil perdana menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu menemuinya untuk membincangkan versi baru gagasan ini iaitu "Rekonsiliasi Nasional" di London awal bulan ini, Abdul Hadi tidak mahu menyertainya.

Beliau hanya menghantar Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Setiausaha Politiknya, Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar untuk bertemu Zahid walaupun ketika itu beliau sudah berada di London.
Ia amat mengejutkan namun terbukti ketidakyakinan Abdul Hadi terhadap kekuatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mengadakan kerajaan perpaduan ternyata benar.

Ini dibuktikan melalui kenyataan yang dibuat Najib selepas mesyuarat Kabinet semalam.

Dalam kenyataan itu, Najib berkata:"Dalam mesyuarat Kabinet hari ini, menteri saya dan saya meneliti rancangan untuk menubuh dan mempromosikan suasana yang kondusif dan membantu mempromosikan rekonsiliasi nasional menerusi perpaduan dan konsensus dalam negara."

Najib menggariskan empat perkara dalam rekonsiliasi nasional tersebut dan akan bertanggungjawab sebagai ketua dalam mencapai matlamat demi kebaikan untuk negara.
"Rancangan rekonsiliasi nasional itu akan berasaskan empat kunci utama iaitu sosial, politik, kerajaan dan hubungan antarabangsa dan melihat pada masa depan, saya akan mengetuai pelaksanaan perubahan ini dengan harapan membawa semua rakyat Malaysia berada dekat antara satu sama lain," kata Najib.

Bagaimanapun, dalam kenyataan yang dibuat lewat petang semalam itu, Najib berkata, rekonsiliasi nasional tidak ada kena mengena dengan kerajaan perpaduan.
"Ingin saya tegaskan di sini, rancangan ini bukan termasuk pembentukan Kerajaan Perpaduan.
"Namun, kita mesti melihat untuk menjadi lebih inklusif dalam aktiviti dan majlis," kata Najib dalam kenyataannya.

Jadi, yang beriya-iya benar mahu dibincangkan oleh Zahid sehingga mengejar Abdul Hadi ke London nampaknya untuk mengadakan mesyuarat antara BN dan Pakatan di Parlimen dalam bentuk aktiviti dan majlis sahaja.

Kalau setakat itu sudah tentu ia hanya membuang masa sahaja.

Ia jauh berbeza dengan inisiatif yang dibuat oleh Tun Razak Husein, ayah Najib, selepas negara terjerumus dalam kancah 13 Mei 1969 lalu. Inisiatif Tun Razak berjaya membawa PAS ke dalam kerajaan dan akhirnya membentuk Barisan Nasional.

Tetapi, usaha Najib hanya setakat perbincangan bi partisan sahaja bukan ke arah kerajaan perpaduan yang dicadangkan Abdul Hadi dahulu. Benarlah tanggapan pelbagai pihak bahawa apa yang dibuat Najib adalah untuk mempertahankan diri daripada serangan pengkritik yang tidak henti-henti menyerangnya sejak bulan lalu selepas pemilihan Umno pada Oktober.

Beliau terpaksa menangani kritikan yang dilemparkan terhadap kepimpinannya oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Daim Zainuddin dan beberapa veteran parti yang lain. Namun beliau tidak ada kekuatan untuk meyakinkan Kabinet beliau sendiri bahawa:"Kita perlu bergabung dengan Pakatan Rakyat untuk membentuk kerajaan yang kuat" walaupun itulah mesej yang dihantar oleh wakil beliau, Jusof Kalla kepada Anwar sebelum ini.

Benar beliau memerlukan perpaduan dengan Pakatan Rakyat tetapi Najib tidak cukup kuat untuk meyakinkan Kabinetnya sendiri tentang keperluannya.

Benar beliau berjanji:"Dalam beberapa bulan ini, kamu akan lihat perubahan yang akan menjadikan Malaysia lebih kuat, lebih bersatu dan menjadi negara yang lebih kohesif." Tetapi apakah beliau ada kekuatan untuk melaksanakannya dan tanggapan awal presiden PAS mengenainya terbukti benar.

Dan mungkin benarlah juga ramalan kolumnis Bloomberg, William Pesek:"Are Najib's days numbered in Malaysia?" atau "Adakah hari-hari akhir Najib sudah hampir tiba?". – 30 Januari, 2014. (TMI)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails