Kempen di laman Facebook "Fikrah Islamiah Pilihan Kami" itu antaranya dilapor memuat naik gambar ketiga-tiga calon Ketua Pemuda PAS, dengan seorang daripada mereka Zulhazmi Shariff berwajah anjing.

Manakala dua lagi pesaing Suhaizan Kaian dan Kamaruzaman Mohamad pula menggunakan wajah sebenar, lapor Sinar Harian.

Zulhazmim, aktivis anti saman ekor PAS itu dilihat sebagai calon underdog berbanding Suhaizan dan Kamaruzaman.

NONEKetua dewan itu Nasrudin Hassan (gambar sebelah, kiri sekali) yang tidak mempertahankan jawatan yang disandangnya itu menyifatkan perkembangan itu sebagai kempen paling keji pernah dilihatnya dalam tempoh 28 tahun beliau menyertai PAS.

"Jangan cemari kemurnian, keharmonian dan kedamaian warga Pemuda PAS dengan saraf tahap 'macai' dan out of date (ketinggalan zaman) begini sama ada (perang) saraf untuk menjatuh dan menghina lawan atau saraf untuk mempopularkan diri sendiri dan mencari simpati," katanya.

Gambar sudah dibuang
Menulis di Facebook, Nasrudin menegaskan keperluan bersaing atas semangat "berlumba-lumba membuat kebaikan" kerana perwakilan menilai prestasi setiap calon.

Sementara itu, Sinar turut melaporkan Pemilik akaun tersebut memuat naik beberapa mesej yang didakwa daripada bekas timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa dan bekas pesuruhjaya Selangor Datuk Dr Hassan Mohamed Ali

"Jika anjing-anjing liberal ini berjaya menguasai parti, maka lihatlah sendiri akan lebih ramai lagi para pejuang Islam akan menerima nasib yang sama seperti Ustaz Nasarudin dan Dr Hassan Ali.

"Mereka akan terus menerus menjadi kuda kepada PKR dan DAP... maka ketika itu percayalah penyatuan umat Islam Melayu hanya akan tinggal impian," tulisan itu dipetik.

Pemilik akaun turut mendakwa Suhaizan menjadi kambing hitam golongan "liberal" untuk memecahkan undi Kamaruzaman yang dikatakan mempunyai pemikiran Islam yang jelas.

Tulisan itu juga menyifatkan "satu undi kepada Suhaizan bermakna akan menghilangkan satu undi kepada Islam".

Pemilihan PAS membenarkan calon mempromosikan diri namun tertakluk garis panduan, antaranya dilarang mengeluarkan kenyataan dalam pelbagai bentuk yang mengandungi fitnah, kejian, celaan, sindiran, atau kenyataan palsu sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Tinjauan Malaysiakini ke Facebook itu sebentar tadi mendapati gambar dan tulisan berkaitan sudah dibuang. (MK)