Noh teruja penghijrahan Mizz Nina

HALAMAN HIBURAN
PENGHIJRAHAN Mizz Nina atau nama sebenarnya Shazrina Azman sekembalinya dari menunaikan haji baru-baru ini mengejutkan ramai peminatnya.

Ternyata penampilannya yang 'urban' sebelum ini tidak menjadi penghalang untuknya berhijrah ke arah lebih baik. Suaminya, Noh atau nama sebenarnya Mohd Noh Salleh, mengakui dialah orang pertama yang teruja dan gembira dengan perubahan isterinya itu.

“Pilihan ini atas kemahuan dia sendiri bukan dipaksa atau terpaksa.
“Saya bersyukur dan gembira dengan perubahan itu,” katanya yang turut berkongsi gambar Mizz Nina yang sudah bertudung di laman Twitternya.

Menurut vokalis Hujan ini,  isterinya itu kini turut menghadiri kelas mengaji untuk menambah ilmu agama. Malah sebagai suami, dia sedaya upaya memberikan sokongan dan dorongan. Ditanya apakah selepas ini, mereka akan memilih muzik ketuhanan dalam lagu-lagu mereka, Noh berkata, itulah yang paling tepat dan sesuai dengan imej isterinya itu.

“Insya-ALLAH sebenarnya kami memang dah perlahan-lahan ke arah itu (muzik ketuhanan). Mungkin ada yang terlepas pandang kerana sudah biasa dengan genre muzik urban yang kami bawakan sebelum ini. Apa pun, kami mengharapkan peminat akan terus sentiasa menyokong ” katanya.

Menyentuh mengenai perkembangan seninya, Noh memberitahu, selain sibuk menguruskan studio baru miliknya, dia sedang menyiapkan ‘band project’ terbaru Da Vagabonds bersama Herri Hamid (gitaris bittersweet), Irfan Iskandar(drummer ACAB) dan Alea(bekas ahli kumpulan Velvet).

“Bagi sesiapa yang berminat, boleh mengunjungi www.reverbnation.com/davagabonds untuk mengetahui perkembangan terbaru bagi EP ini.
“Pada 16 November ini adalah pelancaran EP Da Vagabonds yang pertama di AltHQ Bukit Bintang,” katanya dalam rangka menyiapkan EP tersebut.

Dalam pada itu, Noh berkata, kumpulannya, Hujan, bakal mengadakan konsert orkestra di Dewan Filharmonik Petronas pada 2 Disember ini. (SH)

HMH STEVIA HERBA
Daun Stevia, Ganti Gula Baik Untuk Diabetes..