Sunday, November 10, 2013

Pemergian Suhaimi Said: -Belasungkawa Dr Syed Husin Ali

 SEORANG pejuang tulen yang gigih untuk keadilan rakyat sudah meninggalkan kita buat selama-lamanya pada 5hb November 2013. Haji Suhaimi @ Sulaiman bin Said menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Sultan Ahmad Shah (HSAS) kira-kira jam 6.08 petang, dengan disaksikan oleh isterinya Hajah Hendon Jaafar, anak-anak dan keluarga terdekat.

Pada hari itu saya mendapat mesej menyatakan keadaan Suhaimi tenat. Saya telefon Hendon dan apabila ditanya keadaan Suhami dia menangis dan hanya mengeluarkan perkataan “Teruk”. Dalam tiga kali saya melawatnya di HUKM dan HSAS saya lihat keadaannya semakin membimbangkan. Jadi kali ini saya terus bertolak dari rumah bersama empat orang kawan ke Temerloh.

Kami sampai di HSAS kira-kira jam 4.15. Walaupun belum waktu melawat lagi, kami dibenarkan ke wadnya di tingkat 7. Saya lihat matanya pejam dan nafasnya kuat; pada hidungnya terletak alat membekal oksigen. Saya membisikkan nama pada telinganya, mengucap beberapa kali dan mengingatkannya supaya terus mengucap. Saya percaya dia mendengar.

Setengah jam kemudian kami turun untuk melapangkan tempat bagi keluarga dan sahabat yang menunggu hendak naik. Lepas jam 5 kami beredar dari hospital untuk pulang. Semasa berhenti di Lancang untuk menunaikan solat Asar, kami ditelefon Suhaimi tiada lagi. Saya merasa pilu sekali.

Suhaimi dilahirkan di kampung Lubuk Kawah, Temerloh pada 8 Disember 1944. Beliau membesar dalam keluarga dan masyarakat yang kuat berjuang untuk kemerdekaan dari penjajah. Ayahnya seorang aktivis Angkatan Pemuda Insaf (API), sayap pemuda Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Bahkan boleh dikatakan seluruh kampung itu kuat dipengaruhi PKMM. Hampir semua anggota keluarganya terlibat dengan perjuangan parti kebangsaan itu.

Semasa dewasanya Suhaimi belajar di Koleh MARA dan ketika itulah saya sebagai pensyarah di UM mulai berkenalan dengannya. Kemudian Suhaimi bekerja di pejabat Menteri Besar Pahang, di bawah Datuk Razak Hussein. Beliau dapat memberitahu kami tentang banyak laporan bertulis SB (Cawangan Khas) kepada MB. Masa itu pengaruh Parti Rakyat (PRM) di Temerloh sangat kuat.

Suhaimi berhenti dari bekerja untuk melanjutkan pelajaran undang-undang di London. Semasa itu saya selalu berjumpa dengannya sebab saya juga berada di sana untuk membuat ijazah Ph.D. Di London beliau bergerak dalam PRM Ranting London dan cergas dalam gerakan pelajar. Beliau mengikuti juga pergerakan sosialis di sana.

Selepas dianugerah seorang anak perempuan dan berjaya mendapat ijazah, Suhaimi pulang ke tanah air dan tidak lama kemudian menceburkan diri dalam PRM. Dari masa itulah beliau mula bergerak di kalangan peneroka Felda. Di samping itu beliau cergas mendirikan atau menguatkan ranting-ranting PRM. Beliau seorang aktivis yang tidak kenal penat lelah.

Berikutan krisis dalam PRM Suhaimi meninggalkannya dan memasuki PAS. Beliau menghadapi masalah dalam parti itu dan berhenti pula untuk pindah sekejap ke dalam Umno, yang sentiasa dianggapnya sebagai kesilapan besar. Walaupun berpindah-pindah parti, beliau sentiasa berpegang kuat kepada asas perjuangan yang pro-rakyat. Beliau “bersara” dari politik seketika. Hanya pada 27 November 2007 Suhaimi memasuki Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), setelah diminta oleh Syed Husin, Anwar Ibrahim dan Nizam.

Beliau begerak dengan gigih hampir seorang diri mula-mulanya untuk terus membela nasib peneroka Felda dan menggerakkan jentera parti di Pahang. Beliau membuka Ranting Kuala Krau, yang ramai dianggotai oleh peneroka Felda dan Orang Asal. Selaku pemimpin Ranting itu, beliau tidur baring di rumah Orang Asal dan mempelajari bahasa mereka. Mereka sayangkannya, dan tidak peliklah ramai antara mereka hadir pada hari pengebumiannya.

Di dalam KEADILAN Suhaimi memegang beberapa jawatan penting di peringkat Negeri dan Pusat. Beliau dipilih menjadi Naib Pengerusi KEADILAN Pahang dan diangkat sebagai anggota Majlis Pimpinan Parti (MPP) dan Ketua Biro Peneroka Felda dan Orang Asal. Di bawah Biro ini beliau dan beberapa orang peguam, seperti Sivarasa, Kumar dan Latheefa telah memenangi beberapa kes saman mahkamah terhadap Felda untuk membela peneroka.

Suhaimi boleh dikatakan pekerja sepenuh masa parti tanpa bayaran daripadanya. Baginya perjuangan dalam politik bukan untuk kepentingan diri. Kerana perjuangan beliau ditahan dua kali di bawah ISA pada 1985 dan 1987. Beliau mempunyai sebuah syarikat guaman dan tidak pernah menggunakannya untuk mengumpul kekayaan. Oleh kerana bergerak cergas, beliau menyerahkan syarikat untuk diuruskan oleh anak perempuannya yang lahir di London dulu. Beliau bertanding dalam pilihanraya ke-13 akan tetapi gagal.

Semasa berkempen dalam pilihan raya itu Suhami sudah mula mengalami sakit yang bertambah tenat selepasnya. Beliau kembali ke RahmatulLah tanpa meninggalkan harta benda. Sebagai harimau mati meninggalkan belang, beliau meninggalkan nama yang harum. Nama itu berkaitan dengan kegigihan dan keikhlasannya dalam perjuangan demi rakyat. Suhami harus dijadikan teladan dan ikutan paling baik bagi semua anggota KEADILAN dan pejuang rakyat.

Alfatihah.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Takziah kepada keluarga beliau.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails