Saturday, October 05, 2013

Khalwat: Cekup, Jangan Tak Cekup. Polis Pun Kena.

Polis dicekup bersama kekasih di hotel  
Pasangan yang ditahan penguat kuasa Jaij setelah didapati berdua-duaan di dalam bilik yang berkurung.

BATU PAHAT: Niat seorang anggota polis yang mahu meraikan pengesahan jawatannya bersama kekasih terbantut, apabila bilik hotel disewanya diserbu pihak berkuasa, kira-kira jam 7 malam kelmarin. Lelaki berkenaan yang bertugas sebagai anggota polis di Terengganu ditahan Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) Batu Pahat kerana berkurung dengan kekasihnya sehingga menimbulkan syak.

Timbalan penguat kuasanya, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, pasangan berkenaan ditahan dalam operasi bersepadu Jaij Batu Pahat, Muar, Kluang dan Johor Bahru dalam membanteras maksiat sekitar Ayer Hitam. Katanya, pihaknya beberapa kali mengetuk pintu bilik berkenaan, namun tiada jawapan. Setelah menunggu lama dan pihak penguat kuasa mahu memecah pintu barulah ia dibuka.

“Sebaik pintu berkenaan dibuka, pihak kami mendapati seorang lelaki yang lengkap berpakaian begitu juga pasangannya. Bagaimanapun, kedua-duanya berada dalam ketakutan ketika diambil keterangan.
“Pasangan lingkungn 20-an ini enggan membuka pintu pada mulanya, namun selepas beberapa kali pintu berkenaan diketuk dan beberapa pegawai penguat kuasa mendesak memecah pintu, barulah pintu dibuka.
“Pemeriksaan menyeluruh dilakukan mendapati, lelaki dan pasangannya yang berada di dalam bilik itu tidak mempunyai hubungan sah,” katanya.

Saiful berkata, pasangan terbabit kini ditahan dan akan didakwa di bawah Seksyen 27 (1) (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997. Katanya, pasangan terbabit juga akan dihadapkan ke mahkamah selepas siasatan berhubung kesalahan itu selesai.

Menurutnya lagi, operasi bersepadu ini bertujuan membendung kegiatan sumbang seperti judi dan maksiat yang semakin menular di kalangan umat Islam terutama anak muda sejak akhir-akhir ini.
“Selain itu, operasi seperti ini juga akan dilakukan lebih kerap dengan tertumpu pada aduan orang ramai, hotel bajet dan kawasan berpotensi kelakuan seperti ini,” katanya.

Saiful berkata, dalam operasi itu, pihaknya turut menahan enam individu kerana melakukan kesalah berjudi yang kemudiannya dibawa ke Balai Polis Ayer Hitam untuk proses dokumentasi sebelum dituntut waris masing-masing.

“Kesemua lelaki terbabit akan didakwa di bawah Seksyen 18 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana membeli atau berada dalam kedai judi.
"Jika sabit kesalahan mereka boleh didenda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya. (SH)
Diserbu ketika memadu asmara
Anggota Imigresen (tengah) menahan seorang warga tempatan dan seorang wanita yang dipercayai memberikan khidmat seks di sebuah hotel murah.
TELUK INTAN - Seorang lelaki tempatan yang asyik memadu asmara bersama seorang wanita di sebuah hotel murah di Jalan Raja terkejut apabila diserbu sekumpulan anggota  Jabatan Imigresen Cawangan Teluk Intan, dalam satu operasi,  malam kelmarin.

Bahkan wanita berkenaan juga turut mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota Imigresen yang menyertai Ops 6P Bersepadu di hotel murah tersebut. Ketua Imigresen Cawangan Teluk Intan, Khairul Anuar Sulaiman berkata, operasi yang diketuai beliau turut disertai 12 anggotanya dan dua kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Teluk Intan.

Menurutnya, sebanyak enam lokasi diserbu dalam masa dua jam dan pihaknya berjaya menahan dua wanita di premis berasingan.

"Dua wanita berusia lingkungan 30-an itu disyaki menjalankan aktiviti pelacuran di  hotel murah di sini dan salah seorang daripada mereka  dipercayai menyalahgunakan pas lawatan sosial.
“Hasil risikan dibuat mendapati, hotel murah berkenaan turut menawarkan aktiviti tidak bermoral dengan bayaran sekitar RM30 hingga RM50 bagi satu sesi, malahan pelanggan boleh membawa wanita tersebut ke lokasi lain namun dikenakan caj,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Khairul Anuar berkata, kesemua wanita yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Cawangan Teluk Intan bagi tujuan siasatan.

Katanya, JPN turut memeriksa wanita yang dikatakan mempunyai kad pengenalan namun, MyKad salah seorang daripadanya diragui.

“Dalam kes ini, JPN turut menyiasat kes tersebut bagi mengesan sindiket mengeluarkan MyKad palsu yang digunakan oleh wanita warga Indonesia tersebut.
“Wanita warga Indonesia berkenaan disiasat di bawah Akta dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/63 dan kini  ditempatkan sementara di Depot Langkap untuk tindakan lanjut,” katanya. (SH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails