Wednesday, October 02, 2013

Kehilangan Kewangan Berterusan Jika BN Jadi K'jaan -Nik Aziz

Laporan kehilangan berbilion ringgit oleh Ketua Audit Negara turut menarik perhatian mantan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik (gambar) yang berkata, ia akan terus berlaku selagi Barisan Nasional (BN) menjadi kerajaan.

Bagi beliau, selama-lamanya manusia tidak akan mampu mengawal manusia dan memerlukan kuasa lebih tinggi iaitu Allah yang mencipta manusia. Manusia boleh menggubal undang-undang tetapi manusia tidak sebijak Penciptanya iaitu Allah SWT, kata Nik Aziz Mursyidul Am PAS yang dipilih sebagai Tokoh Intergriti oleh kerajaan negeri Selangor sebelum ini.

"Sekawan kambing tidak akan dapat dikawal oleh kambing. Ia memerlukan kepada gembala. Manusia mustahil dapat mengawal manusia, mereka memerlukan kuasa yang lebih hebat, dan kuasa Yang Maha Hebat itu ialah Allah SWT," kata Nik Aziz dalam kenyataannya hari ini.

Ia adalah rentetan mengenai Laporan Ketua Audit Negara yang dibacanya hari ini. Sekali lagi ia menyaksikan ketirisan berbilion ringgit wang rakyat yang dibelanjakan di sektor-sektor kerajaan.

"Ia bukan jumlah yang sedikit. Bajet perbelanjaan negeri Kelantan sahaja hanya sekitar RM500 juta setahun. Bayangkan jika ketirisan berbilion ringgit ini dapat diselamatkan dan diagihkan kepada negeri seperti Kelantan, berapa jutakah yang dapat manfaat daripadanya?" Soal beliau.

The Malaysian Insider dalam analisisnya sebelum ini menyifatkan, permasalahan utama yang tidak dapat dinafikan dalam Laporan Ketua Audit Negara semalam adalah rasuah, pembaziran dan kecuaian meresap masuk dalam kerajaan daripada peringkat bawah hingga  atas. Bukan hanya rakyat perlu bimbang terhadap ahli politik yang rasuah tetapi juga penjawat awam daripada peringkat tertinggi hingga bawahan yang terlibat sama.

Bagaimana mahu dijelaskan terhadap hampir RM200 juta yang dibelanjakan bagi mesin pelupusan sampah tanpa mengetahui cara mengendalikannya atau RM3,000 untuk jam dinding atau kasut yang tidak boleh digunakan kerana pembuatannya tidak memenuhi spesifikasi. Wang dibelanja dan disia-siakan begitu sahaja dan penyakit ini menjangkiti setiap kementerian, syarikat berkaitan kerajaan dan institusi di seluruh negara.

Mungkin ia tidak dapat dielakkan kerana penjawat awam menyaksikan bagaimana ahli politik licik menipu sistem selama beberapa dekad dan melepaskan diri. – 2 Oktober, 2013. (MI)

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Nampaknya rakyat Malaysia kena cepat-cepat tukar kerajaan, kalau mahu selamat dari ketirisan dan kehilangan kewangan kerajaan.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails