Wednesday, October 10, 2012

Tamu M'sia Al Quds Kunjung & T/Kasih Kpd PAS



KL: Timbalan Ketua Pengarah Yayasan Al Quds Antarabangsa Ayman Masoud melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Pejabat Agung PAS, tengah hari tadi.

Kunjungan  wakil Yayasan Al Quds yang berpusat di Beirut itu  bersempena lawatan dan jemputan rasmi oleh kerajaan Malaysia ke sini. Turut bersama dalam kunjungan itu, Pengarah Yayasan Al Quds Malaysia Makram Abu Salam. Kedatangan mereka ini sebagai tanda ucapan terima kasih kepada Presiden PAS atas usahanya bersama Sheikh Dr Yusuf Al Qaradhawi mengasaskan  Yayasan Al Quds Antarabangsa.

Menurut Ayman Masoud, isu Palestin telah menyatukan semua pihak antara kerajaan dan pembangkang di negara ini. Beliau menghargai usaha PAS menubuhkan Al Quds dan berharap parti Islam itu terus memberi sokongan kepada yayasan itu.

"PAS berperanan besar dalam penubuhan Al Quds ini, kita berterima kasih," katanya.

Yayasan Al-Quds Malaysia yang dilancarkan pada 18 Jun 2012, adalah cawangan ke-11 bagi Yayasan Al-Quds Antarabangsa selepas Mesir, Afrika Selatan, Yaman, Lubnan, Syria dan beberapa negara lain termasuk Gaza. Ahli Parlimen Bachok Nasharuddin Mat Isa merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Al-Quds Malaysia.

Yayasan Al-Quds adalah sebuah NGO yang berganding dengan Yayasan Al-Quds Antarabangsa, sebuah yayasan antarabangsa yang ditubuhkan bertujuan memperjuangkan hak dan kebebasan rakyat Palestin. Antara matlamat penubuhan yayasan ini adalah untuk menghentikan proses pengyahudian Baitul Maqdis, membantu mengekalkan rakyat Palestin di sekitar Baitul Maqdis dan menyatukan umat Islam, dan menghantar mesej yang jelas kepada Israel bahawa Baitul Maqdis adalah milik seluruh umat Islam.(Hrkh)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails