Saturday, October 13, 2012

RM2J Bukan Sumber Judi -PAS P/Pinang


 

Sumbangan hasil projek perumahan, padang golf
BUTTERWORTH: PAS Pulau Pinang mendakwa sumbangan berjumlah RM2 juta daripada Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang (KLKPP) bagi program membasmi miskin tegar di negeri itu bukan daripada sumber pertaruhan perlumbaan kuda.

Pesuruhjaya PAS negeri, Mohd Salleh Man, berkata sumbangan itu diperoleh daripada sumber hasil perumahan serta padang golf.

“Saya difahamkan sumbangan KLKPP kepada kerajaan negeri daripada hasil golf dan perumahan, bukannya pertaruhan perlumbaan kuda. Orang ramai terutama orang Islam sering salah sangka dengan nama KLKPP yang dikaitkan dengan perniagaan pertaruhan lumba kuda.

“Sebenarnya, kelab berkenaan mempunyai sumber lain dan sumber itu diberikan kepada kerajaan negeri. Jadi, orang Islam tidak perlu ragu dengan sumbernya... lagipun ia digunakan untuk membasmi miskin tegar, bukannya sumbangan RM100 setahun kepada mereka berusia 60 tahun ke atas dan RM1,000 kepada waris mereka,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, mendedahkan kerajaan Pulau Pinang menerima sumbangan RM500,000 daripada KLKPP yang mengendalikan pertaruhan perlumbaan kuda di negeri ini.

Kerajaan negeri sebelum ini pernah menafikan menggunakan wang daripada sumber judi untuk melaksanakan program itu tetapi selepas pendedahan oleh Reezal Merican, Ketua Menteri Lim Guan Eng mengakui kerajaan negeri ada menggunakan sumbangan daripada KLKPP untuk menjalankan program membasmi miskin tegar. 


Berikutan itu, terdapat penerima wang program berkenaan mengembalikan sumbangan diterima mereka kerana curiga terhadap sumber wang terbabit.
(BH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails