Sunday, October 07, 2012

Sindiket Jual Saluran TV internet Haram..



BUTTERWORTH - Polis menahan 12 orang termasuk seorang guru dan berjaya membongkar sindiket yang menjalankan aktiviti menjualsaluran televisyen Internet berbayar tanpa lesen dalam lima serbuan berasingan di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis semalam.

Timbalan Pengarah II, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusuf berkata sembilan lelaki dan tiga wanita berusia 28 hingga 40 tahun itu ditahan dalam operasi bersepadu bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Siber Sekuriti.

"Hasil pemantauan dan risikan bersama SKMM dan Siber Sekuriti sejak sebulan lepas, kita mendapat maklumat ada sebuah sindiket yang  menjalankan aktiviti menjual saluran televisyen Internet berbayar tanpa lesen.

"Bertindak atas maklumat, kita serbu sebuah premis di Padang  Besar, Perlis dan menahan dua lelaki bersama beberapa barangan yang digunakan sindiket terbabit dalam aktiviti berkenaan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mohd Rodwan berkata susulan penangkapan itu, pihaknya menyerbu tiga lokasi lain dan menahan lima orang lagi iaitu pengedar serta juruprogram bagi sindiket terbabit.

"Hasil penahanan itu, kita menyerbu sebuah premis di tingkat enam Park View Tower di sini dan berjaya menahan lima orang termasuk dua wanita dan hasil siasatan mendapati salah seorang daripada mereka adalah pengarah urusan syarikat terbabit manakala isterinya ialah seorang guru sebuah  sekolah menengah di sini.

"Siasatan juga mendapati mereka menggunakan premis di situ sebagai pusat operasi untuk menjalankan aktiviti pemberian aplikasi kandungan kepada pelanggan di seluruh Malaysia," katanya.

Mohd Rodwan berkata siasatan lanjut mendapati syarikat terbabit tidak mempunyai lesen yang sah dan sindiket itu juga menjalankan aktiviti  memberi perkhidmatan aplikasi kandungan tanpa kebenaran. Katanya sindiket itu menjual aplikasi kandungan televisyen dari luar negara kepada pelangan secara tidak sah dan melanggar peruntukan  undang-undang di bawah Seksyen 205 Akta Komunikasi dan Mulimedia (AKM) 1998.

"Berdasarkan siasatan, sindiket terbabit telah beroperasi sejak setahun lalu dan mengaut keuntungan jutaan ringgit serta telah mengakibatkan syarikat penyiaran swasta berbayar mengalami kerugian kira-kira RM60 juta," katanya.

Mohd Rodwan berkata sindiket itu bergerak dengan menjual alat 'decoder'  kepada pelanggan yang berminat dengan harga RM400 dan  mengenakan caj bulanan serendah RM29.

"Menerusi MY IPTV itu, pelangan boleh menonton pelbagai program televisyen dari luar negara terutamanya dari China dan Jepun serta terdapat lima saluran pornografi. Lebih 2,000 pengguna telah melanggan sejak setahun lalu," katanya.

Beliau berkata dalam lima serbuan itu, pihaknya merampas pelbagai peralatan yang digunakan sindiket itu seperti decoder, 'server' dan komputer bernilai lebih RM400,000. Katanya serbuan oleh 36 pegawai dan anggota polis, SKMM dan Siber Sekuriti itu merupakan kejayaan terbesar dan merupakan serbuan pertama di Malaysia.

"Daripada 12 yang ditahan, tujuh dibebaskan dengan jaminan polis  manakala lima termasuk dua wanita direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes berkenaan," katanya.

Mohd Rodwan berkata kes itu disiasat menurut Seksyen 239 Akta AKM 1998 iaitu pemilikan, penggunaan dan peralatan komunikasi yang tidak standard dan Seksyen 40 Akta Hak Cipta 1987 iaitu membuat atau dalam milikan bagi tujuan salinan. - Bernama

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails