Tuesday, October 16, 2012

K'tan Bentang Bajet Lebihan RM45.8J

KOTA BHARU: Kelantan membentang anggaran Bajet 2013 dengan lebihan sebanyak RM45.83 juta ketika Belanjawan 2013 kerajaan pusat defisit 16 tahun berturut-turut.

Sedangkan pada belanjawan 2012 dianggarkan mencatat defisit sebanyak RM83.23 juta. Ini bermakna berlaku kenaikan hasil sebanyak 35.21 peratus.

Buat pertama kali juga pendapatan daripada hasil royalti petroleum sebanyak RM200 juta dimasukkan dalam bajet bertema Bajet Negeri berkebajikan.

Pembentangan bajet dilakukan anggota Exco Kerajaan Negeri, Datuk Husam Musa mewakili Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengambil masa hampir sejam pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) hari ini.

Bajet dianggarkan dengan perolehan hasil sebanyak RM581.77 juta dan perbelanjaan mengurus sebanyak RM535.95 juta.

Anggaran hasil sebanyak RM581.77 juta meliputi hasil cukai sebanyak RM296.80 juta, hasil bukan cukai RM171.57 juta, manakala terimaan bukan hasil (RM113.41 juta).

“Peningkatan hasil pada 2013 berpunca daripada tuntutan hasil royalti petroleum yang sepatutnya dibayar kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri sebanyak RM200 juta atau sebanyak 34.38 peratus daripada hasil negeri.

“Kerajaan negeri memutuskan untuk memasukkan RM200 juta sebagai pendapatan dari royalti petroleum, di mana sebelum ini diletak sebagai token sebanyak RM10.

“Ini bertujuan untuk melonjakkan lagi harapan kerajaan dan rakyat Kelantan untuk mendapatkan hak serta meletakkan tiang pacak bahawa Kelantan berhak terhadap pengeluaran gas di telaga Kamelia yang akan memulakan pengeluaran Isya-Allah pada Mac 2013,” kata Menteri Besar.

Medan tersebut berada dalam Blok PM 301 yang paling hampir dengan pantai Kelantan, di mana pengeluaran tahunannya sebanyak 110,000 kaki padu setahun.

Husam ketika ditemui kemudian berkata, tidak salah untuk memasukkan  hasil daripada sumber royalti petroleum sebanyak RM200 juta memandangkan ia adalah hak Kelantan.

Katanya, perkara itu pernah berlaku di Terengganu ketika di bawah kerajaan PAS apabila perolehan daripada royalti turut dimasukkan dalam anggaran bajet negeri.

“InsyaAllah kita akan mendapat hak tersebut kerana sumber gas dan minyak terbabit berada di perairan Kelantan,” ujarnya. (Hrkh)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails