Thursday, October 18, 2012

Kementerian Lulus Rumah Lebihi Harga Maksimun


 
Rumah: Harga kementerian lebih tinggi dari Selangor

KL: Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan telah didapati gagal menyemak harga-harga jualan yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri Selangor apabila meluluskan lesen-lesen pemaju perumahan.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Negeri Selangor, Iskandar Abdul Samad (gambar) berkata, kerajaan negeri mensyaratkan bagi setiap pembangunan yang melebihi 10 ekar sebahagian daripadanya perlu dibina rumah kos rendah, rumah kos sederhana rendah dan rumah kos sederhana.

Katanya, rumah kos rendah hanya boleh dijual dengan harga maksimum RM42,000, rumah kos sederhana rendah RM72,000 dan rumah kos sederhana RM100,000.

“Walau bagaimanapun terdapat kes-kes di mana Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan telah meluluskan harga jualan melebihi dari harga maksimum untuk rumah kos sederhana,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Sebagai contoh, ujarnya terdapat rumah kos sederhana di Bukit Subang, Shah Alam yang telah diberi kelulusan untuk dijual dengan harga sehingga RM220,000 sebuah iaitu RM120,000 lebih tinggi dari harga yang diluluskan oleh kerajaan negeri.

Oleh yang demikian, ujarnya Kementerian Perumahan perlu menyemak harga jualan maksimum yang diluluskan oleh kerajaan negeri sebelum meluluskan lesen pemaju.

Beliau menjelaskan lagi, sekiranya pemaju gagal membina menurut kelulusan kerajaan negeri, pembeli-pembeli akan menghadapi masalah untuk mendapatkan surat hak milik.
 
 YB Iskandar di tengah-tengan, kanan Ibnu Hasyim, kiri Adnan Ibrahim (warawan TV Impian)


Menurutnya, Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan bahawa mereka akan memberi penekanan kepada pembinaan rumah mampu milik tetapi Kementerian Perumahan pula telah mengeluarkan lesen yang membenarkan pemaju menjual dengan harga yang lebih tinggi dari yang diluluskan oleh kerajaan negeri.

“Oleh itu, Kementerian Perumahan perlu lebih bertanggungjawab,” ujarnya. (Hrkh)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails