Sunday, July 29, 2012

Al-Hamdulillah, Tak Terfikir Ladang Jadi Lombong!



(Aduan Gual Periok bersama petugas di tapak lombong biji besi di Rantau Panjang)

RANTAU PANJANG: Penemuan bijih besi di Kampung Gual Dalam, Bukit Kwong kira-kira 13 km dari sini menjadi sumber rezeki baru kepada penduduk tempatan. Tidak pernah terfikir dan tiada dalam pengetahuan mereka tanah kebun di kawasan tersebut mempunyai sumber galian yang bernilai tinggi.

Penemuan bijih besi juga menyebabkan harga tanah di kawasan tersebut meningkat kepada lebih RM100,000 seekar. Galian itu ditemui pada 2010 di bahagian selatan Bukit Kwong. Di situ terdapat hampir 80 ekar tanah milik penduduk disahkan mengandungi  bijih besi.

Di bahagian hilir pula baru ditemui galian tersebut kira-kira  lapan bulan lalu. Kawasan terbabit seluas kira-kira 70 ekar. Penolong Pengurus sebuah syarikat  perlombongan, Halim Deraman berkata, tanah yang mengandungi bijih besi sebahagian besar dimiliki penduduk, di mana ada memiliki geran hak milik.

Katanya, tanah tersebut ditanam dengan  getah dan lain-lain tanaman.

“Pemilik tanah sebelum ini memang tidak tahu tanah mereka mengandungi bijih besi yang sangat berharga. Hanya setelah bijih besi ditemui barulah mereka tahu tanah mengandungi logam besi.

“Hasil penemuan tersebut menyebabkan ada syarikat sanggup  membayar tanah dengan harga RM120,000 seekar,” ujar Halim ketika tinjauan Harakahdaily bersama Adun Gual Periok, Mohamad Awang di lokasi perlombongan baru-baru ini.

Antara syarikat yang menjalankan aktiviti perlombongan di kawasan tersebut termasuk Perfect Mining Sdn Bhd. Halim berkata, bijih besi yang dilombong sekitar 4,000 ke 5,000 tan sehari. Tanah-tanah yang mengandungi bijih besi disodok mengggunakan jentera dan dibawa ke pelabuhan Tok Bali sebelum dieksport ke China.

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini, kerajaan negeri memberitahu bijih besi seberat 40,000 tan seminggu dihantar ke China. (Hrkh)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails