
KOTA BHARU, 16 Nov 11: Menteri Besar  Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan pemandu  kenderaan sama ada dalam perjalanan jauh atau sebaliknya ‘berehat’  sekiranya berasa mengantuk.
Katanya, rehat atau tidur penting  untuk mereka yang sedang memandu kenderaan bagi mengelakkan kejadian  kemalangan jalanraya. Tegasnya, kerana meneruskan pemanduan ketika  mengantuk antara punca utama penyebab berlakunya kemalangan jalanraya.
Beliau  berkata demikian kepada Harakahdaily ketika ditemui selepas melawat  Penolong Pengurus Latihan PKINK, Mohd Roslan Mohd Zain, 40 yang terlibat  dalam kemalangan pada pagi 11 November lalu selepas pulang dari  menghadiri program penyerahan poster amanat bekas Perdana Menteri, Tun  Abdul Razak sehari sebelumnya.
Roslan yang terselamat bersama  seorang pemandu Mohd Riduwan Ilias bagaimanapun cedera parah di kepala,  manakala Pegawai Khas Datuk Husam Musa, Kamarulzaman Abdullah meninggal  dunia di tempat kejadian. Menurut Tuan Guru, kemalangan jalanraya sebahagian besarnya berlaku akibat mengantuk.
“Saya  nasihatlah pada semua pemandu berehat atau tidur di tempat yang sesuai  sekiranya mengantuk, insya Allah dengan izin Allah kita akan selamat.
“Saya  sendiri dulupun dua kali terlibat kemalangan sewaktu berulang alik dari  Kuala Lumpur ke Pengkalan Chepa, semuanya kerana mengantuk,”ujarnya.  
Pesuruhjaya PAS Kelantan itu bagaimanapun bersyukur kerana terselamat  dalam dua kejadian itu. Beliau yang diiringi Setiausaha Akhbarnya,  Ustaz Mohd Fadzli Shaari, turut menghulurkan sumbangan kepada Roslan.  Turut menyambut kedatangan Tuan Guru pihak hospital Raja Perempuan  Zainab ll termasuk Dr Rosli Allani.
Sementara  itu, isteri Roslan, Noraisiah Deraman, 40, ketika ditemui mengucapkan  terima kasih pada Tuan Guru termasuk Pejabat Menteri Besar. Beliau  yang juga kakitangan Harakah Cawangan Kelantan, berkata semoga dengan  kedatangan Tuan Guru termasuk pimpinan yang lain akan memberikan  semangat untuk suaminya.
“Saya ucap terima kasih kepada semua  yang sudi menziarahi suami saya termasuk yang mendoakan  kesejahteraannya, terima kasih semua,” ujarnya.
Noraisiah bagaimanapun memberitahu suaminya masih mengadu sakit akibat kemalangan itu. (IH/Hrakahdaily)
Lihat sebelum ini..
 
 

No comments:
Post a Comment