
KL 14 Nov: Kadar kelaziman kes-kes diabetes di Malaysia telah bertambah jauh lebih cepat daripada yang dijangkakan, iaitu hampir dua kali ganda sejak dekad lalu.
Menurut Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), SM Mohamed Idris, diabetes bukan saja membebankan sumber-sumber negara, tetapi turut membebankan penghidapnya apabila terpaksa menanggung pelbagai kesulitan seperti kaki terpaksa dipotong, hilang penglihatan, diserang penyakit jantung, penyakit buah pinggang dan kerosakan saraf.
“Peningkatan kes-kes diabetes yang membimbangkan memerlukan langkah-langkah kukuh di pihak kerajaan dalam membendung wabak yang semakin berleluasa ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Sehubungan ini, ujarnya CAP menggesa Kementerian Kesihatan supaya membendung penjualan makanan yang tidak sihat, makanan yang tidak berkhasiat yang tinggi kandungan lemak, gula dan bahan penambah tidak harus digalakkan dengan mengenakan cukai ke atas makanan tersebut.
Beliau juga menyarankan agar kementerian mendidik penduduk Malaysia mengenai bahaya obesiti dan diabetes serta menggalakkan senaman dan menyediakan kemudahan yang sewajarnya di semua kawasan perumahan. (IH)
No comments:
Post a Comment