Wednesday, May 18, 2011

Ketagih 'Candu' Subsidi, Siapa Dalang? -Dr Dzulkefly



KL 18 Mei 11: Ahli Parlimen PAS Dr Dzulkefly Ahmad (gambar) berkata, penggunaan istilah “candu” oleh Perdana Menteri Datu Seri Najib Razak bagi menggambarkan pergantungan pada subsidi adalah tidak adil memandangkan pentadbirannya tidak banyak bertindak bagi mengurangkan keadaan itu.

Katanya, dalang mengakibatkan manipulasi pasaran adalah kerajaan itu sendiri dengan memberi subsidi dan geran dalam jumlah besar kepada syarikat dan kroni.

“Dan, di satu sebelah, mereka menghukum dan mengaibkan rakyat dengan mengatakan mereka ketagih pada candu subsidi, yang mana ia tidak seberapa jika dibandingkan dengan apa yang mereka berikan kepada kroni-kroni mereka,” katanya.

Justeru, Dzulkefly juga menggesa kerajaan agar mempertimbangkan dasar-dasar yang diketengahkan oleh PR dalam Buku Jingga mereka di mana ia mengesyorkan penstrukturan holistik dalam sistem subsidi.

“Kami dalam PR faham bahawa pendekatannya bukan dengan mudah memutuskan subsidi... kami meminta agar diadakan penstrukturan holistik sistem subsidi.

“Cara mereka (BN) hanya sedikit demi sedikit, kaedah jangka pendek, jika mereka teruskan akan memaksa yang miskin terdedah kepada kesan ekonomi global,” kata beliau.

Dalam ucapannya di London kelmarin, Najib berkata subsidi bahan api ibarat “candu” kepada ekonomi Malaysia dan perlu dikurangkan secara berperingkat-peringkat untuk mengawal defisit bajet.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, pentadbirannya telah memperuntukkan subsidi bernilai RM11 bilion tahun ini tetapi paras itu telah mengalami kenaikan, sehingga mencecah RM18 bilion ekoran harga minyak mentah antarabangsa yang begitu tinggi.

“Subsidi, pada keseluruhannya, seperti candu. Sekali anda ambil candu sukar untuk mengikis tabiat buruk; sekali anda memberi subsidi, sukar untuk diambilnya tanpa beberapa kos politik,” kata beliau di Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford.

Dzulkefly, wakil rakyat Kuala Selangor berkata, penarikan balik subsidi total akan menyebabkan kos-kos tidak adil ke atas kumpulan-kumpulan sensitif seperti kumpulan berpendapatan rendah.

“Ini seolah-olah dasar neokonservatif memperkayakan kroni dan kumpulan berkemampuan tetapi pada masa yang sama memangsakan kumpulan miskin.

“Tanya Najib, menerusi cara ini, bukankah ia memburukkan lagi ketidakaseimbangan pengagihan kekayaan dan ekuiti?” kata beliau. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails