Wednesday, May 18, 2011

Benarkah 'Pesaing Misteri' K/Muslimat PAS Tak Tanding?

Noridah Salleh

KL 18 Mei 11: 'Ketua Muslimat PAS: Pesaing 'misteri' Asiah tak tanding.' Begitu berita The Malaysian Insider hari ini. Menurut laporan itu, bakal calon jawatan ketua Muslimat PAS pusat masih kekal teka-teki apabila dua daripada empat nama yang dicalonkan, yang dilihat boleh memberi saingan sengit, mengambil pendirian untuk berdiam diri sementara waktu.

Jawatan itu disandang oleh Nuridah Salleh sejak 2007. Senarai nama yang layak bertanding kesemua jawatan peringkat pusat PAS dikeluarkan semalam. Selain Nuridah, calon yang layak bertanding ialah timbalannya Siti Zailah Mohd Yusof yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang, ahli jawatankuasa kerja PAS pusat dan Ahli Parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud dan ahli jawatankuasa kerja Muslimat PAS Asiah Ali.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Siti Zailah dan Siti Mariah memilih untuk “berdiam diri” buat sementara manakala Asiah memutuskan untuk tidak bertanding lagi kali ini. Bagaimanapun usaha untuk mendapatkan respons daripada Nuridah masih belum berhasil. Tarikh akhir untuk membuat pengesahan bertanding adalah 26 Mei ini.

Menurut Siti Zailah, beliau masih belum membuat sebarang keputusan sama ada mahu bertanding jawatan itu atau tidak. Jelas beliau, perkara tersebut akan dibincangkan terlebih dahulu dengan rakan-rakannya sebelum membuat keputusan.

“Sebagai seorang Islam, saya akan meminta petunjuk Allah, selain itu saya juga akan meminta pandangan jemaah dan mengadakan mesyuarat dengan rakan-rakan kerana ia merupakan satu keputusan besar,” katanya.

Jelas Siti Zailah, jawatan bukan matlamat utama beliau kerana ia adalah satu tanggungawab yang besar untuk dilaksanakan.

“Jawatan sebagai ketua Muslimat PAS adalah satu tanggungjawab bukan hanya di dunia tetapi juga di akhirat.

“Saya akan melihat terlebih dahulu berapa pencalonan yang saya dapat dan jika sudah berpuas hati, baru saya akan membuat keputusan,” katanya.

Selain itu beliau juga berharap perwakilan akan membuat keputusan bijak ketika pemilihan nanti. Siti Mariah berkata, beliau akan membuat beberapa pertimbangan dalam perkara itu sebelum mengumumkan pendirian sama ada mahu bertanding atau tidak.

“Saya akan membuat beberapa pertimbangan terlebih dahulu dan akan memberi jawapan minggu depan sebelum hari terakhir mengantar surat balas kepada ahli jawatankuasa pemilihan,” katanya.

Bagaimanapun Asiah secara rasmi mengumumkan tidak akan bersaing kerana mahu memberi laluan kepada muka baru.

“Saya tidak mahu bertanding walaupun terdapat pencalonan. Saya mahu memberi peluang kepada orang lain.

“Pada pemilihan dulu, saya pernah tercalon dan bertanding tetapi kalah. Kali ini, saya tidak mahu bertanding kerana tidak mahu ada yang kata saya ingin merebut jawatan tersebut,” katanya.

Jelas Asiah, beliau juga mengambil keputusan untuk tidak bertanding mana-mana jawatan lain kerana mahu memberi laluan kepada muka baru. Beliau turut layak bertanding jawatan timbalan ketua dan naib ketua Dewan Muslimat.

“Saya tidak akan bertanding mana-mana jawatan walaupun ada pencalonan,” jawabnya. (IH/The Malaysian Insider)

1 comment:

Rahmalhay said...

Saya berdoa semua kepimpinan Pas di beri Allah kekuatan dan semangat berkerja keras terutamanya,perhatian penuh kepada kepimpinan muslimah,walau pun siapa ketuanya biarlah kerja keras diantara jemaah muslimah perlu lebeh mantap dengan zaman yang banyak ditumpukan pada muslimah untuk memperbanyak dakwah kesedaran meramaikan lagi ahli-ahli pas di masa kini dan akan datang,semoga Allah memberi penunjuk dan kekuatan untuk kita sama-sama berkerja keras untuk Parti Pas bagi menegak kekuatanIslam diMalaysia.Insyaallah

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails