Wednesday, May 18, 2011

Ditahan ISA, Bekal Alat-jurutera Ke Selatan Filipina?


Warga Singapura dipercayai bekal alatan kejuruteraan..

JOHOR BARU: Ahli perniagaan Singapura, Abdul Majid Kunji Mohamad yang kini ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dipercayai membekalkan peralatan kejuruteraan dwi-kegunaan kepada kumpulan militan di selatan Filipina.

Menurut sumber perisikan serantau, bekalan peralatan kejuruteraan itu adalah untuk kegunaan kilang membuat senjata yang dimiliki oleh kumpulan tersebut di kawasan yang dikuasainya di selatan republik terbabit.

"Dia (Abdul Majid) dipercayai diminta untuk membekalkan peralatan kejuruteraan dwi-kegunaan kegunaan kilang senjata milik kumpulan itu, yang berkeupayaan membuat pelbagai jenis senjata termasuk 'rocket propelled grenade' (RPG)," katanya kepada Bernama hari ini.

Katanya bagi membolehkan kilang terbabit mengeluarkan senjata, ia memerlukan peralatan kejuruteraan yang moden dan berkualiti yang hanya boleh didapati di Malaysia dan Singapura.

Beliau berkata walaupun Abdul Majid yang kini menetap di Kuala Lumpur memiliki fahaman tentang Islam yang radikal, tetapi beliau dipercayai bukan merupakan anggota mana-mana kumpulan militan.

Katanya ahli perniagaan Singapura itu berkemungkinan akan diserahkan kepada pihak berkuasa Singapura selepas tempoh 60 hari penahanannya mengikut ISA oleh polis Malaysia itu tamat.

Pada 9 Mei lepas, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dalam satu kenyataan berkata, Abdul Majid ditahan kerana disyaki terlibat menyalurkan dana dan memberi bantuan logistik kepada kumpulan militan di selatan Filipina.

"Abdul Majid ditahan atas sebab-sebab penglibatannya dipercayai boleh memudaratkan keselamatan negara," katanya dalam satu kenyataan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata penahanan ahli perniagaan Singapura itu menurut ISA adalah kerana kaitannya dengan sebuah kumpulan militan di selatan Filipina.

Laporan sebuah akhbar Singapura pula mendakwa Abdul Majid, 60, pernah menjadi ahli lembaga pengarah Angkatan Karyawan Islam (AMP) republik terbabit selama setahun pada awal 1990-an.

Akhbar terbabit turut difahamkan Abdul Majid berkelulusan sarjana dalam bidang kejuruteraan daripada sebuah universiti di Britain dan pernah bertugas sebagai pensyarah di salah sebuah politeknik republik itu.

Sementara itu, sumber perisikan serantau itu juga berkata selepas perkenalannya dengan pemimpin kumpulan itu, Abdul Majid pernah menyumbangkan SGD$8,000 untuk pembinaan sebuah masjid di selatan Filipina itu.

"Abdul Majid bersimpati dengan perjuangan kumpulan militan selatan Filipina," katanya. BERNAMA

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails