Tuesday, May 17, 2011

K'tan: 50,000 Hektar Ladang Rakyat Dibangunkan

Tok Guru Nik Aziz & nasi bungkus... bersama rakyat
KL 17 Mei 11: Sehingga kini 50,000 hektar tanah di negeri Kelantan telah dibangunkan untuk projek ladang rakyat. Jelas Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yacob di Tumpat semalam.

“Projek itu melibatkan 4,500 peserta dengan 10 buah syarikat dilantik untuk membangunkan kawasan projek itu dan hasil keluaran ladang rakyat sejak 2006 sehingga sekarang adalah RM49 juta,” katanya.

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang juga Mursyidul Am PAS berkata, hakikatnya kerajaan PAS Kelantan tidak pernah merampas tanah dan kerajaan hanya membangunkan projek ladang rakyat itu di atas tanah kerajaan negeri.

“Kami mana boleh ambil tanah rakyat. Tanah Rakyat adalah tanah yang ada geran,” katanya dipetik Bernama Online.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan lebih 1,000 anggota badan bukan kerajaan (NGO) dan Pemuda Umno Kelantan yang mengadakan perhimpunan bagi membantah berhubung dakwaan penyelewengan projek ladang rakyat di hadapan kompleks kerajaan negeri di Kota Darul Naim di sini.

Perhimpunan secara aman yang berlangsung selama sejam itu bermula pada pukul 9.30 pagi disertai Orang Muda Berpadu Anti Korupsi Kelantan (OMBAK), Majlis Belia Kelantan, Majlis NGO Negeri Kelantan, Belia 4B dan Pemuda Umno Kelantan dan penduduk Orang Asli di Gua Musang yang kehilangan tanah mereka akibat projek itu.

Laporan itu juga memetik Nik Aziz berkata, beliau tidak menghalang jika ada pihak mengadakan demonstrasi tetapi kesal dengan fitnah yang dibuat oleh mereka yang berdemonstrasi kononnya kerajaan merampas tanah rakyat. Beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap media dan pihak yang menuduh kerajaan PAS Kelantan merampas tanah rakyat bagi membangunkan projek Ladang Rakyat. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails