Sunday, March 14, 2010

Tulang Besi (Blogger) Bertemu Ruas (PAS) Isnin Ini..

KUALA LUMPUR, 14 Mac — Blogger ‘Tulang Besi’ yang seringkali mengkritik tindakan pemimpin PAS menyokong idea kerajaan perpaduan Umno-BN akan mengadakan pertemuan dengan setiausaha agung parti berhubung aduan rasmi dibuatnya bulan lalu membabitkan tiga pemimpin kanannya.

Pertemuan itu akan berlangsung di ibu pejabat PAS di sini petang esok selepas kira-kira tiga minggu Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali memberikan ‘lampu hijau’ berhubung aduan rasmi dibuat membabitkan tiga pemimpin kanannya, mendakwa wujud salah laku menjejaskan nama komponen Pakatan Rakyat itu.

“Saya akan menemui Cikgu Pa (Mustafa) esok, pukul 2 petang,” kata pengendali blog malaysianwaves.com, Abdul Rahman Talib, yang lazimnya dikenali sebagai “Tulang Besi”.

“Saya seorang saja akan menemui Cikgu Pa, kemungkinan akan membawa seorang peguam,” kata beliau dari Jakarta.

Sebelum ini langkah itu disambut baik Abdul Rahman kerana setiausaha agung yang mempunyai kata putus sama ada sesuatu aduan mempunyai merit untuk disiasat ataupun sebaliknya pernah mengetepikan beberapa aduan sebelum ini termasuk yang dikemukakan oleh Exco Pemuda PAS Abdullah Abdul Karim.

Beliau selain mempertikaikan keputusan jawatankuasa disiplin parti itu menggantung Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad enam bulan sedangkan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali hanya diberi amaran juga mendakwa aduannya pernah ditolak Mustafa.

Tindakan itu mencetuskan rasa tidak senang di kalangan segelintir pemimpin dan ahli PAS. Abdul Rahman yang berada di Indonesia kerana urusan perniagaan sepatutnya berada di Kuala Lumpur dua minggu lalu tetapi kedatangan beliau tertangguh.

Difahamkan ini kali pertama sejak pertengahan tahun lalu pengadu yang membuat aduan ditemui setiausaha agung untuk mendapatkan penjelasan lanjut. Dalam aduannya pada 12 Feb lalu, Abdul Rahman turut menyenaraikan supaya keseluruhan anggota Majlis Syura PAS yang menyokong usaha meneruskan dialog kerajaan perpaduan selepas pilihan raya umum ke-12 disiasat jawatankuasa disiplin parti.

Tiga pemimpin yang dimaksudkan terdiri daripada Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa, Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din dan Hasan. yang bulan lalu dikenakan tindakan amaran oleh jawatankuasa disiplin. Idea dialog kerajaan perpaduan membabitkan PAS-Umno mendapat sokongan berbelah bahagi dalam parti itu.

Komen Blog Ibnu Hasyim: 'Tulang Besi' dari blogger akan bertemu ruasnya (SU Agung PAS), yang sudah tentu besi juga. Besi bertemu besi, perlu ada pelincirnya, supaya perjalanan lancar. Moga-moga bukan bagai buku bertemu ruas...

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails