Sunday, March 14, 2010

Kahwin B/Umur: Tiada Bukti Ajaran Sesat -JAHEAIK


KOTA BARU, 14 Mac — Pihak berkuasa agama Islam Kelantan tidak dapat mengesahkan sama ada tindakan mengahwini kanak-kanak berusia 10 dan 11 tahun di negeri itu baru-baru ini ada kaitan dengan ajaran sesat.

Bagaimanapun Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) tidak menolak kes seumpama itu adalah kerana ketaksuban seseorang terhadap ketuanya.

Pengarahnya, Datuk Mohd Azamli Jamaluddin berkata pihaknya tidak dapat mengesahkan kejadian tersebut di bawah katogari ajaran sesat selagi bukti kukuh belum diperoleh.

“Pihak jabatan agama memandang serius kes-kes begini dan akan segera ambil tindakan terhadap mereka terbabit jika didapati bersalah,” kata beliau sambil menambah, pihaknya sedang mengesan suspek yang dikenali sebagai ‘Shamsudin Ajaib’.

Beliau juga berkata jabatannya gagal mengesahkan sama ada perkahwinan tersebut sah atau tidak, sebaliknya mahu menyerahkan kepada mahkamah.

“Sah atau tidak mahkamah yang akan menentukan. Kita dalam proses mengumpul bukti untuk mengetahui keadaan sebenarnya yang berlaku.

“Dan kita akan menjejaki mereka yang terlibat,” kata beliau.

Seorang lelaki yang dikenali sebagai ‘Shamsudin Ajaib’ dikatakan mengaturkan perkahwinan dua budak perempuan dengan lelaki berusia 41 tahun di Kelantan baru-baru ini. Dia yang dikatakan mengetuai sebuah kumpulan tabligh menggunakan kepandaian memujuk untuk mempengaruhi anggota jemaahnya menyerahkan anak-anak perempuan untuk dinikahi sesama mereka walaupun berusia bawah umur.

Perkara tersebut didedahkan oleh salah seorang ahli kumpulan itu, Hussin Mat Salleh, 54. Hussin bersama isterinya, Siti Sarnan Mat Ail, 42, dari Dabong, Kuala Krai memfailkan permohonan mufaraqah atau berpisah sementara di atas perkahwinan anak mereka Siti Nur Zubaidah, 10, dengan Shamsudin pada 20 Feb lalu.

Shamsudin dipercayai diberi gelaran ‘ajaib’ kerana kepandaiannya dalam perubatan alternatif dan pernah mempunyai empat isteri sebelum ini. Katanya, perkahwinan yang dikatakan mengikut sunah berlangsung dalam keadaan yang amat ‘mudah’ - di atas sebuah madrasah di Machang sambil disaksikan dengan ahli jemaah yang lain.

Dalam pada itu, Mufti Kerajaan Kelantan, Datuk Syukri Mohamed mengingatkan umat Islam tidak menyempitkan definisi sunah dalam konteks nikah kahwin sehingga timbulnya pelbagai kekeliruan.

Sebaliknya kata beliau, aspek hukum dan peraturan mesti diberi perhatian serius.

“Memang kahwin itu sunah tetapi kaedah pelaksanaannya dari sudut hukum dan peraturan atau undang-undang sah atau tidak... ini perkara asas perlu didalami,” kata beliau ketika dihubungi hari ini.

Beliau diminta mengulas kes perkahwinan melibatkan kanak-kanak perempuan bawah umur yang berlaku di negeri ini baru-baru ini apabila diterpedaya kononnya mengikut sunah Nabi Muhammad SAW.

Menurut Shukri, jika dikatakan pernikahan tersebut adalah sah namun dari sudut peraturan dan undang-undang, kesahihannya mesti jelas mengikut apa yang telah diperuntukan dalam Enakmen Keluarga Islam mengenai hal-hal yang berkaitan.

“Seperti... kalau lelaki, syarat membolehkannya berkahwin ialah 18 tahun ke atas. Perempuan pula 16 tahun ke atas.

“Perkahwinan melibatkan bawah umur mesti mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa agama dahulu.

“Enakmen ini dibuat bukan saja-saja, tapi untuk menjaga kepentingan semua pihak.

“Contohnya budak 11 tahun... dalam usia sementah itu apa yang mereka tahu dalam perkara-perkara nikah kahwin ini, misalnya?

“Jadi, aspek kematangan perlu diambil kira dalam hal-hal begini,” katanya.

Menjawab punca kekeliruan sehingga tercetusnya kejadian-kejadian yang tidak sepatutnya berlaku di kalangan umat Islam, beliau berkata, “yang terbaiknya lebih baik kita letakkan ini satu isyarat bahawa dakwah kita belum sampai ke mana, walaupun usaha-usaha itu sentiasa ditingkatkan.”

“Walaupun begitu, tidaklah dinafikan kadang-kadang ada sesetengahnya sengaja buat-buat tak faham apabila nafsu bermaharajalela.

“Benarlah kata seorang penulis Arab dalam kitabnya ada menyebut bahawa ‘Islam berada di tengah-tengah kelemahan ulama dan kejahilan umat,” jelasnya.

Ditanya kejadian itu yang melibatkan kumpulan jemaah dakwah tabligh, Shukri tidak berminat untuk mengulas mengaitkan dengan sebarang institusi ataupun pertubuhan.

“Saya tidak suka kaitkan dengan sebarang pertubuhan ataupun institusi sebab kadang-kadang apa yang berlaku itu adalah secara kebetulan dari kelemahan ahli, bukannya pertubuhan atau institusi berkenaan.

“Tidak adil lah membuat tuduhan melulu,” katanya. Sehubungan itu Shukri memberitahu Jabatan Agama Islam Kelantan telah pun membuat siasatan terhadap kejadian tersebut.

Di Petalingjaya pula, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK), Abd Aziz Abd Rahman hari ini berkata, perkahwinan yang melibatkan kanak-kanak di bawah umur adalah sah mengikut hukum syarak sekiranya ia dibenarkan oleh wali kanak-kanak berkenaan.

Bagaimanapun, perkahwinan yang melibatkan kanak-kanak perempuan di bawah umur 16 tahun dan lelaki di bawah umur 18 tahun, mereka perlu mendapat kebenaran daripada pihak mahkamah sebelum berkahwin. (2MA)

Ada kaitan..

1 comment:

Panglima7 said...

Salam Tuan Hamba Ibnu Hasyim,
Hamba Panglima7 masuk mengadap.

Apa sudi kiranya tuanhamba melinkkan blog hamba dengan blog tuanhamba. Mudah-mudahan dapat memeriahkanlah alam blogger demi menegakkan kebenaran. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas saudara.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails