Sunday, September 13, 2009

Orang Melayu Sri Lanka, Nak Lawati Mereka?


GAYA lelaki Melayu Sri Lanka pada awal kurun ke-19. - Foto NSTP  

CATATAN SANTAI IBNU HASYIM
Imej yang berkaitan

PAGI ini saya dapat e-mail dari seorang kawan. Rupanya dia sudah tahu saya akan ke Sri Lanka November ini, selepas pulang dari Iran, Turkmenistan, Uzbekistan, Kyrgyzstan dan Tajikistan. Itupun kalau berkesempatan seperti yang dirancang bersama kawan-kawan lepas Hari Raya ini. Mungkin saya ke Sri Lanka seorang diri, tiket penerbangan pun dah ada.

Kalau ke Sri Lanka jenguk-jenguklah bangsa kita di sana!" Dia berpesan dalam e-mail itu. Menurutnya, ada kira-kira 50,000 rakyat Sri Lanka berketurunan Melayu kini menghadapi cabaran besar dalam usaha memelihara agama dan adat resam. Khususnya bahasa Melayu yang menjadi warisan nenek moyang mereka serta simbol penting jati diri mereka dalam masyarakat pelbagai keturunan di negara itu.


Saya pun terfikir juga, tentu susah bagi masyarakat Melayu Islam yang terpaksa menyesuaikan diri untuk menjalani kehidupan bersama etnik minoriti lain, iaitu Tamil, Moor dan Burgher (keturunan Serani), di negara yang mempunyai kira-kira 20 juta penduduk kebanyakannya berketurunan Sinhalese itu.

Teringat saya belasan tahun lalu cerita Ustaz Halim Arshat semasa beliau menjadi Setuausaha Agung PAS sebelum Ustaz Nasaruddin Mat Isa menggantinya. Beliau menceritakan bagaimana beliau berjumpa orang Melayu Sri Lanka semasa beliau hadir dalam suatu seminar gerakan-gerakan Islam sedunia di Colombo waktu itu.

"Seorang tua Melayu naik basikal puluhan kilometer datang berjumpa kami, bila tahu kami orang Islam Malaysia bangsa Melayu datang berseminar di tempatnya itu." katanya. "Inilah peluang mereka untuk berjumpa bangsanya sendiri.. semata-mata datang bersusah payah naik basikal begitu jauh nak jumpa kami saja.." Itu sebab Allah menyebutkan, dijadikan munusia supaya kenal-mengenal dan berkasih sayang, bukan berfikiran asobiah sempit.

"Apa yang dia beritahu?" Saya tanya Ustaz Halim.

"Dia memberitahu dengan sedih, bagaimana budaya dan bahasa Melayu sedang terhakis terkikis dan terhapus. Anak-anak muda mereka sudah ramai yang tidak tahu bahasa Melayu lagi, terutama di kawasan bandar di mana orang lebih banyak menggunakan bahasa Singhalese dan Inggeris. Anak-anak gadis sudah lebih selesa memakai 'sari', dan mereka tidak ber'baju kurung' lagi. Ramai yang tak tahu membaca dan menulis dalam bahasa Melayu. Bahasa Melayu hanya digunakan di rumah sesama anggota keluarga oleh datuk nenek mereka di luar bandar saja." Jelas beliau.


Melihat kepada catatan sejarah orang Melayu datang ke Sri Lanka semasa pemerintahan Belanda dan British antara akhir kurun ke-17 hingga ke-18, terutama dari kepulauan Indonesia. Mereka datang sebagai anggota tentera, pekerja atau dibuang negeri. Pentadbiran British pula mengambil orang Melayu dari Negeri-negeri Selat untuk berkhidmat dalam pasukan infantri tempatan. Sebahagian besar orang Melayu tinggal di Colombo dan di kawasan paling selatan negara pulau itu.
Menurut kenyataan Iqram Cuttilan, Presiden Persatuan Melayu Sri Lanka (SLMA) yang nenek moyangnya berasal dari Jawa kepada Bernama kira-kira setahun lalu (May 04, 2008), masyarakat Melayu di sana menghadapi masalah untuk mengembangkan bahasa ibunda mereka kerana kekurangan bahan bacaan dalam bahasa itu, di samping ketiadaan kesungguhan untuk memperjuangkan penggunaan bahasa itu dalam urusan rasmi.

"Dulu, makalah dan akhbar kami sebahagian besarnya menggunakan bahasa Melayu, tetapi kini semakin berkurangan dan digantikan dengan bahasa Singhalese serta Inggeris. Persatuan ini cuba menggalakkan penggunaan bahasa Melayu dengan menyediakan kelas bagi membolehkan pelajarnya cuba bertutur dan membaca dalam bahasa Melayu," kata Iqram.

Didorong oleh kekuatan semangat untuk meningkatkan penggunaan bahasa Melayu, SLMA mendapatkan bantuan kedutaan Indonesia dan Malaysia di sana, untuk meluaskan penggunaan bahasa itu bagi mengelaknya lenyap di negara yang mempunyai pelbagai etnik ini.

"Kami adakan kelas dan cuba mengajar asas bahasa Melayu, ayat dan perkataan mudah bagi membantu mereka memperkayakan perbendaharaan kata. Kami sedang berbincang (dengan SLMA) untuk menubuhkan sebuah pusat bagi memelihara bahasa ini dalam kalangan orang Melayu di sini," kata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Sri Lanka Rosli Ismail kepada Bernama waktu itu.

SLMA ditubuhkan pada 1922 dan merupakan cawangan kepada Kelab Kriket Melayu Colombo yang diasaskan pada 1872. Bangunan lamanya, yang masih tersergam megah, menjadi mercutanda penuh bersejarah tentang sumbangan penting masyarakat Melayu di negara Asia Selatan ini. Sebuah badan dikenali sebagai SLMA Rupee Fund turut memainkan peranan penting dalam membantu meningkatkan taraf sosio ekonomi masyarakat Melayu di negara ini.


Itu setahun lalu. Bulan November ini saya akan ke sana, dan cuba korek-korek balik ceritanya. Kalau tuan-tuan nak ikut, kita boleh rancang betul-betul buat majlis dan perbincangan untuk mereka di sana. Mereka sangat mengalu-alukan orang Melayu dari sini, supaya menziarahi mereka.


Berminat sila e-mail: Ibnuhasyim@gmail.com
Catatan Santai Ibnu Hasyim
Sept 13 2009

KL.

Lihat lagi..

E-Buku IH-3: Mencari Melayu/Islam Sri Lanka
Bab I: Sebelum pergi..

Bab II: Catatan Perjalanan.. Berjumpa di catatan perjalanan seterusnya..

6 comments:

sheikh teluk intan said...

Salam Pak Ibnu,

Nak ikut hang tapi tak sihat. Semoga hang selamat mengembara wahai blogger yang suka mengembara di seluruh pelusuk alam.

Ibnu Hasyim said...

T.kasih... daun keladi?

Anonymous said...

Salam Prof,

Korek bayak2 cerita melayu disana
untuk tatapan kami yanag tak kesempatan macam Prof. Susah senang depa adalah bangsa kita, sedih sayu pasti terasa.

Doa Prof sihat disam. Man Langkawi

gangga awana said...

salam

pada tahun 2004, saya berpeluang tinggal selama 30 hari di sekitar Colombo,Kurunegala,Kandy,Hanbantota (Kg Kirinder) bagi tujuan menjalankan program sosial bersama orang melayu bersama Grup Penjejak tamadun Dunia (gptd.blogspot.com).

alhamdulillah, banyak juga pengalaman bersama mereka tatkala di sana.

Unknown said...

Assalamualaikum.

alhamdulillah, saya dan 5 lagi rakan juga berkesempatan ziarah mereka di sri lanka pada november 2008 di bawah Kelab Generasi Pemuda Tamadun Dunia (GPTD), dulu dikenali sebagai grup pengkaji tamadun dunia.

Hingga kini, masih lagi 'keep in touch' dengan mereka. InsyaAllah, kami sedang merancang program lanjutan untuk ziarah mereka pada pertengahan tahun ini.

Mungkin ada baiknya jika grup kami dapat mengatur pertemuan dgn pihak Tuan untuk bertukar pandangan dan pendapat yang dapat membantu sahabat2 melayu kita di sana.

sudi-sudi jenguk ke blog kami http://gptd-srilanka.blogspot.com/

terima kasih. Assalamualaikum.
[Ain Najwa Badrul Amin]
email saya, mata_bisikanrahsia@yahoo.com

ALFAHD said...

Sy pun dah ke Colombo, melayu tinggal di tempat slave cloni, umpama haba abdi laa kesian...melayu di Capetown pula buangan Belanda & British, juga di Guyana

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails