Sunday, September 13, 2009

DPJepun: Berkarat 5 Dekad Pun Jatuh, 4 Perkara Untuk PAKATAN.

Perdana Menteri Jepun Taro Aso ambil tanggungjawab, kalahan teruk parti LDP di dalam pilihan raya umum Jepunbari-baru ini.

By NIK NAZMI NIK AHMAD
Setiausaha Politik MB Selangor

BARU-BARU ini Parti Demokratik Jepun (DPJ) mencipta sejarah apabila memenangi pilihan raya umum Jepun menewaskan Parti Liberal Demokrat (LDP) yang memerintah Jepun hampir terus-menerus selama lima dekad.

DPJ sebuah parti muda, yang dibentuk kira-kira sedekad lalu dan menghimpunkan suatu gabungan besar terdiri daripada bekas anggota LDP dan beberapa parti kecil sosok kiri dan tengah yang lain.

Di Asia, sejarah sama turut tercipta beberapa kali — kekalahan Parti Kongres kepada Parti Bharatiya Janata (BJP) pada 1998 di India; kekalahan Parti Kuomintang kepada Democratic Progressive Party di Taiwan pada 2000; kekalahan Grand National Party kepada Millennium Democratic Party di Korea Selatan pada tahun 1997; dan kekalahan Golkar di Indonesia pada 1999.

Bagi penyokong Pakatan Rakyat di Malaysia, kemenangan tersebut diikuti dengan dekat kerana persamaan senario di Malaysia dan Jepun: UMNO, seperti LDP telah mentadbir negara lebih lima dekad; Pakatan Rakyat, seperti DPJ lahir dari gerakan politik sedekad lalu (apabila Keadilan ditubuhkan dan turut sama dengan PAS, DAP dan PRM menubuhkan Barisan Alternatif) dan menghimpunkan gerakan politik dari pelbagai kumpulan sosok tengah dan kiri.

Coraknya sama — parti memerintah yang lama dan memainkan peranan dalam pembinaan negara pada peringkat awal mula kelihatan lemah serta ketandusan idea selepas sekian memegang kuasa. Perjuangan mula dilupakan dan rasuah mengambil tempat. Di sesetengah negara seperti Indonesia, Korea dan Taiwan, pemerintahan parti tunggal menyempitkan ruang demokrasi.

Malah di negara-negara lain pun, kemenangan besar atau pemerintahan yang lama semuanya menyumbang kepada kealpaan pemerintah — sama seperti pemerintahan George W. Bush bagi Parti Republikan di Amerika dan Parti Konservatif di Britain antara 1979-1997 dan kini digantikan Parti Buruh.

Sebab itu sistem demokrasi memberikan ruang untuk rakyat menukar tampuk pemerintahan, sebagai usaha menyegarkan suasana politik. Walaupun parti yang lama memerintah cenderung mencari jalan mengukuhkan kedudukan mereka dan menyempitkan ruang demokrasi, tetapi mereka tidak dapat menentang kuasa rakyat selama-lamanya.

Maka selepas perubahan lanskap politik negara menerusi Pilihan Raya Umum ke 12 pada 8 Mac 2008, ramai yang menantikan PRU 13 sama ada Pakatan Rakyat mampu menewaskan BN di peringkat Persekutuan.

Baru-baru ini Mohd Khuzairi Ismail dalam rencana “Revolusi Politik Jepun” di Utusan Malaysia mengulas kemenangan DPJ di Jepun. Walaupun mengakui proses pertukaran kerajaan malah gelombang 8 Mac di Malaysia sebagai sebahagian proses kematangan sesebuah demokrasi, beliau berhujah bahawa Malaysia belum bersedia kerana kita belum mencapai negara maju. Kerajaan sedia ada perlu kekal bagi membasmi kemiskinan.

Hujah ini agak pelik memandangkan sekiranya sesebuah kerajaan gagal menyelesaikan masalah kemiskinan selepas lebih 50 tahun memerintah, bukankah itu menggambarkan kita perlu kerajaan baru? Negara-negara seperti Taiwan dan Korea semuanya dahulu berada pada tahap ekonomi kita pada tahun 1960, tetapi sudah pun memintas kita. Hujah ini mirip pandangan bahawa kerana di dalam beberapa aspek sasaran DEB belum tercapai, maka kita terus memerlukan DEB. Saya fikir hujah yang lebih kuat adalah kita perlu pendekatan baru bagi mencapai sasaran tersebut kerana jelas pendekatan sedia ada tidak berjaya.

Kita juga boleh melihat contoh India, demokrasi terbesar di dunia yang juga mempunyai ramai penduduk miskin. Pertumbuhan ekonomi India hari ini diasaskan oleh Manmohan Singh sebagai Menteri Kewangan daripada Parti Kongres pada 1991. Sekalipun Kongres tewas kepada BJP tujuh tahun kemudian, pertumbuhan ekonomi India berterusan, dan masih lagi kukuh hari ini selepas Kongres mengambil alih semula pucuk pimpinan India dan Manmohan menjadi Perdana Menteri. Masyarakat miskin India jauh lebih ramai berbanding Malaysia, tetapi pertukaran politik sebanyak dua kali masih mengekalkan pertumbuhan ekonominya yang mengkagumkan.

Kerajaan yang waras akan mengekalkan dasar yang bermanfaat untuk negara, dan memperbaiki kelemahannya, tanpa mengira parti. Di Selangor contohnya, projek-projek pembangunan berterusan tetapi dasar pembangunan negeri diimbangi dasar Merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor bagi membolehkan rakyat Selangor berkongsi kekayaan. Kita meningkatkan garis kemiskinan bagi membolehkan pihak yang perlukan bantuan memperolehnya.

Daripada banyak perubahan yang berlaku di seluruh dunia, ada beberapa pengajaran penting untuk Pakatan Rakyat:

a. Perpaduan: Kejayaan Tony Blair pada 1997 dan kini David Cameron di Britain adalah kebolehan mereka menyatupadukan parti mereka yang sebelum ini berpecah-belah. Oleh itu Pakatan Rakyat mesti mengurangkan beberapa insiden kebelakangan ini yang memberi gambaran seolah-olah Pakatan Rakyat tidak bersatu-padu. Persetujuan pucuk pimpinan Pakatan Rakyat dapat dihayati oleh ahli dan pemimpin setiap peringkat agar benar-benar berkesan.

b. Agenda yang jelas dan diyakini: DPJ di Jepun menawarkan agenda yang jelas kepada rakyat Jepun. Walaupun ada pihak yang mempertikaikan dasar tersebut bersifat populis, tetapi pendekatan mereka menangkap imaginasi rakyat. Keadilan pada 2008 menawarkan lima janji Anwar yang juga populis dan berkesan, tetapi cabaran pada PRU 13 dengan adanya Pakatan Rakyat adalah agenda bersama Pakatan Rakyat yang jelas. Kelebihan kita berbanding dahulu adalah adanya kerajaan-kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat yang boleh dijadikan contoh perbezaan kita berbanding BN. Agenda tersebut mestilah melangkaui ideologi sempit, tetapi mudah difahami rakyat.

c. Meyakinkan pihak terlibat (stakeholder): Perubahan kepada kerajaan yang lama memerintah pasti merisaukan pihak terlibat sama ada kakitangan awam, institusi kerajaan mahupun golongan peniaga. Parti Konservatif di Britain misalnya memberi jaminan akan mempertahankan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan Britain bagi menolak imej ekstrim kanan mereka. Ketua DPJ, Yukio Hatoyama menulis esei di New York Times bagi meyakinkan masyarakat antarabangsa tentang agenda DPJ yang dilihat anti pasaran dan anti Amerika. Pakatan Rakyat perlu menjelaskan kepada institusi kerajaan dan kakitangan awam tentang tekad memelihara muafakat Perlembagaan serta hubungan baik dengan golongan pelabur dan peniaga.

Kita juga boleh mempertimbangkan cadangan Dato’ Nazir Razak di the Edge agar diperkenalkan pengampunan bagi rasuah, cuma saya merasakan garis pemisahnya bukan hanya masa tetapi saiz rasuah tersebut. Dengan ini anggota institusi kerajaan yang risau akan kedudukan mereka akan dapat diyakinkan bahawa sekiranya kesalahan mereka kecil, mereka tidak akan diburu dan dihukum dengan syarat selepas tarikh yang ditetapkan mereka tidak lagi mengulangi perkara tersebut.

d. Penampilan tokoh-tokoh muda dan berwibawa: Kelemahan parti yang terlalu lama memerintah ialah wujudnya kabilah-kabilah yang berkepentingan dan tokoh-tokoh lama yang membolot kuasa, lantas memberikan imej yang hambar. Penampilan tokoh-tokoh muda dan berwibawa memberi imej segar, sebagaimana DPJ di Jepun, Parti Buruh di Britain pada 1997, MDP di Korea dan juga Pakatan Rakyat pada PRU 12. Namun di sebalik kejayaan tersebut, kita juga melihat beberapa calon yang kurang kredibiliti turut menang. Justeru pada PRU 13 Pakatan Rakyat mesti terus mencari calon-calon baru yang muda di samping memastikan mutu calon jauh lebih baik berbanding sekarang.

Saya percaya empat pengajaran ini penting bagi Pakatan Rakyat melakari perubahan sama seperti di Jepun, Korea, India , Taiwan dan Indonesia. Rakyat Malaysia usah risau, sekiranya kita gagal, sistem demokrasi yang digunakan untuk memenangkan kami juga boleh menghukum kami. Di Korea, India dan Taiwan, parti-parti lama kembali merampas kuasa. Itulah realiti sistem demokrasi.

Nik Nazmi Nik Ahmad merupakan ADUN Seri Setia, Selangor dan turut menjawat Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor serta Exco Angkatan Muda Keadilan Malaysia. Beliau menulis blog di www.niknazmi.com. Pandangan ini merupakan pandangan peribadi.Tajuk asal 'Kemenangan DPJ di Jepun: 4 Pengajaran Untuk Pakatan. (AK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails