Saturday, September 19, 2009

Saya Ke Iran: Apa Istemewa & Manfaat Revolusinya Masakini?


CATATAN SANTAI IBNU HASYIM

SAYA akan ke Iran beberapa hari selepas raya ini? Termasuk ke beberapa negara bersempadanan, kalau ada ruang.

Iran bersempadan dengan Azerbaijan berjarak 432 km dan Armenia 35 km di barat laut. Laut Kaspian di utara, Turkmenistan 992 km, di timur laut. Pakistan 909 km dan Afghanistan 936 km di timur. Turki 499 km dan Irak 1.458 km di barat. Akhirnya Teluk Parsi dan Telok Oman di selatan. Luas tanah total adalah 1,648, 000 km², darat: 1,636,000 km², perairan: 12,000 km². Begitu kira-kira.

Pada saya apa yang menarik ialah mengenai revolusinya. Hal ini mengingatkan saya ketika bergolaknya suara kebangkitan Islam rakyat Iran kira-kira 30 tahun lalu. Saudara Anwar Ibrahim, sekarang Datuk Seri, ketika itu sebagai Presiden ABIM yang baru pulang dari Iran berceramah di dewan MPI (Maktab Perguruan Islam) Petaling Jaya, membangkitkan semangat revolusi Iran tersebut. Saya masih ingat, ceramahnya disambut dengan teriakan 'Allahu Akbar'. Gambar-gambar Ayatullah Ruhullah Khomeni mulai disebarkan. Sehingga di motosikal-motosikal yang bergerak di KL pun ditampal gambar pemimpin revolusi Iran itu.

Kini ada yang bertanya, apakah 'kemerdekaan, kebebasan, dan impian terbentuknya Republik Islam' itu sudah wajud sekarang ini setelah 30 tahun berlalu? Pada saya jika kita jengok dan tengok balik sejarah revolusi itu dari sudut politik, Ayatullah Khomeini sejak awal lagi sudah menerapkan sistem demokrasi dalam revolusinya. Beliau pancang dan tancapkan suara rakyat di atas tapak sistem pemerintahannya. Beliau serahkan keputusan selanjutnya kepada rakyat Iran melalui referendum pilihan raya.

Beliau menggunakan istilah 'republik' dalam sistem pemerintahan Islam Iran. Hasilnya menunjukkan bahawa 98.2% memilih Republik Islam Iran sebagai sistem pemerintahan. Inovasi Khomeini tersebut disambut baik oleh masyarakat Iran yang majoriti Muslim itu. Iran juga termasuk sebuah negara yang berbilang suku dan agama. Etnik majoriti ialah etnik Parsi 51%, 70% darinya keturunan Arya. Bertutur bahasa Iran. Kumpulan minoriti ialah Azeri 24%, Gilaki & Mazandarani 8%, Kurdi 7%, Arab 3%, Baluchi 2%, Lur 2%, Turkmen 2%, dan juga suku-suku lain 1%.

Penutur bahasa Iran sebanyak 40 juta di Iran, dan jumlah keseluruhannya merangkumi negara-negara lain adalah 150-200 juta. Penduduk Iran pada tahun 2006 ialah 70 juta. Sebanyak dua pertiga jumlah penduduknya di bawah umur 30 tahun dan persen penduduk yang celek huruf 86%. Kebanyakan penduduk Iran adalah Muslim di mana 90% Syiah dan 8% Sunnah. 2% lagi adalah penganut agamaBaha'i, Mandea, Hindu, Zoroastrianisma, Yahudi, dan Kristian. Kecuali Baha'i, lain semuanya diakui oleh pemerintah Iran dan turut mempunyai perwakilan di parlimen.

Khomeini sedar bahawa sebuah sistem tidak akan berjalan tanpa direstui rakyatnya. Seperti juga Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam Iran pada masa ini, Ayatollah Al-Udzma Sayid Ali Khamenei yang panggilan akrabnya Rahbar. Antara kenyataannya menyebutkan bahawa salah satu kejayaan besar Revolusi Islam Iran adalah boleh menyatukan demkorasi dengan agama. Demokrasi sama sekali tidak bertentangan dengan agama. Pasca Revolusi Islam Iran, masyarakat agama negara itu sepakat memilih Islam sebagai landasan sistem pemerintahan.

Sistem Republik Islam Iran menerapkan 4 Pilihan Raya Umum.
Pertama
Memilh Ahli Dewan Kepemimpinan atau 'Majles-e Khebregan-e Rahbari',
Kedua
Ahli Parlimen atau 'Majles-e Shura-e Islami',
Ketiga
Presiden, dan
Keempat
Dewan Datuk Bandar.

Ahli Dewan Kepemimpinan berfungsi untuk memilih Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam Iran atau Rahbar, yang juga diistilahkan dengan Wali Faqih. Ahli Dewan Kepemimpinan yang dipilih rakyat itu, mengawasi tugas Wali Faqih. Sementara Dewan Datuk Bandar pula memilih Datuk Bandar. Begitulah demokratiknya Iran menurut Islam. Diwujudkan juga majlis atau Dewan Pengawal Revolusi. Ia merupakan sebuah lembaga yang semestinya ada dalam sesebuah pemerintahan seperti Mahkamah Perlembagaan. Majlis ini berperanan bagi menolak keputusan yang bertentangan dengan amanat rakyat Iran.

Mengenai Jabatan Wali Faqih... Wali ertinya pemimpin. Faqih bererti ulama yang pakar dalam ilmu fiqh. Jadi Wali Faqih sebagai kepimpinan ulama pakar. Sepeninggal Khomeini, jabatan Wali Faqih tersebut dijabat oleh Ayatollah Al-Udzma Sayid Ali Khamenei, hingga kini. Mengingat rakyat Iran memilih Islam sebagai sistem pemerintahan di negeri itu, jabatan tertinggi Wali Faqih dalam sistem pemerintahannya itu memang tepat. Apalagi bila peranan Wali Faqih tersebut dipantau oleh Ahli Dewan Kepemimpinan yang seluruh anggotanya dipilih oleh rakyat.

Maka Wali Faqih tidak dapat menggunakan kuasa sewenang-wenang tanpa koridor yang jelas. Tetapi ada kalangan menyebutkan partai-partai non-Islam yang berpandangan liberal dan marxisme dilarang di Iran. Bahkan, berbagai kelompok yang pernah berperanan penting dalam revolusi, seperti Kekuatan Nasional Agama dan Gerakan Pembebasan, justru tersingkir dari arena politik pilihan raya.

Contohnya Ebrahim Yazdi, yang dikatakan kerap menentang kerajaan, katanya “Demokrasi akan menang dalam masyarakat di mana ‘ikan besar tidak memakan ikan kecil’. Berbeda dengan Rejim Shah (pemerintah yang digulingkan dulu di mana kekuasaan hanya pada satu orang), kini banyak kelompok di arena politik Iran yang sama-sama berkuasa, tetapi tidak cukup kuat saling menendang.”

Menangani masalah tersebut, maka perlu disedari bahawa Republik Islam Iran dibangunkan atas sokongan majoriti rakyat. Jadi, Ibarahim Yazdi dan kelompok-kelompok lainnya tidak dapat memaksakan pendapat mereka untuk mengubah sistem pemerintahan Islam Iran yang disepakati dengan 98.2% suara. Itulah kebijaksanaan pemerintah Islam Iran menyesuaikan dengan amanat rakyat majoriti yang memilih Islam sebagai sistem pemerintahan.

Walaupun begitu kelompok-kelompok bukan Islam juga mendapat hadiah kursi di parlimen, tandanya Islam memberi keadilan kepada semua rakyat tidak kira kaum dan agama. Inilah yang dikhawatirkan Barat, bahawa Islam mampu menjadi alternatif dalam sistem pemerintahan di dunia, menggantikan sistem mereka yang mula parah sesudah lumpuhnya komunis ditempat lahirnya sendiri.

Selepas 30 tahun revolusi, terbukti Iran mampu menghasilkan teknologi nuklier untuk keamanan walaupun cuba difitnah oleh AS dan kuncu-kuncunya. Bahkan berhasil meluncurkan satelit Omid pula... Bagaimana pula kalau di Malaysia, mampukah PAS mendominasi kebangkaitan rakyat dan membawanya ke arah Islam?

Tidak ada yang mustahil, kerana 50 tahun dulu PAS tidak pernah mimpi bahawa ada orang bukan Islam boleh menyokong dan memberi kemenangan kepada PAS dalam pilihan raya di kawasan yang majoriti oleh bukan Islam. Tetapi hal ini sudah berlaku sekarang.

Catatan Santai Ibnu Hasyim
e-mail: ibnuhasyim@gmail.com
Sept19, 2009

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails