Wednesday, September 16, 2009

Rumah Putih Sepatutnya Dibebaskan -Osama Laden.

Pita video sepanjang 11 minit itu disiarkan dua hari selepas Amerika memperingati serangan 11 September

WASHINGTON Sept 2009: Pemimpin Al- Qaeda, Osama bin Laden, memberitahu Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, bahawa beliau 'tidak berupaya' menghentikan peperangan di Afghanistan dan Iraq, serta perlu memikir semula dasar beliau mengenai Israel.

Pesanan pertama Osama dalam tempoh tiga bulan itu, yang disiarkan dua hari selepas Amerika memperingati serangan 11 September, menuduh puak 'neo-konservatif' masih menguasai Rumah Putih. Pita video sepanjang 11 minit itu disiarkan As-Sahab Ahad lalu memaparkan gambar diam Osama diiringi pita audio yang judulnya bermaksud 'Pesanan buat Rakyat Amerika', kata badan pemantau pengganasan, IntelCenter.

Menurut Osama, Al-Qaeda melancar serangan 11 September disebabkan 'ketidakadilan yang dilakukan Amerika' termasuk sokongan membabi buta terhadap Israel. 'Punca pertikaian kami dengan anda ialah sokongan anda terhadap Israel, yang menduduki tanah kami di Palestin,' kata Osama.

Menurutnya, peperangan di Iraq dan Afghanistan didorong kumpulan pelobi pro-Israel di Rumah Putih dan kepentingan korporat, bukan oleh kumpulan tegar Islam. 'Jika anda fikirkan masak-masak, anda akan tahu bahawa Rumah Putih diduduki kumpulan pendesak,' kata Osama.

'Daripada berperang untuk membebaskan Iraq - seperti yang didakwa (mantan presiden) Bush - Rumah Putih yang sepatutnya dibebaskan,' kata Osama.

Jika rakyat Amerika mahu menamatkan konfrontasi dengan Al-Qaeda, mereka mesti menimbang semula sikap mereka terhadap Israel dan hentikan peperangan di Afghanistan. 'Jika anda hentikan peperangan, itu bagus. Jika tidak, kami tak ada pilihan melainkan meneruskan peperangan di semua medan,' tegas Osama. (AP, AFP, Reuters)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails