Tuesday, November 03, 2009

Bandar Islam Di Colombo..

CATATAN PERJALANAN: SRI LANKA 2

Bangunan ini milik orang Islam di Maradana..

Suasana Bandar Islam di Colombo

AGAK janggal bila disebut 'bandar Islam' di dalam negara bukan Islam. Tapi kalau disebut 'Cina Town' tidak ada apa-apa, walau dikatakan ada Cina Town di Banda Aceh yang kadang-kadang orang Aceh sendiri pun tak tahu. Begitu juga di Petaling Street KL, di Amerika dan lain-lain. Pada saya, sekarang saya berada di bandar Islam di Colombo. Mengapa?

Pertama..
Di Sri Lanka, Islam diamalkan oleh sekumpulan minoriti yang membentuk lebih kurang 8% penduduk. Masyarakat Islam terbahagi kepada tiga kumpulan etnik utama. Orang Moor Sri Lanka, Orang Moor India dan Orang Melayu, masing-masing memiliki sejarah dan tradisi tersendiri. Majoriti orang bukan Islam di Sri Lanka kerap menggunakan istilah 'Muslim' sebagai sebuah kumpulan etnik, khasnya apabila merujuk pada orang Moor Sri Lanka.


Orang Moor Sri Lanka berjumlah 1.6 juta. Menggunakan bahasa Sinhala, Tamil, Arwi, Arab dan lain-lain. Dengan kedatangan pedagang-pedagang Arab pada kurun ke-8, Islam mula berkembang mekar di Sri Lanka. Golongan pertama yang menganut agama Islam ialah para pedagang Arab dan isteri keturunan tempatan mereka yang dikahwini setelah memeluk Islam. Pada kurun ke-15, pedagang-pedagang Arab telah menguasai banyak perdagangan di Lautan Hindi termasuklah Sri Lanka. Ramai antara mereka yang bermastautin di pulau itu lalu menggalakkan penyebaran Islam.

Bagaimana pun, apabila orang penjajah Portugis tiba pada kurun ke-16 dalam misi melanjutkan Perang Salib di Eropah, ramai keturunan Muslim terdiri dari Orang Moor Sri Lanka telah ditindas. Hal ini memaksa mereka berhijrah ke tanah tinggi tengah dan ke kawasan pantai timur negara itu. Semasa kurun-kurun ke-18 dan 19, orang Islam Jawa dan Malaya (Malaysia) dibawa masuk oleh penjajah Belanda dan British lalu menyumbang kepada pertumbuhan populasi Muslim di Sri Lanka.

Keturunan mereka, kini adalah orang Melayu Sri Lanka yang saya sedang cari maklumatnya. Dikatakan mereka menerima pakai beberapa tradisi Islam orang Moor Sri Lanka di samping juga menyumbang amalan budaya Islam mereka yang unik kepada kumpulan-kumpulan Muslim lain di sini. Kedatangan orang Islam dari India kurun ke-19 dan 20 juga menyumbang kepada perkembangan Islam di Sri Lanka. Kini, orang Islam di Sri Lanka dikendalikan oleh Jabatan Urusan Agama dan Budaya Orang Islam yang ditubuhkan pada tahun 1980-an untuk menghalang pengasingan berterusan komuniti orang Islam daripada kelompok lain. Sehingga hari ini, lebih kurang 8% orang Sri Lanka menganut agama Islam; kebanyakannya dari komuniti etnik keturunan Arab dan Melayu.

Kedua.. Cuba anda lihat bendera Sri Lanka ini..

Jalur hijau pada bendera Sri Lanka melambangkan Islam dan kumpulan etnik Moor. Sila rujuk Wikipedia. Ertinya kumpulan Islam mempunyai sumbangan yang besar terhadap pembangunan negara Sri Lanka. Contohnya, telah diiktiraf melalui bendera ini.

Ketiga.. Walaupun berlaku peristiwa Colombo 10 Mac 2009 baru lalu iaitu seramai 15 orang terbunuh sementara 60 yang lain termasuk dua menteri kerajaan cedera apabila seorang pengebom berani mati Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) meletupkan diri dalam satu acara sambutan Maulidur Rasul di sebuah masjid di sini... Serangan yang disasarkan ke atas ahli politik yang menghadiri majlis di Masjid Bandar Akuressa itu berlaku ketika LTTE dilihat hampir kalah di tangan tentera kerajaan selepas berbulan-bulan bertempur hebat.

Kira-kira 20 orang termasuk Menteri Perkhidmatan Pos, Mahinda Wijesekera dan Menteri Kebudayaan, Mahinda Yapa Abeywardena cedera dalam serangan tersebut. Wijesekera dilaporkan tenat dan sedang bertarung nyawa di sebuah hospital tempatan waktu itu, seperti yang dilaporkan oleh AFP. Ini bukan kali pertama, kerana sebelumnya pernah peristiwa seperti ini.

Walaupun begitu hubungan orang Islam dengan kerajaan Sri Lanka terus mantab. Kehidupan bermasyarakat dengan bukan Muslim terus baik sehingga wajud bandar Islam di Colombo.

Keempat: Begini lanjutan dari kisah semalam dari airport Colombo...

Bas yang membawa saya ke Colombo City atau pusat bandar sudah sampai, walaupun pemandunya hanya pakai kain pelikat lusuh dan carik pula. Saya cari kedai makan Muslim, bertanya di mana masjid dan hotel yang sesuai untuk saya. Akhirnya sampai di daerah Maradana, kira-kira 2 kilometer dari pusat bandar. Saya pilih hotel itu pertama kerana hotel itu milik orang Islam, penghuni biasanya Muslim, dan bersebelahan masjid. Kedua, kerana murah. Apa tidaknya, biasanya satu hari 1,200 rupee (1,000 rupee = RM37.1) di hotel biasa lain, tapi di sini cuma 300 rupee sahaja.

Saya setuju walaupun bilik air luar kerana saya ingin berkawan dengan orang-orang Muslim di situ. Kedai makan Muslim di bawahnya buka 24 jam. Harga makannya agak murah berbanding dengan tempat-tempat lain. Rupanya di situ dan kawasan sekitarnya majoriti orang Islam. Banyak kedai-kedai terutamanya kedai makan milik orang Islam. Terdapat klinik-klinik milik orang Islam, Zahira College Colombo, kedai internet, pusat buku, media Islam dan barangan keperluan orang Islam. Begitu juga NGO-NGO Islam. Al-hamdulillah, sebab itu saya lebih suka menyebutnya sebagai bandar atau pekan Islam di Colombo. Seperti juga pekan-pekan lain, pekan Islam di Bangkok, di China atau pekan kecil Islam di selatan Myanmar.

Kita sambung besok pula. Insya Allah.
Hasil carian imej untuk ibnu hasyim
Ibnu Hasyim, Catatan Perjalanan.
ibnuhasyim@gmail.com
November 3, 2009
Maradana, Colombo, Sri Lanka.


E-Buku IH-3: Mencari Melayu/Islam Sri Lanka
Bab I: Sebelum pergi..
Bab II: Catatan Perjalanan..
Berjumpa di catatan perjalanan seterusnya..

7 comments:

Shahabudeen Jalil said...

tulisan yang bernas. terima kasih.

Limau tambun said...

Sdr Ibnu Hashim,

Assalamualaikum dan salam perkenalan

Satu catatan perjalanan yang amat menarik.

Saya menunggu update laporan terutama mengenai masyarakat Melayu Sri Lanka.

Difahamkan masih ada warisan masyarakat Melayu di Kampung Kinniya, Daerah Trancomalee.

Mungkin Sdr dapat mencari lebih banyak maklumat mengenai kampung ini yang dilanda Tsunami 2004.

Shahabudeen Jalil said...

buat apa cari orang Melayu, cari orang Islam dah lebih dari cukup.

suluh banjar said...

Assalamualaikum wr wb
Alhamdulillah, menarik sekali tulisan dalam blog Anda mengenai orang2 Melayu Srilanka.
Satu hal lagi Tuan,kebetulan saya dari Banjarmasin-Indonesia, salah seorang keturunan raja Banjarmasin ada yang dibuang oleh Belanda ke Srilanka, nama beliau adalah Pangeran Amir. Mudah2an Tuan dapat menelusurinya. Wassalam

suluh banjar said...

Assalamualaikum wr wb
Mudah2an Tuan sudi berkunjung ke situs saya:
suluhbanjar.blogspot.com
Wassalam

Ibnu Hasyim said...

T. kasih, saya akan kaji,,

Gagak Perkasa said...

Pernah ke Colombo,jumpa prabu pernah kerja di Msia. Dia bawa saya ke slave colony yakni tempat tinggal orang Melayu. masyallah...Melayu adalah slave di Ceylon dan juga S. Africa

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails