Monday, November 02, 2009

18 Produk Berplumbum Tinggi, Kurma Bagaimana?

PENGGUNA

KL Nov2 2009. Pemeriksaan Kementerian Kesihatan mendapati kesemua 18 produk buah kering yang mengandungi kandungan plumbum yang tinggi oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (USFDA) tidak terdapat di pasaran negara ini.

Pengarah Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan kementerian itu, Nooraini Datuk Mohd Osman berkata, berdasarkan data dari Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FoSIM) dan juga melalui operasi khas periksa dan pantau di pintu masuk negara ini mendapati Malaysia tidak mengimport kesemua 18 produk tersebut.

"Kementerian Kesihatan segera bertindak dengan mempertingkatkan pemantauan di pintu masuk dan juga di pasaran tempatan berikutan laporan dalam laman web USFDA iaitu http://www.fda.gov pada 1 Oktober lepas berhubung 18 produk buah kering itu," kata Nooraini dalam satu kenyataan, di Putrajaya hari ini.

Sebagai langkah berjaga-jaga, Kementerian Kesihatan telah mengenakan tindakan pemeriksaan Tahap 5 iaitu tahap Tahan, Uji dan Lepas melalui FoSIM ke atas semua buah kering termasuk plum kering dan prun kering yang disenaraikan USFDA untuk dianalisis kandungan plumbumnya.

Pemantauan dan pemeriksaan melalui operasi khas itu juga dijalankan bagi memastikan bahawa produk berkenaan tidak terdapat di pasaran tempatan, katanya.

Sebagai langkah berjaga-jaga tambahan, Kementerian Kesihatan juga menjalankan pemantauan ke atas kandungan plumbum dalam produk buah kering selain daripada 18 produk yang disenaraikan USFDA.

"Sehingga kini 15 daripada 44 sampel buah kering yang telah dianalisis didapati tidak mengandungi plumbum melebihi paras yang dibenarkan iaitu 2 mg/kg atau 2 bahagian per sejuta (ppm) sebagaimana yang dibenarkan di bawah Peraturan-peraturan Makanan 1985," menurut Nooraini lagi.

Pengguna tidak perlu risau mengenai isu plumbum dalam buah kering kerana Kementerian Kesihatan telah dan sedang mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani isu tersebut, jelas beliau.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat berhubung soal keselamatan dan kualiti makanan dalam laman web Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan iaitu di http://fsq.moh.gov.my. BERNAMA

Komen Blog Ibnu Hasyim: Tak dengar sebut buah korma pun? Bagus la tu.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails