Monday, April 04, 2022

Ismail Sabri-Jokowi MoU 10,000 pembantu rumah tiba.

 

Ismail Sabri (berdiri kiri) dan Joko Widodo menyaksikan pemeteraian MoU PDI di Istana Merdeka sempena lawatan kerja Perdana Menteri ke republik itu semalam. MoU itu dimteterai Saravanan dan Menteri Ketenagakerjaan Indonesia, Ida Fauziah (duduk kanan). - foto BERNAMA

10,000 pembantu rumah Id. tiba selepas Ramadan

KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka menerima kemasukan kumpulan pertama pembantu rumah Indonesia berjumlah sekitar 10,000 orang selepas Ramadan.

Ia susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bagi pengambilan dan perlindungan pekhidmat domestik Indonesia (PDI) antara Malaysia dan Indonesia di Jakarta, semalam.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata MoU itu antara lain menetapkan kos maksimum pengambilan pembantu rumah Indonesia pada kadar RM15,000.

Selain itu, katanya, MoU itu menggariskan supaya seorang pembantu rumah Indonesia hanya boleh berkhidmat untuk isi rumah tidak melebihi enam orang, selain gaji mereka perlu dibayar sebelum hari ketujuh setiap bulan.

"Kos ditetapkan maksimum RM15,000 termasuk kuarantin. Sekarang kerajaan telah mansuhkan kuarantin, maka kos ini tidak boleh lebih RM15,000 dan kadar ini akan dikaji sekali setiap tiga bulan.

"Kedua, setiap PDI hanya boleh bekerja untuk enam ahli keluarga sahaja. Ertinya, jika ahli keluarga melebihi enam orang, mereka perlu melantik dua PDI atau lebih mengikut saiz keluarga.

Pembantu rumah Siti Rokayya (kiri) ditemani majikannya Emmy Syafrina Othman 42 (tengah) mendapatkan suntikan dos penggalak pada 31 Mac lalu. Menerusi MoU dimeterai Malaysia dan Indonesia, seorang pembantu rumah hanya boleh berkhidmat untuk enam ahli keluarga. - foto hiasan BERNAMA

"Semua PDI juga akan diberi jaringan keselamatan melalui caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), selain kita juga akan mengadakan kursus induksi kepada PDI dan semua pekerja asing.

"Menerusi kursus induksi ini, mereka akan dididik mengenai hak mereka kerana dalam kebanyakan isu, ramai pekerja asing tidak mengetahui hak mereka sekali gus tidak membuat aduan apabila berlaku penganiayaan," katanya kepada pemberita di Jakarta.

Semalam, Malaysia dan Indonesia memeterai MoU bagi pengambilan dan perlindungan PDI disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Indonesia, Joko Widodo di Istana Merdeka, Jakarta.

Malaysia diwakili Saravanan dalam pemeteraian MoU itu, manakala Indonesia diwakili Menteri Ketenagakerjaan, Ida Fauziyah.

Mengulas lanjut, Saravanan memaklumkan Malaysia memohon kemasukan sekitar 10,000 PDI kepada Jakarta untuk fasa pertama, dalam tempoh sebulan selepas MoU dimeterai.

"Namun mungkin ada PDI nak luangkan Ramadan bersama ahli keluarga. Walaupun ada keperluan mendesak, kita beri ruang dan saya jangka mereka akan tiba selepas Ramadan," katanya.

Saravanan memaklumkan, Kementerian Sumber Manusia (KSM) melaksanakan pelbagai pendekatan termasuk e-Wages bagi memantau pembayaran gaji kepada PDI.

Selain itu, PDI akan dibekalkan dengan aplikasi Working for Workers bagi membolehkan mereka membuat aduan kepada kementerian, tanpa perlu pergi ke pejabat Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

Satu jawatankuasa khas yang diketuai Ketua Setiausaha Kementerian kedua-dua negara akan turut bermesyuarat tiga bulan sekali untuk memantau pelaksanaan MoU.

Dalam pada itu, Saravanan menegaskan semua mekanisme untuk melindungi kebajikan pembantu rumah Indonesia hanya boleh diaplikasikan bagi PDI yang masuk secara sah ke Malaysia.

"Saya boleh memantau keadaan bagi mereka yang datang secara sah. Jika mereka datang melalui lorong tikus atau sebagai pelancong dan akhirnya bekerja, susah untuk saya kawal.

"Jadi, saya perlukan peranan Jakarta untuk memastikan tiada yang masuk ke Malaysia melalui cara yang tidak sah. Walaupun tidak boleh kawal 100 peratus, masih perlukan tindakan tegas," katanya. (BH)


No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails