Saturday, April 09, 2022

Muhyiddin gesa perbicaraan 1MDB Najib disegerakan

 

Bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin menggesa perbicaraan berkaitan skandal 1MDB di Malaysia disegerakan.

Walaupun tidak menyebut sebarang nama, presiden Bersatu itu dipercayai merujuk kepada perbicaraan 1MDB melibatkan musuh politiknya, Najib Razak yang masih berlangsung.

"Saya percaya mahkamah di negara kita juga akan memberikan keadilan kepada seluruh rakyat Malaysia dalam kes 1MDB yang masih dalam prosiding.

"Perbicaraan kes ini mesti disegerakan agar keadilan segera dicapai," katanya dalam kenyataan media.

Muhyiddin berkata demikian ketika mengulas keputusan mahkamah Amerika Syarikat yang menjatuhkan hukuman bersalah terhadap bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng atas kesalahan rasuah dan pengubahan wang haram dalam kes 1MDB.

Najib dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion dana 1MDB.

Selain merupakan perdana menteri pada masa kesalahan itu didakwa dilakukan, Najib juga merupakan menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

1 MDB dimiliki oleh Menteri Kewangan Diperbadankan.

Muhyiddin sebelum ini mendakwa Najib meminta bantuannya ketika dia menjadi perdana menteri untuk campur tangan dalam kes itu, termasuk menyingkirkan Gopal Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya dalam kes itu.

Najib bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut. – Mkini

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails