Tuesday, April 05, 2022

Permohonan Malaysiakini batal sabitan menghina gagal

 

PUTRAJAYA: Panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan semakan Malaysiakini untuk membatalkan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mendapati portal berita dalam talian itu bersalah menghina mahkamah menerusi penerbitan komen pembaca.

Panel yang diketuai Hakim Puan Sri Zaleha Yusof memutuskan bahawa hujah yang dibangkitkan dalam prosiding semakan hari ini oleh peguam Malaysiakini  Datuk Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili pengendali Malaysiakini, Mkini Dotcom Sdn Bhd, telah dikemukakan dan dipertimbangkan oleh panel Mahkamah Persekutuan yang telah mendengar permohonan penghinaan itu.

Beliau berkata hujahan yang dibangkitkan oleh peguam gagal untuk meyakinkan mahkamah berhubung isu berkaitan dakwaan pelanggaran peraturan keadilan asasi.

Beliau berkata walaupun andaian sekiranya kami bersetuju dengan hujah peguam Malaysiakini, mahkamah dikekang oleh kekurangan bidang kuasa untuk mendengar permohonan itu kerana ia adalah permohonan semakan dan bukan rayuan.

Hakim Zaleha berkata memandangkan perkara itu adalah kes kepentingan awam, mahkamah tidak akan membuat sebarang perintah mengenai kos.

Hakim lain yang menganggotai panel itu ialah Datuk Zabariah Mohd Yusof, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Pada 19 Feb 2021 dalam keputusan majoriti 6-1, Mahkamah Persekutuan yang dianggotai tujuh hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rohana Yusuf, mendapati Malaysiakini bersalah menghina mahkamah menerusi penerbitan komen pembaca dan syarikat itu diarah membayar denda RM500,000 dan Mkini Dotcom Sdn Bhd membayar denda itu. 

Pada 17 Jun 2020, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan kebenaran ex-parte Jabatan Peguam Negara untuk memulakan prosiding komital terhadap Mkini Dotcom yang mengendalikan portal berita Malaysiakini serta Ketua Pengarang Malaysiakini Steven Gan.

Ia berhubung komen lima pembaca mengenai satu artikel yang disiarkan oleh Malaysiakini pada 9 Jun, bertajuk ‘CJ orders all courts to be fully operational from July 1‘ yang disifatkan sebagai menyinggung perasaan.

Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan mendapati Gan tidak bersalah menghina mahkamah.

Dalam permohonan semakan yang difailkan oleh Mkini Dotcom, syarikat itu memohon mengetepikan keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini dan meminta pendengaran semula prosiding menghina itu.

Dalam permohonan semakan yang difailkan oleh Mkini Dotcom, syarikat itu memohon mengetepikan keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini dan meminta pendengaran semula prosiding menghina itu.

Pada prosiding hari ini yang dijalankan secara dalam talian, Malik Imtiaz berhujah bahawa Malaysiakini telah bersikap prejudis kerana penghakiman majoriti oleh Mahkamah Persekutuan telah melibatkan beberapa isu tertentu, yang di luar hujah Peguam Negara.

Beliau berkata Malaysiakini tidak akan didapati bersalah kerana menghina mahkamah jika kes itu hanya berdasarkan kes Peguam Negara kerana selepas itu badan berkenaan telah mengakui beberapa perkara yang memihak kepada portal itu.

Malik Imtiaz berkata panel Mahkamah Persekutuan dalam membuat keputusan majoriti, telah menyebabkan pelanggaran serius terhadap peraturan keadilan asasi yang mengakibatkan berlakunya ketidakadilan.

Beliau juga berhujah Malaysiakini tidak diminta atau diberi peluang untuk membuat penjelasan semasa pendengaran kes penghinaan itu berhubung isu yang membentuk kepada asas penghakiman majoriti. 

Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan yang mewakili Peguam Negara bagaimanapun berhujah permohonan semakan itu adalah tanpa merit kerana panel Mahkamah Persekutuan yang mendengar prosiding penghinaan tersebut telah membuat penemuan fakta dan undang-undang berdasarkan bukti yang dikemukakan di mahkamah.

Beliau berkata permohonan semakan itu adalah percubaan untuk mengemukakan semula hujah yang telah dikemukakan dalam prosiding menghina.

Mkini Dotcom turut diwakili peguam Surendra Ananth dan Khoo Suk Chyi manakala Peguam Kanan Persekutuan Saravanan Kuppusamy juga mewakili Peguam Negara.

Turut hadir peguam pemerhati Datuk Joy Wilson Appukuttan mewakili Majlis Peguam dan New Sin Yew bagi pihak Persekutuan Wartawan Antarabangsa (IFJ) dan Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM). – BERNAMA

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails