Friday, April 08, 2022

Taliban, Arab Saudi, ini sikap PAS.. Bengong..

 

1. Tiada keperluan PAS guna Taliban tingkat imej Islamik

KUALA LUMPUR: PAS tidak memerlukan isu Taliban untuk meningkatkan imej Islamik parti itu.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Senator Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin berkata, perjuangan Islam adalah perjuangan PAS dan isu-isu membabitkan Islam akan terus diperjuangkan parti itu.

Menurutnya, isu Islam yang diperjuangkan PAS bukan sahaja di Malaysia atau negara luar tertentu seperti Afghanistan dan Palestin, malah negara-negara Islam yang lain.

“PAS menyokong kerajaan Taliban secara terbuka kerana Taliban adalah kerajaan yang mentadbir Afghanistan,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kerajaan Taliban perlukan sokongan untuk membangunkan semula Afghanistan selepas berjaya mencapai kemenangan dan kemerdekaan daripada cengkaman penjajahan.

Tambahnya, tetapi, PAS tidak akan sama sekali menyokong apa sahaja bentuk keganasan yang berlaku di Afghanistan.

Beliau menegaskan, keganasan bukanlah cerminan kerajaan Islam yang PAS perjuangkan.

“PAS tidak memerlukan isu Taliban untuk meningkatkan imej Islamik PAS seperti yang dimainkan oleh pihak yang iri dengan perjuangan Islam PAS,” tegasnya lagi. 

Malah, ujar beliau sokongan kepada Taliban adalah selari dengan Dasar Luar Negara yang diamalkan Malaysia yang terkenal dengan reputasi sebagai broker perdamaian negara-negara Islam dan wilayah yang dilanda konflik.

Katanya, rekod pentadbiran PAS di Kedah, Terengganu, dan Kelantan adalah bukti perjuangan Islam PAS yang meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan.

Tambahnya lagi, hak dan kebebasan masyarakat bukan Islam juga terpelihara.

“Imej Islamik pada pentadbiran PAS di negeri-negeri tersebut tidak menjadi penghalang pembangunan dan peningkatan pelaburan luar.

“Ini jelas membuktikan bahawa PAS tidak memerlukan retorik sokongan politik kepada sesetengah kumpulan untuk meningkatkan imej Islam PAS,” katanya.

Justeru, ujarnya PAS menyeru seluruh umat Islam memberi sokongan kepada Afghanistan untuk bangun semula membina negara mereka berlandaskan kesejahteraan yang dianjurkan Islam dan terus menegakkan Islam di Afghanistan tanpa menggunakan keganasan. – HARAKAHDAILY 7/4/2022

2. Duta Besar Arab Saudi kunjung JPM (HEA)  


ALHAMDULILLAH, semalam saya berbesar hati menerima kunjungan Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Mahmoud Hussien bin Saeed Qattan bersama Atase Agama Arab Saudi ke Malaysia, Sheikh Abdul Rahman Al-Rubaian di Putrajaya.

Dalam sesi pertemuan tadi, kami telah berbincang usaha untuk mengaktifkan beberapa perkara yang termeterai dalam Memorandum Persefahaman (MoU) pengurusan hal ehwal Islam antara Malaysia dan Arab Saudi, yang telah ditandatangani pada 9 Mac 2021.

Antara 4 bidang kerjasama yang diperhalusi adalah melibatkan dakwah dan bimbingan, latihan dan penyelidikan akademik, masjid dan tadbir urus Islam serta usaha meletakkan al-Quran dan al-Sunnah sebagai asas dalam hal ehwal pentadbiran Islam.

Segala hasil perbincangan tadi akan saya panjangkan kepada YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), serta akan dibincangkan secara bersama dengan semua agensi untuk melihat kaedah pelaksanaan yang sesuai dipraktikkan oleh agensi agama Persekutuan.

Kerjasama ini merupakan satu tanda komitmen Kerajaan Arab Saudi untuk meneruskan hubungan diplomatik dengan Malaysia yang telah terjalin sekian lamanya. Kerajaan Malaysia amat menghargai kerjasama ini dan akan memandang serius pelaksanaan MoU ini.

Semoga hubungan yang erat antara Malaysia dan Arab Saudi akan terus diperkukuh bagi manfaat kedua-dua buah negara.

YB DATUK USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 6/4/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Taliban, Arab Saudi, ini sikap PAS.. Yang bengong saja yang tak faham.

Lihat komen politik pula..

1 comment:

Anonymous said...

Elok yg buat statement tu joint politik. Macam x releven. Mungkin pro amerika kut. Patutnya sokong negara merdeka. Titik peluh, susah payah taliban lawan penjajah, tiba2 didowngredkan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails