Saturday, March 19, 2022

Tamatkan segera hubungan dengan PAS -UMNO T'ganu.

 

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). - Foto ihsan UMNO

KUALA LUMPUR: UMNO perlu segera menamatkan hubungan dengan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN) kerana parti itu dilihat tidak lagi bernafsu untuk memperkasakan kerjasama terbabit.

Perwakilan Terengganu, Bazlan Abd Rahman, berkata piagam MN yang ditandatangani pada 14 September 2019 dengan pelukan erat dan juraian air mata pemimpin serta penyokong kedua-dua parti, hampir tinggal menjadi sejarah.

"Ku sangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Umpama bunga tanggal kelopak, ibarat madu habis manisnya, MN kini hanya tinggal sebagai sebutan. Kalau hilang tidak dicari, kalau sakit tidak diubati, kalau habis pun tidak diganti.

"Semua ini gara-gara sikap curang PAS yang berjinak-jinak dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) melalui Perikatan Nasional (PN). Bahkan ucapan pemimpin PAS akhir ini bersifat prejudis seolah-olah kita yang menyebabkan retaknya MN," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul ucapan Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Bazlan berkata, di Terengganu, akar umbi secara jelas mahu MN ditamatkan kerana bagi mereka, tidak wajar lagi hubungan kerjasama itu diteruskan.

"Pada mereka, untuk apa kita terus menyimpan kudis yang akan menjadi barah? Jika sudah tahu penyakit ini mudarat, kenapa masih berlengah untuk berubat? Ubat mujarab ialah memutuskan hubungan politik dengan PAS.

"Tamatkan MN dengan segera. Bahkan itulah yang ditunggu oleh PAS sendiri. Jadi kenapa perlu kita takut? Pinggan tak retak, nasi tak dingin, orang tak hendak kita pun tak ingin," katanya.

Menceritakan pengalaman MN di Terengganu, beliau berkata, UMNO menguasai satu pertiga daripada keseluruhan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), namun dipandang sepi oleh kerajaan negeri pimpinan PAS.

"Sepanjang dua tahun melayari bahtera MN di Terengganu, tiada cerminan sebenar terjemahan muafakat yang dapat ditunjukkan.

"Dalam banyak hal, kerajaan PAS Terengganu tidak langsung mengambil kira keberadaan wakil rakyat UMNO, Barisan Nasional (BN) yang dipilih rakyat.

"Bahkan pemimpin nombor satu kerajaan PAS Terengganu sendiri pun tidak hadir sewaktu pelancaran MN peringkat negeri. Adakah PAS Terengganu benar-benar ikhlas menghormati piagam MN yang ditandatangani di peringkat pusat?" soalnya. (BH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails