Friday, March 18, 2022

RUU 355 K'jaan komited, tindakan sedang diambil... Syabas Menteri JPM!

 

Kerajaan komited perkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah

KUALA LUMPUR: Kerajaan amat komited terhadap pelaksanaan syariah di Malaysia dengan antara usaha yang dilakukan ialah memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah melalui pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau lebih dikenali sebagai pindaan RUU 355.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad, berkata sepanjang tahun 2020 dan 2021, kerajaan melalui Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil (Jawatankuasa Teknikal) yang ditubuhkan oleh Majlis Raja-Raja di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) telah mengadakan beberapa siri mesyuarat bagi membincangkan RUU 355.

Menurutnya, mesyuarat itu melihat pelbagai aspek, terutama Perlembagaan, undang-undang dan hukum syarak agar RUU 355 lebih komprehensif dan seterusnya dapat memperkasa bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah.

“RUU 355 telah dibentangkan kepada negeri-negeri dalam Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak dan Sivil ke-27 pada 11 dan 12 Oktober tahun lalu.

“Input dan pandangan yang diperoleh daripada negeri-negeri dalam persidangan itu akan dibincangkan dan dimuktamadkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal,” katanya ketika membuat penggulungan perbahasan usul Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Idris berkata, setelah draf RUU 355 dimuktamadkan, taklimat atau penerangan berhubung RUU 355 akan diberikan kepada semua Ahli Parlimen sebelum dibentangkan.

Pada masa sama, katanya kerajaan melalui TV Al-Hijrah dan Radio IKIM, berusaha memberikan penerangan kepada orang ramai berhubung pelaksanaan perundangan syariah bagi mengelakkan salah faham dan timbul polemik yang tidak berkesudahan dalam masyarakat.

Menurutnya, aspek pemerkasaan Mahkamah Syariah bukan hanya tertumpu terhadap isu bidang kuasa atau had hukuman di bawah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah), malah meliputi pelbagai aspek yang lebih penting.

“Ini termasuk peningkatan tahap kompetensi Hakim Syarie, Pendakwa Syarie dan Pegawai Penguatkuasa Agama, penambahbaikan aspek tadbir urus dan prasarana, penggubalan dan pindaan undang-undang syariah sedia ada serta penyeragaman dan penyelarasan undang-undang syariah,” katanya.

Sehubungan itu, katanya kerajaan akan menubuhkan jawatankuasa khas yang akan membincangkan dasar dan hala tuju perundangan syariah di Malaysia dengan penubuhan jawatankuasa ini akan disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja.

Selain itu, katanya Jawatankuasa Memperkasakan Mahkamah Syariah (JKMMS) diaktifkan semula untuk mengkaji secara holistik cadangan yang boleh meningkatkan status dan kedudukan Mahkamah Syariah.

“Ini termasuk dari segi kemudahan infrastruktur, peningkatan kompetensi pegawai dan kedudukan serta status pegawai Mahkamah Syariah,” katanya.

Menurutnya, kerajaan juga melalui Jawatankuasa Kajian Penambahbaikan Undang-Undang yang ditubuhkan di bawah Jawatankuasa Teknikal telah menjalankan kajian untuk menambah baik undang-undang syariah.

Katanya, undang-undang berkenaan ialah undang-undang keluarga Islam, undang-undang tatacara jenayah syariah, undang-undang tatacara mal Mahkamah Syariah dan undang-undang keterangan Mahkamah Syariah.

“Hasil kajian dan cadangan penambahbaikan tersebut akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Teknikal untuk dimuktamadkan sebelum dibentangkan kepada negeri-negeri untuk sebarang cadangan penambahbaikan.

“Setelah dimuktamadkan, ia akan dipanjangkan kepada negeri-negeri untuk diterima pakai oleh negeri-negeri bagi tujuan keseragaman,” katanya.

Di samping itu, katanya, kerajaan menubuhkan suatu jawatankuasa bagi mengkaji dan menggubal Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2022 (RUU Mahkamah).

Katanya, jawatankuasa itu bertanggungjawab untuk meneliti dan mencadangkan penambahbaikan terhadap Mahkamah Syariah dari aspek hierarki Mahkamah Syariah, kelayakan Hakim Syarie, pelantikan Hakim Syarie dan sebagainya. – HARAKAHDAILY 17/3/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: RUU 355 Kerajaan komited, tindakan sedang diambil... Syabas Menteri JPM, Al-haamdulillah!

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails