Sunday, March 13, 2022

Masjid tempatkan orang awam dibedil Russia

 

Seorang askar Ukraine keluar dari bangunan yang rosak di Kyiv selepas dibedil tentera Russia. - Foto AFP

KYIV: Sebuah masjid di bandar pelabuhan Mariupol di tenggara Ukraine, lokasi di mana 80 orang awam berlindung, dibedil tentera Russia, kata kementerian luar Ukraine, hari ini.

"Masjid Sultan Suleiman Yang Agung dan isterinya, Roxolana (Hurrem Sultan) di Mariupol dibedil penceroboh Russia.

"Lebih 80 orang dewasa dan kanak-kanak bersembunyi di sana daripada bedilan, termasuk rakyat Turki," kata kementerian itu di akaun Twitternya.

Ia tidak memperincikan bila insiden bedilan itu berlaku.

Mariupol dikepung dan dibom sejak lebih seminggu lalu dan dikelilingi tentera Russia.

Situasi di bandar pelabuhan strategik itu begitu 'mendesak', di mana orang awam bermati-matian cuba melarikan diri, namun tanpa ada air atau pemanas serta kehabisan makanan, kata seorang eksekutif terkemuka, Doctors Without Borders, semalam.

Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba, melalui ciapannya semalam berkata: "Mariupol yang dikepung kini adalah malapetaka kemanusiaan paling buruk di planet ini. 1,582 orang awam maut dalam 12 hari."

Tiga orang termasuk seorang kanak-kanak, terbunuh apabila sebuah hospital kanak-kanak di bandar itu diserang Rabu lalu, yang mencetuskan kemarahan antarabangsa.

Timbalan perdana menteri Ukraine, Iryna Vereshchuk, berkata usaha baharu sedang dilakukan untuk membuka koridor kemanusiaan bagi membolehkan orang awam mengosongkan bandar itu untuk menuju ke Zaporizhzhia, kira-kira 200 kilometer ke timur laut.

Selama beberapa hari, Ukraine mendakwa tentera Russia menyerbu laluan pemindahan, yang menghalang orang ramai daripada meninggalkan kawasan mereka. - AFP

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails