Tuesday, March 15, 2022

'Politik wang &pangkat diharamkan dalam PAS' -Presiden PAS

 

Tan Sri Abdul Hadi Awang. -NSTP/ARKIB

1. 'Politik wang dan pangkat diharamkan dalam PAS' - A.Hadi Awang

KUALA LUMPUR: Parti politik Islam di negara ini wajib mewujudkan kumpulan Islam yang beristiqamah di atas prinsip aqidah, syariah dan akhlak, seperti bahtera yang kukuh dan betul perjalanannya dengan berprinsip.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata sesiapa yang cuba untuk mengubah hala tuju atau menebuk bahtera itu untuk ditenggelamkan, akan dicampak keluar atau tercampak sendiri dengan kehendak Allah yang sentiasa memelihara agama-Nya.

Kenyataan itu dikeluarkan Abdul Hadi melalui Facebooknya, hari ini, sehari selepas Ahli Parlimen Kuala Nerus dari PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, mengumumkan keluar daripada parti itu, berkuat kuasa semalam.

Abdul Hadi berkata, PAS bukan sekadar mencari publisiti bagi memenangi pilihan raya dan mendapat kerusi atau jawatan tanpa prinsip dan akhlak, apatah lagi membisu terhadap kemungkaran dan perpecahan yang memburukkan keadaan umat dengan menipu masyarakat umum.

"PAS berusaha ke arah perpaduan umat Islam dan manusia, termasuk mereka yang bukan Islam dalam masyarakat majmuk melalui Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), UMNO dan lain-lain, bagi menegakkan konsep keadilan kepada semua dan menentang segala salah laku serta salah tadbir urus.

"PAS menentang segala keburukan dan kemungkaran seperti rasuah, salah tadbir urus serta salah laku yang berleluasa, maka PAS tidak boleh berta'awun bagi tujuan yang salah dan terpesong daripada prinsipnya walaupun ditawarkan kerusi, jawatan, harta dan sebagainya.

"Politik wang dan pangkat diharamkan dalam PAS. Ahlinya yang setia tetap beristiqamah dan bersabar, walaupun tidak mendapat sokongan masyarakat yang tidak memahami," katanya.

Ketika mengumumkan keputusannya keluar daripada PAS, Mohd Khairuddin yang juga bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama (MSU) PAS enggan mendedahkan alasan berhubung pendiriannya itu, selain menegaskan beliau akan menjadi Ahli Parlimen Bebas.

Ditanya sama ada tindakannya itu dibuat berdasarkan pendedahannya berhubung cadangan kerjasama PN dan Pakatan Harapan (PH), bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu bagaimanapun menyifatkan ia hanyalah tanggungjawabnya untuk memberi teguran kepada PAS.

Pada 11 Februari lalu, Abdul Hadi mengesahkan, Mohd Khairuddin digugurkan daripada jawatan Setiausaha MSU dan sebelum itu, digugurkan sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat kerana dikatakan mempunyai masalah disiplin serta berkaitan perkara dalaman parti itu.

Mohd Khairuddin sebelum ini berkata, dakwaan mengenai kecenderungannya kepada kerjasama PAS dan UMNO melalui Muafakat Nasional (MN), berbanding dengan BERSATU melalui PN adalah tidak benar dan beliau hanya berpegang kepada keputusan yang dibuat MSU PAS iaitu memperkasa PN dan MN.

Abdul Hadi berkata, MSU diberikan kuasa untuk mempertahankan pelaksanaan Fasal 3 dan 7 Perlembagaan PAS bagi mengawal segala pendekatan serta strategi yang diberikan hak kepada AJK PAS Pusat dan segala cabangnya supaya tidak terpesong.

"Tidak diizinkan kepada sesiapa dan mana-mana pihak bagi merungkai dasar itu dengan akalnya yang cetek, jauh sekali merombak atau merobohkannya, sama ada dari dalam atau anasir luar yang mahu merosakkan asas dan matlamat perjuangan PAS," katanya. (BH)

2. Kemenangan ini satu pinjaman daripada-Nya

ALHAMDULILLLAH, saya memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah atas kemenangan di Dun Maharani ini. Tidak salah saya katakan pengalaman hari ini merupakan pengalaman yang cukup indah bagi diri saya.

Jutaan terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan kepada isteri yang menjadi tulang belakang saya bersama anak-anak. Para petugas yang sangat komited tanpa mengenal erti penat lelah. Sahabat handai yang sentiasa memberikan kata-kata semangat kepada saya. Paling saya hargai dan tidak dilupakan adalah sokongan para pengundi yang memberi kepercayaan kepada saya untuk membawa harapan mereka di Dun Maharani.

Seperti yang saya maklumkan sebelum ini, saya bukanlah siapa-siapa dalam hidup mereka tetapi pesanan dan mesej yang saya terima sudah cukup membuatkan saya bahagia dan dihargai. Akhir kata, kemenangan ini adalah milik anda semua yang telah bertungkus lumus bekerja sebelum bermulanya lagi pilihan raya kali ini. Kemenangan ini adalah satu ujian buat saya untuk menggalas amanah baru sebagai YB (Yang Berkhidmat) di Dun Maharani.

Insya-Allah, saya berazam untuk meneruskan legasi Dr Mohammad Taslim di Dun Maharani ini dengan memberikan khidmat terbaik kepada anda semua. Saya akhiri dengan serangkap pantun yang direka khas untuk warga Maharani yang saya kasihi.

Tanjong Emas bersih dan indah,
Tumpuan pengunjung Timur dan Barat,
Kemenangan ini satu amanah,
Warga Maharani medan berkhidmat.

Mohon doakan saya sahabat. Salam ukhuwah daripada saya,

CIKGU AZIZ TALIB,
Yang Berkhidmat untuk Maharani – HARAKAHDAILY 13/3/2022

3. Undi diraih PAS lebih tinggi bersama PN

ALOR SETAR: Langkah PAS bertanding melalui Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac lepas dianggap lebih cemerlang kerana mendapat undi lebih tinggi berbanding secara solo.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ketika PAS bersama Pakatan Rakyat (PR) pernah menang di empat Dun di Johor. Dan ketika bertanding solo pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 PAS hanya menang satu kerusi Dun.

“Walaupun menang satu daripada 15 kerusi (Dun) yang ditandingi Sabtu lepas, namun jumlah undi meningkat berbanding sebelum ini,” katanya ketika ditemui di Wisma Darul Aman semalam.

PAS mencatat sejarah apabila calonnya Abdul Aziz Talib yang bertanding atas logo PN menang di Dun Maharani dengan majoriti 1,037 undi mengatasi calon PH, BN, Pejuang, Parti Bangsa Malaysia dan Bebas.

Bagaimanapun kerusi yang dimenangi pada PRU lepas di Bukit Pasir, calon PAS (PN) hanya tewas 198 undi. Sekiranya bekas Adun PAS Najib Lep tidak bertanding, kerusi itu dijangka mampu dipertahankan PAS.

Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, jumlah undi PAS meningkat melalui PN pada PRN Johor.

“Satu permulaan yang baik dan saya berpuas hati dengan perkembangan tersebut. Kita tunggu keputusan post-mortem untuk melihat lebih terperinci,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 14/3/2022

Siri 2: Sambungan Analisis PRN Johor

61. ADUN PH (Bendahari DAP) 'minta sedekah' pada UMNO/...  62. ".. meneruskan agenda prihatin, berintegriti dan b...  63. Dr Kamarul Zaman: Mengejutkan, Melayu tolak PH.  64. Amat biadap. Laungkan 'Bubar Parlimen' kepada PM.....  65. Lepas Mengadap Sultan Johor petang tadi, Zahid 'ku...  66. Onn Hafiz Menteri Besar Johor ke-19? 67. Onn Hafiz dilantik Menteri Besar Johor ke-19  68. 'Politik wang &pangkat diharamkan dalam PAS' -Pres...

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails