Wednesday, January 05, 2022

Rasuah, perlu diadili secara terbuka, Setuju!! -IH.

 

Pemimpin terlibat rasuah perlu diadili secara terbuka

KUALA LUMPUR: PAS menolak sebarang bentuk salah laku jenayah termasuk kesalahan integriti membabitkan rasuah. 

Ketua Penerangan PAS Pusat, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin, berkata para pemimpin yang terlibat dengan jenayah berkenaan perlu diadili secara terbuka di mahkamah.

Menurutnya, pentadbiran kerajaan negeri di bawah PAS seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah, wajar dijadikan contoh kepimpinan terbaik yang bebas daripada sebarang jenayah melibatkan integriti.

Ujar beliau, negeri Kelantan yang ditadbir PAS lebih tiga dekad perlu dilihat sebagai role-model dalam mengemudi sebuah kerajaan negeri tanpa isu-isu membabitkan kesalahan rasuah dan sebagainya.

Menurut Khairil lagi, kesalahan integriti membabitkan pemimpin negara wajar dijadikan pengajaran dalam usaha mendidik generasi akan datang.

Justeru katanya, bagi membentuk jati diri anak muda kekal berintegriti, usaha-usaha seperti menerapkan silibus berkaitan salah laku jenayah integriti perlu diwujudkan dalam sistem pendidikan negara.

“Mana-mana pemimpin yang telahpun terbukti bersalah, sepatutnya dikongsikan pengajaran ini di sekolah-sekolah dan di universiti supaya mereka yang keluar daripada pendidikan, tahu yang rasuah ini salah.

“Mana-mana yang terbukti dengan rasuah kita kena masukkan dalam silibus supaya kes-kes berkaitan integriti dan etika dinyatakan dan dimasukkan ke dalam sistem pendidikan agar dapat memberi pendedahan kepada pelajar universiti berkaitan kes-kes yang telah terbukti (bersalah), barulah kita tak buka aib sebab kes dah terbukti (bersalah).

“Kita juga perlu bertindak proaktif kerana kes rasuah ini juga dalam kajian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) banyak melibatkan anak muda,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini mengulas isu membabitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Khairil yang Ahli Dewan Negara juga tidak menolak sebarang cadangan bagi menubuhkan sebarang suruhanjaya atau pasukan penyiasat bebas rentas parti bagi melancarkan lagi usaha pihak tertentu menyiasat isu berkenaan.

Terdahulu, ahli ekonomi, Profesor Dr Edmund Terence Gomez meletak jawatan sebagai ahli panel perundingan SPRM selepas mendakwa panel itu gagal membincangkan laporan-laporan yang membabitkan pegawai-pegawai tinggi di suruhanjaya berkenaan.

Gomez dalam surat letak jawatannya yang tular di media sosial berkata, timbul persoalan mengenai ‘hubungan antara perniagaan dan pihak penguat kuasa’ dan situasi ‘konflik kepentingan’ membabitkan pegawai tinggi SPRM serta dakwaan bahawa pegawai itu memiliki saham.

Beliau meletak jawatan sebagai panel SPRM pada 27 Disember lepas, selepas mendakwa aduan dan permintaannya untuk bertemu dan membincangkan isu Azam tidak dipedulikan. – HARAKAHDAILY 5/1/2022


Komen Weblog Ibnu Hasyim: Apa itu Rasuah menurut SPRM? 
Penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan, upah, diskaun.

Sebagai contoh, seorang kontraktor telah menghadiahkan seutas jam tangan kepada seorang pegawai kerajaan kerana telah meluluskan projek kepada syarikat milik kontraktor berkenaan. 

1. Meminta/Menerima rasuah [seksyen 16 & 17(a) Akta SPRM 2009]
2. Menawar/Memberi suapan [seksyen 17(b) Akta SPRM 2009]
3. Mengemukakan tuntutan palsu [Seksyen 18 Akta SPRM 2009]
4. Menggunakan jawatan/kedudukan untuk suapan pegawai badan awam [Seksyen 23 Akta SPRM 2009]

Gagal Melapor

Gagal melapor pemberian, janji atau tawaran rasuah di bawah Seksyen 25 (1) dan (2) Akta SPRM 2009
1. DENDA : Tidak lebih RM100,000
2. PENJARA : Tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali

Gagal melapor permintaan atau memperoleh suapan di bawah Seksyen 25 (3) dan (4) Akta SPRM 2009
1. DENDA : Tidak lebih RM10,000
2. PENJARA : Tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya sekali

Anda Dilindungi

1. Masyarakat tidak perlu gentar untuk membantu membanteras kes rasuah. SPRM sentiasa memastikan kerahsiaan maklumat yang diberikan dan PEMBERI MAKLUMAT adalah dilindungi serta tidak boleh didedahkan kepada mana-mana pihak dalam apa jua keadaan.
1. PEMBERI MAKLUMAT adalah orang yang membuat pendedahan tentang jenayah rasuah berdasarkan pengetahuannya. Mereka dilindungi di bawah Seksyen 65 Akta SPRM 2009.
2. PEMBERI MAKLUMAT boleh dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
3. PEMBERI MAKLUMAT yang menjadi SAKSI bagi sesuatu kes rasuah dilindungi di bawah Akta Perlindungan Saksi 2009.

Kerana itulah, weblog Ibnu Haasyim bersetuju 100% dengan pandngan di atas. Sekian.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails