Thursday, January 06, 2022

Pakistan sah bakal miliki pesawat tempur China

 

Pesawat tempur buatan China J-10C

ISLAMABAD: Pakistan secara rasmi mengesahkan spekulasi berhubung hasrat negara itu untuk memiliki pesawat tempur buatan China, J-10C yang dijangka akan tiba di negara itu sempena Perbarisan Hari Pakistan pada 23 Mac akan datang.

Menteri Dalam Negeri Pakistan, Rasheed Ahmed, memberitahu media minggu lalu bahawa negara itu akan menerima sebanyak 25 pesawat itu.

Beliau tidak memperincikan kos pemilikan pesawat berkenaan, namun sumber yang biasa dengan perolehan aset ketenteraan Pakistan menyatakan tidak pasti lagi sama ada pesawat itu dibeli atau dipinjamkan kepada Tentera Udara Pakistan.

Bagaimanapun, sumber berkenaan menyatakan kecenderungan terhadap pilihan kedua, iaitu China memberikan pesawat berkenaan untuk diuji berdasarkan kaedah kos tertangguh.

Felo penyelidikan industri pertahanan Universiti Cranfield, Richard Fisher, berkata terdapat bukti yang menyokong pesawat J-10C di Chengdu, iaitu lokasi kilang pengeluaran pesawat di China, bersedia untuk dipindahkan dengan segera.

Minat Pakistan terhadap J-10 bermula sejak 10 tahun lalu. Model pertama diminati ialah FC-20, iaitu varian eksport kepada pesawat satu tempat duduk J-10A. Ini juga adalah sebahagian Pelan Pembangunan Angkatan Tentera Pakistan 2015 yang tergendala akibat kekurangan dana ketika pentadbiran Parti Rakyat Pakistan antara 2008 hingga 2013.

Minat Pakistan terhadap FC-20 juga didorong sebagai pelengkap kepada pesawat F-16 yang pertambahan pesawat ini tidak dapat dilakukan akibat sekatan pembelian oleh Amerika Syarikat.

Pakistan juga dilaporkan berminat mendapatkan pesawat tempur buatan Rusia SU-35 yang berpotensi memberi perlindungan lebih baik kepada operasi tentera laut negara itu di Laut Arab.

Apabila timbul spekulasi berhubung pembelian J-10C pada awal tahun lalu, ia dikaitkan dengan skuadron Tentera Udara Pakistan berpangkalan di Karachi.

Pakistan dan China mempunyai kerjasama erat dalam bidang pertahanan

Pasukan udara tentera laut China beroperasi menggunakan varian J-10AH dan J-10SH sebagai pesawat pelbagai fungsi. Walaupun tidak disahkan, Pakistan juga boleh menggunakan pesawat yang sama.

Bagaimanapun, pesawat yang bakal digunakan oleh Pakistan dipercayai adalah varian eksport J-10CE yang mempunyai radar Elektronik Aktif Imbasan Tersusun (AESA) dan peluru berpandu udara ke udara jarak jauh PL-15 dengan 25 pesawat yang dimiliki boleh membentuk dua skuadron.

Penganalisis Institut Perkhidmatan Bersatu Diraja (RUSI) United Kingdom, Justin Bronk, berkata J-10C mampu memperkuatkan kuasa tentera udara Pakistan.

“J-10C ialah pesawat tempur ringan pelbagai fungsi moden yang ampuh dan menjadi jawapan China terhadap pesawat F-16 Amerika Syarikat. Namun J-10C masih tidak setanding Rafale,” katanya merujuk kepada pembelian 36 pesawat tempur Dassault Rafale dari Perancis yang sebahagian besar dihantar tahun lalu.

Bronk berkata, radar AESA dan peluru berbandu PL-15 menjadikan J-10C sebagai ancaman terhadap pesawat bukan halimunan, namun masih mempunyai kekurangan menghadapi Rafale milik India.

Katanya, Rafale dengan prestasi kinematik (pergerakan) dan peluru berpandu Meteor mampu bertindak balas dengan hebat dan J-10C juga tidak boleh dibandingkan dengan keupayaan sistem peperangan elektronik Rafale. – DefenseNews

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails