Saturday, January 08, 2022

Musuh PAS kelupur, Jepun ingin kongsi kepakaran urus bencana..

 

1. Musuh PAS Terengganu sedang menggelupur

MEI nanti, akan genaplah ulang tahun ke-4 Kerajaan Negeri Terengganu. Berbagai isu yang berlegar sepanjang tempoh ini, bertarik-tarikan antara kerajaan dan pembangkang bagi menyerang ataupun menerang. Ada yang fitnah dari pembangkang, dan yang benar dari Kerajaan Negeri. Semua ini adalah warna-warna politik yang dipersembahkan oleh kedua belah pihak.

Pembangkang amat berharap Kerajaan Terengganu di bawah pimpinan YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, gagal menunaikan hampir kesemua manifesto yang dijanjikan PAS dahulu. Terbeliak mata mereka, melihatkan, rupanya boleh janji-janji pilihan raya ditunaikan. Ia bukan kisah dongengan. Ia adalah satu realiti. Hampir semua manifesto telah ditunai.

Dengan masih mengekalkan imej bersih, tanpa salah guna kuasa, PAS menepis semua serangan lawan yang dilihat semakin bertalu-talu. Mungkin terdesak dengan pencapaian PAS, berbagai cara batil yang mereka cipta bagi menjatuhkan PAS. Namun sia-sia kerana kejayaan yang dicapai oleh PAS, bukan sekadar cakap mulut, tetapi dengan angka dan data yang tidak ternafikan.

Terbaharu, kadar pengangguran di Terengganu, semakin menurun 3.5, menghampiri kadar nasional 3.3, setelah enam tahun sehingga 2018, dalam trend menaik (2.9 – 4.8). Di sebalik semua ujian seperti COVID-19 banjir dan berbagai lagi, Kerajaan Negeri berjaya menyediakan peluang pekerjaan untuk diisi oleh rakyat Terengganu yang layak. Duyung Marina Resort pula yang sudah belasan tahun rugi, mencatat keuntungan sejuta lebih. Kerajaan bukan hanya memberikan bantuan-bantuan one-off, tetapi juga peluang-peluang membebaskan diri daripada kemiskinan dengan berbagai skim-skim yang membantu rakyat.

Disebabkan inilah maka musuh PAS, merasakan perlunya membuat serangan demi serangan untuk mengatakan bahawa PAS ini jahat, PAS gagal, PAS begitu dan begini. Semua yang negatif, ditempelkan kepada PAS. Sebaliknya PAS pula terbukti menggunakan dengan betul wang royalti yang dahulu pernah diberikan kepada pihak yang bukan berhak. Mungkin benar strategi jahat mereka dahulu, sekat royalti supaya Kerajaan PAS sesak, senang mereka merampas semula Terengganu. Bila dapat royalti, susahlah musuh PAS, semua ditadbir dengan baik.

Beza pengurusan negeri oleh dua kerajaan ini, dapat dilihat jelas oleh rakyat. Musuh yang masih mencuba untuk merampas kembali kuasa, sebenarnya tidak tahu, apa lagi isu yang mahu dimainkan bagi menjatuhkan PAS. Dek kerana kebingungan itulah maka musuh sanggup mengitar kembali isu kafir mengkafir, Amanat Haji Hadi, Memali dan sebagainya. Ada juga mengungkit semua projek adalah daripada mereka dahulu, hanya disempurnakan oleh PAS. Ini adalah petanda tandusnya isu mereka. Jika ada salah laku, pasti mereka sudah membuat laporan SPRM atau PDRM, mana mungkin dilayan isu lapuk itu. Orang PAS jangan cepat melatah.

Kerajaan Terengganu begitu tenang, menjawab dengan angka. Auta mereka dibalas dengan fakta jelas. Banyak isu yang diberikan musuh PAS ialah isu yang tidak boleh dijangkau dengan angka. Contohnya mahal bayaran, berapa mahal, tidak dijelaskan, padahal naik 10 sen sehari. Orang PAS main projek, tidak dinyata apa salahnya, konon nak timbulkan isu kroni. Orang PAS ambil duit rasuah, mana laporannya? Tiada. Bantuan tidak cukup. Berapa? Mereka diam. Begitulah terdesaknya mereka, guna ayat umum membuat tuduhan dan disambut oleh ‘fake account’.

Musuh PAS tahu, jika kali kedua berturut-turut Terengganu kekal di tangan PAS, mereka akan menghadapi masalah yang amat besar. Ia akan memberikan isyarat bahawa Terengganu bakal kekal lama dalam genggaman PAS, sebagaimana Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang. Oleh itu, PRU15 ini amat penting setelah peluang untuk muafakat telah dibuang oleh musuh, kerana kepentingan peribadi, bukan rakyat. Apa lagi yang mampu mereka buktikan setelah rakyat melihat jelas perbezaan cara pemerintahan yang membazir dengan berhemah.

Untuk itu, bagaimana sekalipun, PAS mesti dihapuskan. ‘By hook or by crook’ mereka akan mengambil Terengganu. Adakah mereka membuat perbandingan kejayaan mereka memerintah dengan kelemahan PAS mentadbir? Tiada, kerana rakyat akan nampak buruk mereka. Yang ada hanyalah isu-isu fitnah lama yang dikitar semula untuk PAS dilihat sama seperti mereka. Isyarat ini perlu difahami dengan jelas oleh penyokong PAS bagi mempersiapkan diri masing-masing, berada pada posisi yang sepatutnya.

Kita sedang mara untuk kemenangan kali kedua, insya-Allah. Musuh PAS juga sedar, sebab itu mereka menggelupur bagai terkena sawan. Nanti mereka akan jadi seperti Kelantan, sudah tepu untuk melawan kerana integriti PAS amat kukuh. Mereka akhirnya menempel diri untuk muafakat dengan PAS… alhamdulillah.

MOHD NASIR ABDULLAH
7 Januari 2022 – HARAKAHDAILY 7/1/2022

2. PAS dan NGO bantu bina semula rumah  dihanyut arus 


TEMERLOH: Musibah banjir terbaru sememangnya telah memusnahkan banyak kediaman di mana sebanyak 15 rumah bukan sahaja ditenggelami bahkan ada yang runtuh dan dibawa arus deras di Kampung Insaf, Lanchang, di sini


Persatuan Prihatin Anak Watan Terengganu dengan kerjasama PAS DUN Bukit Payung, Khidmat Malaysia, Jabatan Amal Malaysia, Alternative Riding Club (ARC) serta beberapa lagi NGO dari Terengganu berusaha membina kembali salah sebuah rumah telah dihanyutkan itu.

Menurut Pengerusi Persatuan Prihatin, Mohd Asmawi Mokhtar, ini adalah kali keempat pihaknya ke Temerloh sejak air surut dengan misi membina semula rumah yang dihanyut arus deras dan berusaha menyiapkan rumah itu dalam tempoh 2 hari.

Turut hadir membantu ialah Ketua Penerangan PAS Pusat, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin dan Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Temerloh, Hasan Omar.

Menurut Hasan, kerjasama antara NGO ini bukan sahaja membawa beberapa tukang mahir dan puluhan petugas, bahkan turut membawa kelengkapan dan peralatan, jentera backhoe, kewangan termasuk pasukan memasak. 

Manakala penghuni rumah tersebut, Md Johar Kasim melahirkan rasa syukur kepada Allah dan penghargaan kepada PAS dan NGO yang sangat prihatin dan bertindak segera membantu mangsa-mangsa banjir kali ini.

Beliau berasa sangat lega apabila rumah beliau sedang dibina semula hasil usaha gotong-royong dan sikap dermawan semua pihak.

Ir Khairil Nizam juga merakam penghargaan kepada semua pimpinan dan ahli PAS termasuk NGO seperti Khidmat Malaysia, Jabatan Amal Malaysia, Bridged Muslimat, ARC dan pelbagai lagi yang sentiasa memikirkan sumbangan kepada mangsa banjir.

Katanya, semoga semua jenis bantuan dan sokongan dari semua pihak, akan mendapat keberkatan dari Allah S.W.T. – HARAKAHDAILY 8/1/2022

Sumber Asal: https://www.facebook.com/story.php?story_fbid=227418976221533&id=100068602959772

3. Jepun ingin kongsi kepakaran urus bencana dengan Malaysia

Takahashi Katsuhiko

KUALA LUMPUR: Kerajaan Jepun menyatakan hasrat untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran di bidang pengurusan risiko bencana dengan Malaysia dalam usaha mengurangkan kesan bencana ke atas manusia di peringkat global.

Duta Besar Jepun ke Malaysia Takahashi Katsuhiko berkata Negara Matahari Terbit itu berharap untuk membangunkan kerjasama selanjutnya dengan Malaysia dalam bidang pengurusan risiko bencana yang akan menjadi tonggak penting kerjasama antara kedua-dua negara.

“Seperti banjir besar yang melanda Malaysia baru-baru ini, saya harap kita dapat menjalin kerjasama lebih lanjut memandangkan kerajaan Jepun giat berkongsi pengalaman dan kepakaran sedemikian di peringkat global dalam usaha mengurangkan kesan bencana kepada rakyat di seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata pada sidang media Misi Bantuan Pascabanjir Kedutaan Jepun dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di Pusat Pelancongan Malaysia di sini hari ini.

Takahashi berkata penilaian lanjut diperlukan untuk mewujudkan strategi jangka panjang dalam kerjasama pengurusan risiko bencana antara kedua-dua negara.

“Masih terlalu awal untuk menyatakan secara khusus apa yang kita (kerajaan Jepun) boleh tawarkan… Kita perlu berbincang dengan kerajaan Malaysia bagi mengetahui apa yang boleh dilaksanakan di sini,” katanya.

Sementara itu, Takahashi berkata Malaysia dan Jepun telah melalui hubungan dua hala yang sangat baik melalui Dasar Pandang ke Timur yang akan menyambut ulang tahun ke-40 tahun ini.

Beliau berkata dasar berkenaan menyediakan peluang untuk mengeratkan lagi hubungan menerusi program latihan dan interaksi di peringkat akar umbi serta pertukaran budaya dalam kalangan rakyat Malaysia dan Jepun.

“Saya yakin hubungan ini terus berkembang pada tahun mendatang dan saya tidak sabar-sabar untuk berbincang dengan rakan-rakan Malaysia cara meningkatkan hubungan ini untuk generasi masa depan,” katanya.

Takahashi hari ini menghadiri majlis Misi Bantuan Pascabanjir iaitu kerjasama antara Kedutaan Jepun dan MOTAC, Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun, Alumni Program Persahabatan ASEAN-Jepun Abad Ke-21 Malaysia dan Homestay Malaysia.

Misi yang dirasmikan oleh Takahashi dan Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Noor Zari Hamat telah mengumpul sejumlah RM150,000 dan akan diagihkan dalam bentuk wang tunai dan bantuan banjir di lapan lokasi di Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan pada 8 dan 9 Jan ini. – BERNAMA

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Tahniah PAS/Malaysia, Al-hamdulillah!

1 comment:

Anonymous said...

Tiada yg positif dari rakyat liberal. Negara pun dia sanggop perlekeh. Minda komunis. Kalau atok dia perlekeh org melayu, melayu mudah lupa.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails