Monday, January 03, 2022

Mangsa banjir di 4 negeri meningkat.

 

Beberapa rumah Kampung Sungai Manjang, Sandakan ditenggelami banjir. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah, Johor, Melaka dan Pahang mencatatkan peningkatan petang tadi, Negeri Sembilan semakin berkurangan manakala Terengganu kekal.

Kelantan yang dilanda banjir sejak 18 Disember lalu pula pulih sepenuhnya daripada bencana itu petang tadi.

Di SABAH, jumlah mangsa terjejas banjir di Pitas meningkat kepada kepada 1,249 orang daripada 432 keluarga petang ini berbanding 1,161 orang daripada 399 keluarga, tengah hari tadi.

Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan satu PPS dibuka di Pitas menempatkan 36 orang daripada 10 keluarga manakala Kota Marudu kekal daerah teramai mangsa banjir dengan 1,019 orang daripada 376 keluarga ditempatkan di tujuh PPS.

Sebuah keluarga menggunakan bot melalui kawasan ladang untuk keluar apabila sebatang jalan yang sering digunakan penduduk terputus hubungan di Kampung Sungai Manjang, Sandakan, hari ini. - Foto BERNAMA

Sebanyak tiga PPS dibuka di Telupid yang menempatkan 43 orang daripada lapan keluarga manakala dua PPS di Paitan menempatkan 52 orang daripada 13 keluarga.

Satu PPS turut dibuka di Beluran yang menempatkan 38 orang daripada lapan keluarga dan satu PPS di Sandakan menempatkan 61 orang daripada 17 keluarga.

Sekretariat itu memaklumkan 21 kawasan di Pitas terputus hubungan dan tiga kawasan terjejas manakala Kota Marudu menjadi daerah paling banyak kawasan terjejas iaitu 30 kawasan, Telupid (16), Paitan (23) dan masing-masing satu kawasan di Sandakan serta Beluran.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan melawat mangsa-mangsa banjir di pusat pemindahan sementara Sekolah Kebangsaan Kampung Tenang di Labis, Segamat hari ini. - Foto BERNAMA

Di JOHOR, mangsa banjir di Segamat, Tangkak dan Kota Tinggi meningkat kepada 2,022 orang setakat 4 petang berbanding 1,827 orang tengah hari tadi dengan 37 PPS dibuka di tiga daerah tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R Vidyananthan berkata Segamat terus mencatatkan bilangan mangsa tertinggi dengan 1,950 orang daripada 491 keluarga di 31 kampung, tiga kawasan perumahan dan kawasan sekitar.

"Mangsa banjir di Tangkak adalah 40 orang daripada 10 keluarga di Kampung Sri Makmur manakala Kota Tinggi seramai 32 orang daripada 11 keluarga di Kampung Bukit Raja Darat, Pengerang dan Kampung Baru Mawai," katanya dalam kenyataan.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan melawat mangsa-mangsa banjir di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu di Sekolah Kebangsaan Kampung Tenang Labis Segamat, Dewan Pekan Air Panas Segamat dan Labis dan PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Ai Chun Segamat pada awal pagi tadi. - Foto BERNAMA

Menerusi laman web publicinfobanjir, empat sungai kini melepasi paras bahaya setakat 4.15 petang iaitu Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur, Tangkak di paras 4.4 meter; Sungai Segamat di Bandar Segamat di paras 9.18m; Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat di paras 9.33m manakala Sungai Lenik di Ladang Chaah, Segamat di paras 6.06m.

Di MELAKA, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,661 orang daripada 429 keluarga petang ini berbanding 1,225 orang daripada 313 keluarga pada 12 tengah hari tadi.

Jalan Datuk Low Kiok Boo yang menghubungkan Industri Angkasa Nuri dan Taman Merdeka terpaksa ditutup di kedua-dua arah akibat paras air yang bahaya untuk dilalui oleh kenderaan ketika tinjauan banjir di Taman Angkasa Nuri, Melaka, hari ini. - Foto BERNAMA

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata kesemua mangsa yang terjejas adalah dari 14 kawasan di Alor Gajah, sembilan kawasan di Melaka Tengah dan empat kawasan di Jasin.

"Seramai 720 orang daripada 195 keluarga ditempatkan di 10 PPS di Alor Gajah, 868 orang daripada 217 keluarga di tujuh PPS di Melaka Tengah serta 73 orang daripada 17 keluarga di dua PPS di Jasin," katanya dalam kenyataan.

Di PAHANG, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri melaporkan jumlah mangsa banjir petang ini ialah seramai 2,058 orang dengan 48 PPS beroperasi di lapan daerah.

Daripada jumlah itu, 995 orang adalah mangsa banjir gelombang kedua di Raub, Lipis, Jerantut, Maran, Bera dan Rompin manakala bakinya adalah mangsa banjir besar yang berlaku pada pertengahan Disember lepas di Temerloh dan Pekan.

Sukarelawan membantu membersihkan rumah Zuliah Simoh@Mokhtar dan suaminya, Roslan Maalik yang ditenggelami banjir di Kampung Karak Setia, Bentong. - NSTP/Mohd Rafi Mamat

Tujuh jalan ditutup iaitu di Jalan Sungai Lembing dan Jalan Kuantan-Kuala Lumpur berhampiran Bukit Gambang Resort kedua-duanya di Kuantan, selain Jalan Kuala Lumpur-Kuantan (Maran), Jalan Kuantan-Segamat (Pekan), Jalan Kuala Lipis-Jerantut (Jerantut) dan Jalan Temerloh-Jerantut serta Jalan Paya Luas-Perlok di Temerloh.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir kekal 137 orang daripada 42 keluarga petang ini di dua PPS di Dungun.

Penduduk meredah air untuk pulang ke rumah selepas jalan terputus akibat banjir di Kampung Minda, Dungun, hari ini. - Foto BERNAMA

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Lt Kol (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata PPS Dewan Orang Ramai Kampung Shukor menempatkan 68 orang daripada 20 keluarga manakala Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja menempatkan 69 orang daripada 22 keluarga.

"Walaupun banjir sudah surut, kesemua mangsa masih belum dibenarkan pulang ketika ini. Jika cuaca bertambah baik, kita jangka mereka boleh pulang ke rumah tengah hari esok," katanya.

Jalan Gemas-Kemayan berhampiran Balai Polis Rompin ditutup kepada semua jenis kenderaan berikutan ditenggelami air. - Foto JKR Jempol

Di NEGERI SEMBILAN, data terkini menerusi aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan jumlah mangsa banjir membabitkan 19 PPS di negeri ini menurun kepada 1,973 orang daripada 532 keluarga setakat 4 petang ini berbanding 2,166 orang daripada 555 keluarga, 12 tengah hari tadi.

Sementara itu di KELANTAN, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan Said Sidup berkata tiga PPS di Kuala Krai dan Jeli ditutup secara berperingkat hari ini berikutan cuaca bertambah baik.

"Alhamdulillah, dua PPS di Kuala Krai dan satu di Jeli telah ditutup sepenuhnya. Seramai 255 orang daripada 94 keluarga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing hari ini," katanya. – BERNAMA

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Kubor, Penolong Penguasa Bomba Raja Arisansahseni Raja Semail (kanan) meninjau di Sungai Kelantan di Jeti Kok Majib, Tumpat mendapati air sungai Kelantan mulai surut menyebabkan banjir di beberapa kawasan kembali pulih hari ini. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails