Thursday, January 06, 2022

Sediakan pengisian agama untuk mangsa banjir di PPS -Dato’ Siti Zailah

 

ALOR GAJAH: Semua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) diminta agar menyediakan pengisian bermanfaat kepada mangsa-mangsa banjir sepanjang mereka berada di situ.

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff, pengisian itu terutamanya berkaitan dengan kerohanian dan keagamaan.

“Mesti ada pengisian agama kepada semua mangsa-mangsa banjir ini antara Maghrib ke Isyak sekurang-kurangnya ada kuliah, sembahyang berjemaah.

“Jadi insya-Allah (pengurusan PPS) sedang susun supaya jika mereka (mangsa banjir) duduk dua tiga hari di situ, jangan kosonglah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika mengadakan kunjungan ke bilik operasi Khidmat Malaysia (KM) Melaka di Dataran Istiqamah Durian Tunggal, dekat sini, malam tadi.

Tambah Zailah, pengisian itu akan diatur oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersama dengan pengurusan PPS.

“Kita berharap agar pengisian itu pengisian yang boleh memberi erti kepada mereka (mangsa banjir), bukan sekadar makan minum sahaja,” ujarnya.

Selain membincangkan peranan KM dalam usaha membantu mangsa banjir, Zailah turut menyampaikan sumbangan bagi membolehkan bilik-bilik operasi bencana dibuka.

Sumbangan diserahkan kepada Pengerusi KM Melaka, Muhamat Puhat Bedol.

“Kita sangat-sangat berterima kasih kepada semua jentera-jentera Khidmat Malaysia di seluruh negara yang bekerja yang bertungkus-lumus, tak kira dalam lumpur, dalam banjir. Memang saya ‘tabik springlah’ dengan mereka,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang.

Turut hadir Ketua Pengarah Khidmat Malaysia Pusat, Khairul Faizi Ahmad Kamil, Yang Dipertua PAS Kawasan Jasin, Datuk Ustaz Kamarudin Sidek, Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Melaka, Mohsin Ibrahim dan Pengarah Musmedik Malaysia, Datin Dr. Reen Mohd. Amin.

Zailah sebelum itu turut berkesempatan melawat PPS di SK Durian Tunggal, yang menempatkan mangsa-mangsa banjir di kawasan ini dan telah diberikan taklimat oleh Pengarah JKM negeri.

Foto daripada Facebook Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Kunjungan ini adalah antara rangka lawatan beliau ke beberapa PPS di Johor dan Melaka bermula pagi semalam. – HARAKAHDAILY 4/1/202

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails