Saturday, January 08, 2022

Asean, 7-Eleven didenda, sempadan Indo-M'sia &Myanmar-Thai.

 

Denda kira-kira 150,000 yuan (RM99,001.32) telah dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan Beijing terhadap Seven & i. - Foto AGENSI

1. 7-Eleven didenda kerana gambarkan Taiwan sebagai negara bebas

BEIJING: Kedai serbaneka Seven & i Holdings Co yang berpangkalan di China didenda kerana menggambarkan Taiwan sebagai negara bebas di laman sesawangnya, tindakan keras terbaru republik itu ke atas syarikat berhubung pendiriannya di wilayah dipertikaikan.

Jurucakap peruncit Jepun itu berkata, denda kira-kira 150,000 yuan (RM99,001.32) dikenakan pihak berkuasa tempatan Beijing terhadap Seven & i, mengesahkan laporan akhbar Nikkei sebelum ini.

China menganggap pulau itu sebagai sebahagian daripada wilayahnya dengan syarikat kebiasaannya mematuhi dan menerimanya sebagai sebahagian daripada kos menjalankan perniagaan di China.

Pada Disember lalu, pihak berkuasa perbandaran Beijing mengeluarkan denda dan amaran, menurut laman sesawang maklumat kredit berkaitan kerajaan.

Seven & i juga gagal meletakkan nama cina untuk beberapa pulau di Laut China Selatan serta pulau Diaoyu yang dipertikaikan, dikenali sebagai Senkaku di Jepun.

Peta itu mengandungi kesilapan dalam melabel beberapa sempadan di sepanjang Wilayah Autonomi Uighur Xinjiang dan Wilayah Autonomi Tibet, kata laporan di laman sesawang itu.

Kerajaan Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen menegaskan pulau itu adalah negara berdaulat de facto, menunggu pengiktirafan antarabangsa yang lebih luas dan bukan sebahagian daripada wilayah China, seperti didakwa Beijing.

Namun, pentadbirannya mengelak pengisytiharan rasmi kemerdekaan yang boleh mencetuskan perang.

Walaupun Hong Kong dan Macau adalah wilayah pentadbiran khas yang menikmati autonomi lebih besar, Beijing juga sering membantah rujukan menunjukkan bahawa mereka bebas.

China meningkatkan tekanan ketenteraan dan politik terhadap Taiwan melalui pertambahan rondaan tentera di sekitar pulau itu yang dijangka lebih banyak tahun ini. - AGENSI

2. Indo mahu selesai masalah sempadan M'sia tahun ini 
Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi. - Foto REUTERS

JAKARTA: Rundingan mendalam bagi menyelesaikan isu sempadan antara Indonesia dan Malaysia akan dipertingkatkan pada 2022 berdasarkan peruntukan undang-undang antarabangsa, kata Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi.

Beliau berharap Perjanjian Sempadan Maritim antara Wilayah membabitkan Laut Sulawesi dan Selat Melaka dapat dirunding dan ditandatangani oleh kedua-dua negara berdasarkan Konvensyen Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982 berhubung kawal selia penggunaan laut dan sumbernya.

"Bagi sempadan darat, keutamaan akan diberikan untuk menyelesaikan Masalah Garis Sempadan Tertunggak termasuk Pulau Sebatik," katanya dalam satu kenyataan mengenai pencapaian diplomasi 2021 dan sasaran 2022.

Pulau Sebatik terletak di Daerah Nunukan Wilayah Kalimantan Timur yang berkongsi sempadan dengan Malaysia.

Indonesia mengadakan 17 rundingan sempadan tahun lalu dengan Filipina, Malaysia, Palau dan Vietnam, berbanding hanya tujuh rundingan pada tahun sebelumnya.

Mengenai ASEAN, Retno berkata perpaduan blok itu mesti diperkukuh untuk menghadapi pandemik COVID-19, ketidaksamaan kadar vaksinasi, bencana alam, krisis pelarian dan perubahan iklim.

Rantau itu juga menyaksikan persaingan yang semakin meningkat antara negara-negara utama di rantau Indo-Pasifik.

"ASEAN mesti terus meningkatkan peranannya dalam membangunkan komunitinya dan mewujudkan rantau Indo-Pasifik yang aman, stabil dan makmur," jelasnya.

Retno berkata, Indonesia akan terus aktif dalam mempromosi keamanan dan diplomasi kemanusiaan, termasuk di Afghanistan, Palestin, isu Rohingya dan krisis politik di Myanmar.

- BERNAMA

3. Kemiskinan Myanmar dorong ribuan rakyatnya berhijrah ke Thailand 
Pendatang Myanmar duduk di atas tanah selepas ditahan oleh anggota tentera Thailand di wilayah Kanchanaburi, bersempadan dengan Myanmar. - AFP

KANCHABURI: Pasangan suami isteri mengharungi perjalanan melelahkan untuk ke Thailand apabila perlu merentas hutan tebal dan kawasan pergunungan pada waktu malam bagi mengelak ditahan demi mencari bantuan ketika tiada pekerjaan negara mereka yang dilanda rampasan kuasa.

Myo Chit dan isterinya adalah antara ribuan pendatang membuat perjalanan beberapa bulan lalu, didorong krisis ekonomi berkembar akibat pandemik COVID-19 dan kegawatan dicetuskan oleh penggulingan kerajaan sivil Aung San Suu Kyi.

Perjalanan selama dua hari dari Wilayah Tanintharyi, Myanmar membawa mereka melalui ladang jagung dan getah serta hutan tebal sebelum tiba ke sempadan di mana lokasi untuk ke wilayah Kanchanaburi, Thailand dengan bantuan penyeludup.

Di sana, mereka berisiko ditangkap dan diproses segera untuk dihantar pulang oleh polis Thailand. Pasangan itu mengembara ke wilayah Samut Sakhon di Bangkok, lokasi pendatang Myanmar mendapat pekerjaan.

Bagaimanapun, kehidupan pendatang asing tanpa izin di Thailand adalah suram. Ramai menghabiskan malam mereka di perumahan sesak atau di rumah rakan dan saudara-mara dan setiap hari mengelak daripada pihak berkuasa.

"Namun, kami tidak boleh tinggal (di bandar kami)... kami terpaksa memikirkan masa depan anak," kata Myo Chit, 45, kepada AFP.

Dia akhirnya mendapat pekerjaan di kilang pewarna pakaian dan memperoleh AS$10 (RM42.09) sehari.

Myo Chit yang terpaksa berpisah dengan anak berusia enam tahun dan seorang bayi itu berkata, ia sukar tetapi perlu dilakukan dan mereka kini dijaga mentuanya di Myanmar.

"Kami tidak dapat tinggal di sana kerana kos yang tinggi dan terpaksa tinggalkan kampung. Kami datang ke sini hanya untuk mencari wang," katanya. - AFP

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails