Friday, January 07, 2022

Taliban serap pengebom berani mati sebagai anggota tentera


Taliban mahu mereformasi dan mengatur skuad pengebom berani mati yang tersebar di seluruh negara untuk beroperasi di bawah satu unit dan melindungi Afghanistan. - Foto REUTERS

KABUL: Taliban secara rasmi akan merekrut pengebom berani mati sebagai sebahagian daripada anggota pasukan pertahanannya dalam usaha membendung ancaman militan DAESH.

Timbalan jurucakapnya, Bilal Karimi, berkata langkah itu antara proses mereformasi dan menstruktur skuad pengebom berani mati yang berada di seluruh negara berkenaan sebagai satu unit bagi melindungi Afghanistan.

Katanya, sasaran utama adalah cabang tempatan DAESH, yang melakukan sekurang-kurangnya lima serangan besar ketika Taliban ingin menyatukan semula kuasa selepas pengunduran Amerika Syarikat (AS) dari Afghanistan pada Ogos tahun lalu.

"Pasukan khas termasuk pejuang jihad akan digunakan dalam operasi yang lebih getir.

"Taliban kini mahu membina struktur ketenteraan yang lebih kuat bagi memperkasakan pertahanan di seluruh negara termasuk di sempadan dengan memasukkan pengebom berani mati ke dalam strategi berkenaan," katanya.

Difahamkan, kira-kira 150,000 pejuang akan dijemput menyertai pasukan tentera terbabit.

Sementara itu, jurucakap, Zabihullah Mujahed, berkata usaha merekrut dilaksanakan selepas Taliban melakukan operasi pembersihan pasukan tentera bagi menghentikan tindakan mereka yang melakukan misi berkait dengan DAESH.

Kumpulan itu juga sudah mengenal pasti dan menahan individu yang mempunyai kaitan dengan DAESH dalam kalangan anggota tentera.

Sejak Taliban mengambil alih tampuk kepemimpinan empat bulan lalu, pejuang DAESH secara berterusan mencabar dan melakukan serangan yang dikhuatiri boleh mendorong kepada peperangan.

Serangan terbaharu kumpulan militan itu adalah pada 26 Ogos tahun lalu apabila pengebom berani mati meletupkan diri di lapangan terbang Kabul dan menyebabkan hampir 200 orang terbunuh. - BLOOMBERG

Lihat juga

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails