Wednesday, August 04, 2021

UMNO tarik sokongan.. &Polis siasat MB beerhimpun.

 

Ahmad Zahid (tengah) pada sidang media selepas mesyuarat MKT UMNO petang ini.

1. UMNO tarik sokongan kepada PN, Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO petang ini ini sebulat suara menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata UMNO memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah dan tidak akan mempertahankan kerajaan PN yang didakwa gagal di mata rakyat selaras Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.

Beliau berkata, kenyataan terbaru Perdana Menteri tidak menjernihkan masalah, bahkan menyerlahkan kekhilafan kerajaan yang jelas menyanggah titah Seri Paduka dan mempersendakan baginda yang sudah beberapa kali menitahkan untuk semua Ordinan Darurat dibahas serta diungkaikan sebelum 1 Ogos lagi, bukan September 2021, sejajar Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.

"Bagi menzahirkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada baginda, MKT sebulat suara bersepakat menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN dan Muhyiddin selaku Perdana Menteri," katanya pada sidang akhbar sebentar tadi.

2. Polis buka kertas siasatan MP berhimpun, berarak

Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim (enam dari kiri) bersama sebahagian Ahli Parlimen dari blok pembangkang berkumpul di Dataran Merdeka seterusnya berarak ke Parlimen pada 2 Julai. FOTO NSTP

KUALA LUMPUR: Polis membuka satu kertas siasatan berhubung perhimpunan Ahli Parlimen pembangkang di Dataran Merdeka, semalam susulan 206 laporan polis diterima di seluruh negara berhubung perhimpunan itu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata siasatan dijalankan mengikut kesalahan Peraturan 9 dan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021(P.U.(A) 293.

Katanya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Seksyen 269 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736).

"Dalam hal ini, kita akan memanggil individu yang terbabit bagi melengkapkan kertas siasatan.

"Sehubungan itu, kita minta semua individu yang terbabit dalam perhimpunan itu untuk memberikan kerjasama bagi membantu siasatan yang dijalankan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, katanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil maklum pada 31 Julai lalu, Setiausaha Dewan Rakyat mengemukakan pemberitahuan kepada Ahli Dewan Rakyat yang Persidangan Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat semalam, ditangguhkan ke suatu tarikh akan ditetapkan kelak.

"Penangguhan ini selaras cadangan Ketua Pengarah Kesihatan serta penilaian risiko semasa yang dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM) susulan perkembangan terbaru penularan jangkitan COVID-19 yang mana KKM berpendapat Parlimen Malaysia adalah lokaliti berisiko untuk berlakunya penularan jangkitan," katanya.

Susulan itu, katanya PDRM kelmarin, menerima maklumat satu perhimpunan akan diadakan di kawasan Parlimen pada 2 Ogos (semalam).

"Mengambil kira pada tarikh berkenaan tiada sidang Parlimen berlangsung kerana sidang ditangguhkan dan tiada kewajaran untuk Ahli Dewan Rakyat berada di Parlimen, maka PDRM mengambil langkah perlu untuk mengelakkan sebarang perhimpunan daripada diadakan.

"Tindakan ini adalah selaras dengan peruntukan di bawah Peraturan 9 dan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021(P.U.(A) 293 bertarikh 4 Julai lalu di mana berhimpun dan berarak adalah aktiviti yang dilarang dalam tempoh pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara," katanya. (BH)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails