Wednesday, August 04, 2021

Perjumpaan di kediaman PM masih berlangsung

 

Kenderaan membawa Ismail Sabri dilihat memasuki kediaman Muhyiddin di Bukit Damansara malam ini. FOTO NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM. Nor Azizah Mokhtar - Ogos 3, 2021 @ 11:03pm bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Beberapa kenderaan dipercayai membawa orang kenamaan (VIP) dan ahli politik terus dilihat masuk ke kediaman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara, di sini.

Setakat jam 9.30 malam tadi, masih ada beberapa kenderaan membawa VIP dan ahli politik termasuk menteri, melepasi pondok pengawal keselamatan untuk ke kediaman Muhyiddin.

Dipercayai mereka ke kediaman Muhyiddin untuk menghadiri perjumpaan tergempar, bagaimanapun tidak dapat dipastikan identiti kesemua VIP dan ahli politik yang hadir.

Setakat ini, dipercayai lebih 20 kenderaan dilihat masuk ke kawasan kediaman Muhyiddin sejak jam 8.20 malam tadi dengan kenderaan membawa Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun pertama tiba di lokasi.

Ia diikuti kenderaan membawa Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran.

Turut dilihat, kenderaan membawa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin merangkap Setiausaha Agung BERSATU dan Perikatan Nasional (PN) juga dilihat masuk ke kediaman Muhyiddin.

Selain itu, tiga menteri iaitu Datuk Dr Radzi Jidin, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut memasuki kediaman Perdana Menteri. (BH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails