Thursday, August 05, 2021

PKP tidak halang dakwah &ceramah ‘online’..

 


PKP tidak halang ceramah ‘online’ kupas isu semasa

KOTA BHARU: Kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak Covid-19 tidak menghalang PAS Kelantan meneruskan program penerangan yang diadakan secara atas talian.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, walaupun tidak dapat menyampaikan ceramah secara fizikal, namun dimanfaatkan media sosial bagi tujuan itu.

Katanya, sekarang ceramah, konvesyen dan seminar diadakan menggunakan platform Facebook yang diikuti ramai peserta dan penonton.

“Sesiapa yang ada facebook semua boleh tengok ceramah tersebut. Alhamdulilah sambutannya amat menggalakkan. Lagipun apa yang kita bincangkan mengikut perkembangan semasa.

“Program ceramah secara atas talian diadakan setiap dua minggu sekali bagi mengupas isu-isu semasa. Manakala program lain turut membabitkan kerjasama dengan Perikatan Nasional,” katanya ketika ditemui di sini.

Mengenai persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, beliau yang juga Naib Presiden PAS berkata, jentera PAS Kelantan sudah lama menyusun gerak kerja.

Begitu juga katanya kerjasama melalui Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) terus berlangsung.

“Secara umumnya 80 hingga 90 peratus penyokong PAS sudah boleh menerima Umno. Ada pun yang tak suka pun hanya ada segelintir sahaja mungkin mereka masih terasa dengan ‘luka’ lama terutama golongan veteran,” ujarnya.

Kata beliau juga perbincangan pimpinan MN di Kelantan pernah diadakan sebelum pelaksanaan PKP sebelum ini.

Bagaimanapun katanya pertemuan terpaksa ditangguhkan sekarang memandangkan perlu patuh prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan penularan Covid-19. – HARAKAHDAILY 5/8/2021

Komen Weblog Ibnu Hasyim: PKP sebenarnya, tidak menghalang tugas dakwah, atau pun ceramah ‘online’. Sila teruskan.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails