Saturday, August 07, 2021

Politik Melayu Islam, Apa Kata Tuan Ibrahim &Dr Mohd Zuhdi.

 


1. Pertahan kesatuan politik Melayu Islam

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) melahirkan rasa dukacita dengan langkah Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Umno yang bertindak mengarahkan ahli Parlimen Umno menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Tindakan itu juga tidak selari dengan semangat penyatuan ummah seperti yang termaktub di dalam Piagam Muafakat Nasional. Ia secara tidak langsung akan menggugat perancangan Pelan Pemulihan Negara dan usaha menangani penularan wabak Covid-19, serta usaha membantu rakyat yang terjejas teruk kini.

Walau bagaimanapun, PAS kekal yakin dengan asas penubuhan Muafakat Nasional yang bermatlamatkan kesatuan ummah serta membina kekuatan politik Melayu Islam perlu terus dipertahankan demi kestabilan politik, keharmonian kaum dan kesejahteraan negara.

‘Islam Memperkukuh Perpaduan’

YB DATO’ SRI TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
Bertarikh: 26 Zulhijjah 1442 | 5 Ogos 2021 – HARAKAHDAILY 5/8/2021

2. Perpecahan Melayu buka ruang PH ke Putrajaya

JIKA ditanya kepada saya apakah kesudahan kemelut politik yang sedang berlaku sekarang, jawapan paling ringkas yang saya boleh berikan ialah PH boleh menguasai semula Putrajaya selepas PRU ke-15. Kebarangkalian untuk PH menang pada PRU ke-15 besar, disebabkan parti-parti yang mewakili kaum Melayu dan Bumiputera berpecah. Meskipun PH juga dilihat tidak solid, tapi saya meyakini ia hanyalah strategi ‘smoke and mirrors‘ yang hakikatnya bertujuan untuk memecahkan kesatuan parti-parti tersebut.

PH dilihat begitu cekap menangguk di air keruh, bila timbul bibit-bibit keretakan dalam kerajaan khususnya antara Umno dan BERSATU. Dalam situasi kekeruhan ini, apabila timbul kemelut politik di Perak akhir tahun lalu, PH telah mengambil kesempatan untuk bersama-sama Umno tidak menyokong undi percaya kepada MB Perak ketika itu. Kemudian PH cuba untuk mendekati pimpinan Umno kemungkinan untuk bentuk kerajaan bersama di Perak. Kesemua tindakan ini matlamat utamanya untuk ‘pecah dan perintah’ menjelang PRU ke-15 akan datang.

Baru-baru ini, DAP dengan ‘tulusnya’ mengumumkan cadangan mereka supaya diadakan moratorium politik atau gencatan senjata politik, dengan alasan supaya ada kerajaan yang stabil dalam keadaan negara sedang berhadapan dengan Pandemik COVID-19. Saya menjangkakan DAP akan menggunakan pendekatan CSA atau Confidence and Supply Agreement iaitu menyokong mana-mana pihak yang tiada majoriti di Parlimen agar pihak itu kekal menjadi kerajaan sehingga Pandemik COVID-19 dapat diatasi.

CSA ini memang ada kebaikan dari segi kestabilan politik. Saya yakin sekiranya Kerajaan Negeri Perak gagal dibentuk semasa kemelut politik di Perak tempoh hari, DAP atau PH akan menawarkan pendekatan CSA ini untuk menyokong MB daripada Umno, sekali gus matlamat pecah dan perintah mereka tercapai lebih awal. Mujurlah ketika itu, BERSATU tidak bertindak balas secara keras dan PAS juga segera memberi sokongan kepada MB yang dicadangkan oleh Umno, menyebabkan langkah DAP dan PH terhenti.

Ketika kemelut politik yang berlaku sekarang, PH sekali lagi cuba mengambil kesempatan dengan tawaran memberi sokongan kepada pihak-pihak tertentu sekiranya mereka tidak mempunyai majoriti. Mereka mendekati kedua-kedua pihak dari kalangan parti-parti Melayu yang berseteru untuk memberi sokongan sekiranya mereka tidak mempunyai sokongan mencukupi untuk memperolehi majoriti. Yang jelas, jarum yang ditusuk oleh PH bukan sahaja memecahkan PN dan BN, malah di dalam BN sendiri sudah berlaku perpecahan.

Yang terkini, Setiausaha Publisiti DAP, Tony Phua, menyebut tindakan menggulingkan Kerajaan PN hari ini akan memberi manfaat kepada golongan ‘kleptokrat’ dalam Umno untuk kembali berkuasa. Kenyataan ini adalah kesinambungan daripada cadangan moratorium politik oleh Lim Kit Siang dan Ong Kian Ming, seolah-olah menggambarkan mereka bersedia menawarkan CSA kepada kerajaan yang didirikan oleh PN, BN, GPS dan lain-lain supaya politik kekal stabil semasa musim Pandemik COVID-19.

Saya tidak melihat kenyataan-kenyataan pemimpin DAP ini untuk tujuan yang mereka sebutkan, tetapi dilihat berusaha memecahkan kesatuan Ummah yang terbentuk semasa dimeterai Piagam Muafakat Nasional dan bertujuan mengungkaikan integrasi nasional yang terbentuk semasa pengwujudan kerajaan baru di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin. Tawaran DAP menyokong satu pihak yang penuh muslihat ini datang ketika Presiden PKR pula menawarkan tawaran tertentu kepada satu pihak yang lain. Bukankah ini hanya tipu muslihat?

Kemelut politik dalam kalangan pemimpin-pemimpin politik Melayu yang berlaku sekarang telah benar-benar diambil peluang oleh DAP dan PH. Semakin hari pertembungan sesama pemimpin politik Melayu semakin meruncing apatah lagi wujud pula desakan oleh NGOs yang mesra PH seperti IKRAM dan ABIM supaya pengundian usul undi percaya kepada Tan Sri Muhyiddin dilakukan seberapa segera. Desakan ini dilihat seolah-oleh bertujuan untuk mengganggu usaha mendamaikan pemimpin-pemimpin politik Melayu yang bertembung dalam tempoh menunggu Parlimen bersidang bulan September ini.

Saya melihat penyelesaian kepada kemelut politik sekarang khususnya dalam kalangan pemimpin-pemimpin politik Melayu, hanyalah dengan kembali ke meja rundingan. Masa yang lebih kurang sebulan ini, sementara menunggu Sidang Parlimen akan datang perlu digunakan untuk berunding sesama parti-parti yang menganggotai kerajaan sekarang secara menang-menang. Sekiranya mana-mana pihak dalam kerajaan sekarang berunding dengan pihak luar khususnya DAP dan PH, kemelut akan bertambah buruk.

Malah lebih daripada itu, sekiranya pihak DAP dan PH dirundingi oleh mana-mana pihak, kesatuan Ummah yang dimeterai sebelum ini akan mula terungkai. Demikian juga integrasi nasional yang wujud dalam kerajaan hari ini melibatkan parti-parti bumiputera dari Sabah dan Sarawak, berkemungkinan juga akan tergugat dengan campur tangan DAP dan PH. Sekiranya ini berlaku, PRU ke-15 nanti, PH mempunyai kebarangkalian besar untuk menang bergaya menguasai Putrajaya.

DR MOHD ZUHDI MARSUKI
6 Ogos 2021 | 27 Zulhijjah 1442 – HARAKAHDAILY 6/8/2021

1 comment:

Anonymous said...

Cukup fakta bawa ke mahkamah. Jika tidak fitnah atas moktar.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails