Tuesday, August 03, 2021

Surat Istana Negara kepada PM palsu. Bukti kukuh dari...

 

Surat susulan dari Istana Negara kepada Perdana Menteri berhubung pembatalan Ordinan Darurat yang tular adalah palsu - Zahidi

Surat Istana Negara kepada PM palsu

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengesahkan satu surat susulan dari Istana Negara kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan pembatalan Ordinan Darurat yang tular di media sosial sebagai palsu.

Timbalan Menterinya, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, pihaknya juga mempunyai bukti seorang Ahli Parlimen pembangkang menyebarkan surat berkenaan melalui akaun media sosialnya.

"Ahli Parlimen pun ada yang keluarkan dokumen palsu istana. Kita sudah semak, ada dokumen tidak betul.

"Begitu juga dengan konco politik melalui media sosial dakwa Perdana Menteri letak jawatan. Ini boleh menggugat kestabilan negara," katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.

Zahidi berkata, pihaknya pada masa ini bersikap terbuka dan tidak merancang mengambil tindakan terhadap penyiaran surat berkenaan.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan semua pihak yang tindakan tegas akan diambil mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia sekiranya ada yang berterusan melampaui batas.

"Saya mewakili kementerian mengingatkan supaya tidak sebarkan fitnah melalui Facebook, Twitter dan Instagram dengan mesej menghina raja, istana dan pemimpin.

"Masalah kita sekarang ialah pandemik COVID-19, kesusahan rakyat, masalah ekonomi dan ada yang kurang makanan.

"Kalau kita yang senang ini terus mencipta masalah, terus cipta ketidakstabilan, maka kita terpaksa ambil tindakan," katanya. (BH)


No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails