Sunday, May 23, 2021

Presiden PAS: Amaran &Saranan Kepada Rusia China..

 


1. Israel tidak akan berhenti termasuk tawan Makkah, Madinah

KUALA LUMPUR: Kerugian RM8 bilion di pihak Israel dalam perang terbaru dengan Palestin adalah jumlah yang kecil kepada negara itu kerana mendapat dukungan Zionis antarabangsa.

Bahkan Israel juga disokong bank-bank di Amerika dan Eropah yang membiayainya, namun tetap kalah dari segi ketenteraan, demikian ulas Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Menurut beliau, gencatan senjata diminta supaya Israel mempunyai peluang untuk membina kekuatan semula, tetapi negara haram itu tidak membenarkan HAMAS berbuat demikian.

“Kalau dia (Israel) gencatan senjata boleh bina kekuatan, kita (HAMAS) juga mesti bina kekuatan kita mengikut kemampuan kita,” ujar beliau yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah.

Menjelaskan dari sudut sejarah, tegas beliau, Israel sebenarnya yang bertindak menubuhkan kumpulan-kumpulan pengganas dengan membuat banyak keganasan dan tindakan agresif.

Beliau bersiaran di rancangan Ruang Bicara Khas BERNAMA membicarakan tajuk Malaysia Bersama Palestin: “Perjuangan Tidak Bernoktah, Sokongan Tidak Bermusim” dihoskan Sherkawi Jirim, malam tadi.

Ditanya mengenai peranannya sebagai Duta Khas, jelas Tuan Guru, beliau hanya menyambung tugas telah dilaksanakan sejak sebelum ini lagi menyelesai dan mendamaikan konflik di Timur Tengah.

Usaha sebelum berlaku kebangkitan Arab Spring itu jelasnya, telah dimbil bersama penglibatan Kerajaan Malaysia yang bertemu Negara Islam dan beliau pula bertemu sebahagian lain.

Peranan tersebut telah menyebabkan beliau dilantik sebagai Naib Presiden Kesatuan Ulamak Sedunia yang diketuai Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi dan berlangsungan menangani isu-isu berkaitan.

Beliau menyatakan keperluan Malaysia menyokong semua pihak di Palestin dan mengusahakan kesatuan Negara-negara Islam dan Arab dalam banyak aspek secara bersama.

Tuan Guru turut menegaskan kepentingan ekonomi dan teknologi untuk kekuatan umat dan Negara-negara Islam menghadapi ancaman musuh sebagaimana telah dihadapi dari Barat.

Tegas beliau, normalisasi Negara-negara Arab ke atas Israel adalah tindakan salah di mana hakikat sebenar ia ditaja Amerika semata-mata untuk kepentingan Israel yang tidak ikhlas kepada Arab.

Beliau juga tidak menolak pengaruh media hari ini di mana peringatnya banyak negatif yang melalaikan anak muda, oleh itu perlu dibawa mereka kepada kefahaman Islam dengan sebenarnya.

“Israel menguasai media sosial, ini mendukacitakan. Masuk di negara kita. Memainkan peranan yang negatif, yang menimbulkan masalah-masalah provokasi. Saya sebut satu nama, MalaysiaKini, yang lain saya tak mahu sebut nama. Ini peranan dia sangat aktif,” bidasnya.

Sehubungan itu beliau menggalakkan agar kefahaman dan mendapatkan maklumat yang betul dalam memanfaatkan teknologi maklumat dan media sosial mesti diadakan sebaiknya.

Beliau juga tidak menolak serangan siber dilakukan Israel, namun menaruh harapan kepakaran-kepakaran yang ada mampu menangani semua itu dengan jayanya.

Tuan Guru mengingatkan berdasar hadis akhir zaman betapa Israel tidak akan berhenti daripada cita-citanya hingga dapat menawan antara dua lautan iaitulah termasuk Makkah dan Madinah. – HARAKAHDAILY 23/5/2021

2. Presiden PAS saran Rusia, China jadi pihak tengah.

KUALA LUMPUR: Rusia dan China perlu mengambil alih peranan sebagai pihak tengah dalam konflik perang Israel-Palestin menggantikan Amerika Syarikat yang jelas berpihak kepada Israel.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Malaysia, Indonesia, Pakistan, Qatar, Arab Saudi, Mesir, Iran dan Turki perlu membuat tekanan menolak Amerika menjadi pihak tengah.

“Amerika tak layak jadi orang tengah dalam penyelesaian Palestin, bukan Amerika. Kerana Amerika berpihak, bukan dia duduk di tengah, dia duduk di hujung. Dia bekal senjata, dia anggap Palestin sebagai pengganas, nak jadi orang tengah?

“Biden (Presiden Amerika) ini walaupun pendekatan dia lain, saya anggap itu ‘dua wajah dalam satu Dollar’, sama saja pendekatan. Oleh sebab itu adalah lebih baik negara-negara Islam membuat tekanan,” gesanya.

Beliau yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bersiaran di rancangan Ruang Bicara Khas BERNAMA membicarakan tajuk Malaysia Bersama Palestin: “Perjuangan Tidak Bernoktah, Sokongan Tidak Bermusim” dihoskan Sherkawi Jirim, malam tadi.

Menurut beliau, sejak sekian lama Negara-negara Islam ditekan, dibuli dan gagal berfungsi dalam membela Palestin walaupun terdapat pelbagai inisiatif diusahakan di peringkat antarabangsa secara gabungan.

Pun demikian Palestin diiktiraf sebagai negara dan boleh hadir ke Perhimpunan Forum Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) serta menubuhkan kedutaan di banyak negara di mana bantuan dapat disalurkan.

Malah katanya, pilihan raya dapat diadakan di Palestin disertai PLO dan HAMAS, namun PLO yang berkuasa di Tebing Barat tetap dihalang dan disekat, manakala HAMAS dianggap pengganas oleh Amerika.

Bahkan Amerika bidasnya, tetap melakukan tindakan bertentangan Resolusi PBB dengan terus membawa masuk orang-orang Yahudi berhijrah datang ke Palestin dan membekalkan senjata kepada Israel.

“Terakhirnya Donald Trump (bekas Presiden Amerika) mengisytiharkan Baitul Maqdis ibu negara Israel. Ini sudah melanggar ‘two state solution’ kerana dalam dua negara itu Baitul Maqdis Timur adalah ibu negara Palestin, Israel dah langgar.

“Netanyahu yang jadi PM Israel telah bertindak apa yang dibuat oleh Biden dengan menyerang Baitul Maqdis dan menceroboh Masjidil Aqsa, menyentuh agama orang Islam bulan Ramadan. Dia tak kira bulan Ramadan. Dia ceroboh, pelampau Yahudi masuk berlaku pertempuran.

“Ini mencetuskan kebangkitan Palestin. Bila dia sentuh ini menyebabkan kebangkitan orang Kristian bersama, termasuk Yahudi-yahudi juga menentang, Yahudi kalangan kiri, termasuk Yahudi Ortodok. Apabila berlaku kebangkitan ini, Netanyahu bertindak.

“Ahli Kongres Amerika kata tindakan Netanyahu tidak bijak. Bahkan dua Ahli Parlimen Israel pun tak setuju tindakan ini. Netanyahu bertindak agresif menyerang Gaza. Serang Gaza tujuannya ialah untuk ‘highlight’ HAMAS ialah pengganas, dengan Jihad Islami.

“Israel serang dulu. Bila dia serang, apa yang berlaku bukan lagi lawan dengan senjata kecil, HAMAS dan Jihad Islami mempunyai senjata-senjata canggih dibekal oleh Iran dan negara-negara Islam. Apa yang berlaku ialah kumpulan Palestin semua bersatu, dan kebangkitan dalam Israel sendiri membantah termasuk Tebing Barat,” kupasnya.

Menurut beliau, Israel gagal mendapat kemenangan dari serangan darat dilancarkan dan mereka tidak berani meneruskannya dengan tindak balas dihadapi lalu meminta gencatan senjata diadakan.

Jelas beliau, Palestin memberi syarat yang pertama agar Israel hentikan dulu serangan dan kedua tidak mengganggu Masjidil Aqsa, kawasan penempatan Syeikh Jarrah bandar Baitul Maqdis.

Katanya, Palestin menegaskan supaya kawasan orang Islam yang hendak dirampas Israel agar jangan dikacau serta ketiga tidak mengganggu dan bertindak agresif terhadap orang-orang Palestin.

“Kemudian Israel pula bagi syarat, supaya Palestin tak dibekalkan senjata, dianggap pengganas. Dan Amerika juga mendukung apa yang dibawa oleh Israel ini. (Tetapi Amerika membekalkan senjata). Dengan sebab itu, pada pandangan saya, Amerika tak layak jadi orang tengah,” bidasnya. – HARAKAHDAILY 23/5/2021
(IH)

1 comment:

Anonymous said...

PejWang say yes to DAP PKR and PAN

Parti Dr Mahathir Mohamad, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak berniat menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) semata-mata untuk didaftarkan.
Dr Mahathir dilapor The Malaysian Insight bahawa dia tidak akan sama sekali berunding perkara itu dengan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin.
Permohonan Pejuang untuk didaftarkan sebelum ini ditolak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) walaupun dikatakan telah memenuhi semua syarat yang ditetapkan.

Dr Mahathir yang juga pengerusi Pejuang percaya keputusan itu sengaja dibuat oleh Hamzah dan juga Perdana Mintri.

Persoalan klise adalah "Boleh Percayakah Kata Kata Si Lidah Bercabang Ini..!?"

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails