Monday, December 07, 2020

Teroka dunia safari maya


Melihat gajah berkeliaran bebas menerusi Go on a Couch Safari secara maya, di Taman Negara di Sri Lanka.- Foto/Agensi

MELIHAT pelbagai spesies haiwan liar berkeliaran bebas seperti gajah bermain sesama sendiri, rusa menjaga anak dan harimau bersembunyi di belukar memberikan pengalaman yang mengujakan serta mengagumkan.

Pemandangan luas terbentang hidupan flora dan fauna di beberapa taman negara seperti terdapat di Sri Lanka yang terkenal panorama alam menakjubkan dan hutan yang merimbun. Namun, mustahil untuk melawat ke tempat berkenaan dengan hampir semua negara menguatkuasakan sekatan untuk merentas ke lokasi seumpama itu.

‘Go on a Couch Safari’ hidupan liar di Taman Negara Sri Lanka penarik perhatian komuniti pelancong.- Foto/Agensi

Sri Lanka dinobatkan sebagai Destinasi Pelancongan Pengembaraan Terkemuka di Asia oleh World Travel Awards 2020, awal tahun ini tidak mahu anugerah itu terbiar begitu saja.

Justeru, Biro Promosi Pelancongan Sri Lanka mengambil inisiatif melancarkan program 'Go on a Couch Safari' biarpun berada dalam keadaan pandemik COVID-19.

Aktiviti pengembaraan yang turut terjejas akibat pandemik itu memaksa pihak berkuasa menawarkan tarikan pusat pelancongan dengan cara berbeza.

Justeru, program 'Go on a Couch Safari' iaitu satu aktiviti secara langsung membolehkan penonton melihat kepelbagaian hidupan liar di taman negara di negara itu secara maya.

Program itu adalah inisiatif Sri Lanka untuk mempromosikan taman hidupan liar di negara itu berjudul Go on a Couch Safari, yang merangkumi aliran hidupan liar dari taman negara yang mampu menarik minat orang ramai untuk melawat taman itu secara virtual.

Pelbagai species seperti harimau bintang antara rakaman menarik aksi mencuit hati hanya ditonton menerusi maya.- Foto/Agensi

Jelajah Taman Negara Kaudulla

Menerusi program berkenaan yang dipancarkan secara langsung pada 4 hingga 13 November lalu itu menyediakan slot lawatan selama tiga jam dengan dipandu oleh pakar hidupan liar iaitu, Dr Prithviraj Fernando, Chitral Jayatileka, Srilal Miththapala dan Vimukthi Weeratunge.

Kemudian penonton dibawa ke Taman Negara Minneriya pada waktu petang dan turut diberi peluang menjelajahi Taman Negara Kaudulla yang wujud sejak 1972, secara virtual hanya di rumah.

Selain itu, penonton juga berpeluang merasai pengalaman melihat kepelbagaian hidupan flora dan fauna di Taman Negara Udawalawe dan kemudian siaran langsung untuk menyoroti suasana di Taman Negara Yala.

Lihat khazanah hidupan liar

Menariknya, acara siaran langsung itu tidak dikenakan sebarang bayaran, tetapi penonton perlu mendaftar dalam talian terlebih dahulu.

Program 'Go on a Couch Safari' dianjurkan oleh Biro Promosi Pelancongan Sri Lanka, Kementerian Pelancongan dan Penerbangan Sri Lanka bertujuan menghargai sumber alam semula jadi Sri Lanka yang kaya dan menyediakan cara baru bagi menikmati khazanah hidupan liar di negara itu kepada penduduknya.

Menurut pakar hidupan liar, Srilal Miththapala, sebagai peminat hidupan liar, beliau gembira Biro Promosi Pelancongan Sri Lanka melancarkan rangkaian video taman negara yang popular secara dalam talian.

"Mereka memperlihatkan kekayaan biodiversiti yang ada di negara ini dan mengingatkan pelancong bahawa alam dan hidupan liar masih berkembang dalam keadaan yang mencabar ini.

"Saya bangga menjadi sebahagian daripada usaha ini," katanya dalam satu kenyataan.

Lihat aksi gajah

Episod pertama yang disiarkan secara langsung dari Taman Negara Minneriya dan Kaudulla, di wilayah utara negara itu, mendapati lebih 100,000 tayangan di media sosial dan hampir 800 komen daripada pelancong tempatan dan antarabangsa dikongsikan berkaitannya

Taman Negara Minneriya yang diisytiharkan sebagai tempat perlindungan hidupan liar pada 1938 di Sri Lanka menempatkan sebanyak 24 spesies mamalia, 160 spesies burung dan 75 spesies rama-rama.

Penonton berpeluang melihat pelbagai aksi gajah di Minneriya dalam suasana yang menarik.

Selain itu, penonton boleh meneroka Taman Negara Yala, yang bukan sekadar tempat perlindungan hidupan liar, malah ia menawarkan peluang untuk melihat beberapa spesies haiwan dan burung yang paling jarang dan berbahaya di tempat terbuka, kini disaksikan secara maya.

Taman negara itu menempatkan 44 spesies mamalia dan 215 spesies burung, juga adalah salah satu tempat yang paling banyak dihuni harimau bintang di dunia.

Sementara itu, Taman Negara Kaudulla yang wujud pada 2002, mempunyai 24 spesies mamalia, 25 spesies reptilia, 26 spesies ikan dan 160 spesies rama-rama.

Blogger pengembara dan Youtuber, Shenelle Rodrigo, berkata 'Go on a Couch Safari' adalah pengalaman baru yang berbeza apabila dapat meneroka kehidupan alam haiwan pelbagai spesies secara maya tanpa perlu berkunjung ke lokasi safari sebenar.

"Walaupun pengalaman itu pasti tidak akan sama dengan ketika berkunjung ke sana kerana dapat mengalami sendiri situasi kehidupan haiwan liar.

"Jika kita berkunjung ke taman negara itu, pasti ada pakar perlindungan liar memberi mengenai kehidupan sebenar haiwan dan lain-lain." katanya. (BH)

Lihat sebelum ini..

E-Buku IH-3: Catatan Perjalanan.

E-Buku IH-3: Catatan Perjalanan. Mencari Melayu/Islam Sri Lanka



BERITA BERKAITAN

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails